Ahad, 14 Disember 2014

PARENTSTEACHERSNEST-Bermulanya Sebuah Perjuangan

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Semalam saya menghadiri suatu majlis ilmu- Bengkel HOTS Menggunakan Buku Cerita Kanak-kanak Bergambar. Walaupun banyak kontennya bukan sesuatu yang asing untuk saya tetapi percayalah Allah sentiasa menitipkan kita dengan pelbagai idea baru setiap kali kita ke majlis ilmu. Alhamdulillah. Saya sangat seronok semalam.

Sepanjang empat jam, saya ralit memerhatikan ibu bapa yang hadir bersama anak-anak ke bengkel tersebut. Sungguh saya tersentuh. Bilangan ibu bapa yang hadir sangat sedikit. Tidak sampai 15 orang. Barangkali ini memang fenomena biasa. Ini juga yang berlaku di dalam kelas-kelas keibubapaan saya. Bilangan yang hadir sangat kecil. Saya masih ingat lagi lebih kurang 19 tahun lalu, saya dan suami menghadiri program 'Multiple Intelligence-Howard Gardner' yang dikendalikan untuk ibu bapa.  Saya menyaksikan fenomena yang sama. Bilangan ibu bapa yang hadir boleh dikira dengan jari tak sampai 10 saat! Adakah ibu bapa hari ini masih berfikir di takuk lama? Adakah ibu bapa masih berfikir bahawa kita tidak perlu mencari ilmu untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik daripada ibu bapa kita sendiri?

Saya mendengar dan melihat dengan mata kepala sendiri anak-anak hasil didikan ibu bapa yang positif dan negatif. Cerita-cerita mereka sangat membuka mata. Justeru, saya merasa sangat terpanggil untuk menydiakan satu wadah perkongsian interaktif untuk ibu bapa dan guru. 

Perjuangan saya yang kecil ini perlu diteruskan sekalipun ianya bergerak perlahan. Selamat datang ke PARENTSTEACHERSNEST; satu grup fb khusus untuk mereka yang berminat berkongsi pelbagai tips keibubapaan dan perguruan. Hubungi saya di facebook sekiranya tuan puan mahu menyertai grup ini. 

Nota: Terima kasih Puan Nurul Ilyani atas perkongsian dan dorongan.



Jumaat, 12 Disember 2014

Tribute Untuk Kalian

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Sebenarnya banyak kisah yang dikongsikan di dalam blog ini datang daripada persekitaran saya yang dipenuhi dengan suara dan jiwa anak-anak muda. Merekalah 'sekolah' saya dan mereka inilah yang kerap 'menyekolahkan' saya. Mereka inilah yang menghulurkan bantuan setiap kali saya di dalam kesukaran. Mereka inilah yang menceriakan hari-hari saya. Mereka inilah juga yang kekadang 'merajuk' dengan saya. Hihihi...Mereka inilah juga yang membantu saya mengenal hidup di lensa mata anak-anak, mereka inilah yang membantu tugasan di pejabat, mereka inilah yang membelikan saya makanan, mereka inilah krew saya, mereka inilah segala-galanya. 

Hari ini saya terpanggil untuk menyatakan sejuta penghargaan kepada mereka. Mana mungkin saya berdiri di tempat saya hari ini tanpa hadirnya mereka. Kepada semua pelajar saya; yang pernah belajar, sedang belajar dan bakal kembali belajar dengan saya; yang memanggil saya 'mama', 'bonda', 'ummu', 'cikgu', 'teacher', 'madam', tiada ucapan terima kasih yang mampu menzahirkan rasa syukur saya di atas segala sumbangan kalian kepada saya. Terima kasih atas segalanya.












Aku yang Dipanggil Ummu

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Bukan sesuatu yang asing apabila ramai pelajar saya memanggil saya 'mama'. Walaupun ramai yang sudah lama meninggalkan saya, panggilan itu kekal bertahun. Alhamdulillah. Keakraban yang terjalin antara saya dan 'anak-anak' ternyata memeriahkan dan mewarnai hidup saya.

Hari ini saya sengaja memilih kisah si dia. Salah seorang daripada 'anak-anak' saya. Kini sudah hampir dua tahun dia menjadi sebahagian daripada hidup saya. Walaupun sudah melanjutkan pelajaran, sesekali dia akan muncul di pejabat saya. Memecah sepi dan mengundang gelak tawa. Dia jarang serius. Suka melawak. Justeru, kehadirannya sentiasa membawa ceria.

Sejak kebelakangan ini, saya mula melihat perubahan kecil pada dirinya. Tidak pada sikapnya yang kelakar dan 'lepas cakap' tetapi pada butir bicara yang keluar daripada mulutnya. Lewat pertemuan tempoh hari, dia tiba-tiba memohon untuk tidak lagi memanggil saya 'mama' tetapi 'ummu'. "Ummu kan bahasa arab", ujarnya. Dialah satu-satunya yang memanggil saya 'ummu'. Sejuk hati saya mendengar panggilan tersebut.

Sesekali bertemu, dia ralit bercerita tentang kisah-kisah ulama; berkongsi ilmu yang didengar dan dikutip dari majlis-majlis ilmu yang dihadirinya. Kalau dahulu saya melihat dia sebagai anak kecil yang perlu dijaga rapi tetapi hari ini saya bangga melihat dia yang baru; seorang anak muda yang melihat dunia dari perspektif rohaniah.  Dan saya tak mungkin akan melupakan kata-kata ini, "kalaulah masa boleh diputar semula, saya mahu sangat mama dan abah masukkan saya ke sekolah agama sejak dari kecil lagi...".









Jumaat, 28 November 2014

Manisnya Tetap Ada

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Pengalaman mempunyai anak yang menduduki SPM di hospital merupakan antara suatu 'anugerah terindah' untuk tahun ini. Tentunya bebanan dan tekanan emosi, minda dan fizikal tidak mampu diluahkan dengan kata-kata tetapi manisnya tetap ada. Doa, sokongan dan dorongan mengiringi perjuangan anakanda sehingga ke tinta terakhirnya. Alhamdulillah. Semuanya dapat diselesaikan sebaik mungkin. Kini, yang tinggal cuma doa dan tawakkal. 

Mengimbas kembali situasi saya ketika mahu membuat keputusan ter'penting' untuk anakanda saat itu, saya amat bersyukur kerana mempunyai nombor telefon pengetua sekolah anak saya. Bersyukur juga kerana puan pengetua sanggup menerima panggilan telefon saya seawal jam 5.30 pagi. Saya masih ingat kata-kata beliau; 'puan perlu memaklumkan kepada saya nombor bilik anak puan segera kerana saya perlu memanjangkan maklumat ini kepada pengawas peperiksaan. Kalau tidak, anak puan perlu menduduki peperiksaan di bilik kuarantin sekolah.'

Ketika itu saya hanya tahu satu perkara sahaja. Anak saya wajib mengambil peperiksaan di hospital. Apapun demam yang dihidapinya, saya tetap mahukan dia dimasukkan ke hospital. Sejurus maklum akan prosedur peperiksaan, saya terus menghubungi hospital untuk menempah satu bilik. Alhamdulillah. Allah permudahkan. Usai mengetahui nombor bilik, segera saya maklumkan kepada puan pengetua. 

Jam 7.00 pagi anakanda selamat dimasukkan ke dalam wad. Jam 8.40 pagi, anak saya memulakan kertas 1 Kimia dan diikuti dengan kertas 2 lebih kurang setengah jam kemudian. Saya hanya mendengar khabar bahawa anakanda sah menghidap demam denggi ketika bertemu dengannya untuk makan tengahari; satu jam sebelum beliau menduduki kertas 3. 

Pertarungan keesokan harinya lebih memeritkan. Dengan suhu badan mencecah 39.7 darjah celsius, anakanda berdepan cabaran yang tidak sedikit.  Mujur berada di hospital membolehkan pihak hospital mengambil pendekatan 'ekstrem' untuk meredakan kepanasan badan beliau. Alhamdulillah...segalanya berakhir dengan baik. Ketiga-tiga kertas Biologi dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin. Syukur. Syukur teramat sangat....

Semasa peperiksaan berlangsung

Girang dilawat teman-teman







Isnin, 17 November 2014

Dengarlah Duhai Pendengar

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Saya mengenali pelajar ini sejak usianya 15 tahun. Kini usianya sudah 18 tahun dan keakraban kami masih sama. Walau jarang-jarang berjumpa, ada kalanya saya disapa di 'whatsapp' dan instagram. Saya tahu dalam kesibukan dia menyambung pelajaran, dia belum lagi melupakan saya. Alhamdulillah.

Setelah sekian lama, kami bertemu lewat hujung minggu lalu. Saya disapa 'berat'. Bukan sapaan biasa. Mengenali pelajar-pelajar ini, saya tahu ada  cerita 'besar' yang mahu dikongsi. Benar bagai ditelah. Kisah benar yang 'besar' dan 'berat'. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Kisah anak muda ini sewaktu di sekolah bukanlah suatu cerita manis. Namanya mekar kerana pelbagai masalah disiplin. Ponteng kelas. Ponteng sekolah. Buang sekolah. Merokok. Siapa tak kenal insan ini. Memahami beliau, saya tahu jiwanya bukan di sekolah. Akademik bukan kekuatannya. Pada saya beliau mengadu betapa jiwanya meronta-ronta untuk berhenti sekolah seawal tingkatan 4. Malang sekali kerana saya tak berupaya membantu ketika itu. Saya hanya mampu memohon beliau tamatkan tingkatan lima dan saya berusaha bersama-sama beliau mendapat keputusan SPM sebaik yang mungkin. 

Dipendekkan cerita, akhirnya beliau berjaya menyambung pelajaran. Alhamdulillah. Tapi kegusaran saya belum tamat. Saya tahu kekuatan insan ini. Akademik bukan makanan beliau. "Saya hanya turuti kehendak orang tua. Walhal saya tahu kemampuan saya." Demi ibu bapa, beliau berubah 360 darjah. Tiada istilah ponteng lagi dalam kamusnya. Semua tugasan disiapkan dan dihantar. Tetapi itu tidak cukup untuk mencipta rekod peribadi. Beliau gagal semester satu. Perlu mengulang keseluruhan semester. Beliau sudah angkat bendera putih. "Saya dah tak sanggup belajar, cikgu." "Saya nak kerja. Tak kisah walaupun bermula dari bawah." 

Mereka inilah yang sentiasa mengajar saya untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik. Menjadi pendengar terbaik dan memahami keluh kesah mereka. Dengarilah mereka sebelum kita mula bercakap. Dengarkanlah....






Ahad, 9 November 2014

Menginspirasi & Terinspirasi

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

19 tahun bergelar seorang ibu tidak memungkinkan saya layak ditauliahkan sebagai seorang ibu terbaik untuk anak-anak. Banyak yang masih perlu dipelajari dan diterokai. Masih belajar dan perlu belajar. Saya tidak nafikan ada pandangan yang mengatakan ibu bapa kita dahulu tidak perlu pun menghadiri mana-mana seminar untuk menjadikan kita seorang 'orang'. Saya tidak menidakkan pandangan itu. Tetapi kita sentiasa punya pilihan. Dan saya memilih untuk terus belajar.

Itulah hebatnya majlis ilmu. Setiap kali saya bertemu dengan ibu bapa dalam Seminar Melatih Anak-anak Berfikir Aras Tinggi, saya pasti mendapat imbuhan ilmu yang tidak ternilai daripada para peserta. Sungguh! Perkongsian ilmu sesama jemaah yang mempunyai nawaitu yang sama menghasilkan jalinan emosi dan buah fikir yang akrab. Ada emosi yang terusik, ada air mata yang mengalir, ada idea bernas yang dilontarkan. Nikmat apa lagikah yang mahu didustakan. Allahuakbar!!!

Saya bakal berkongsi lagi di SEMINAR MELATIH ANAK-ANAK BERFIKIR ARAS TINGGI. Kali ini pada hari Ahad 23 November 2014. Pusat Tuisyen Karisma Unggul, Seksyen 28, Shah Alam.
Manggakan tarikh ini. Jumpa tuan puan nanti.



Rabu, 29 Oktober 2014

Menjiwai Jiwa Sendiri

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto; Koleksi Peribadi

Sudah di penghujung Oktober. November cuma sedetik mahu menyapa. Masa ternyata begitu cepat berlalu. Pagi ini pabila merenung kembali '2014 Vision Board' yang tergantung di pejabat, saya tahu saya berada di landasan yang diingini.

Tahun ini saya bermula agak lewat. Tahap kesihatan yang kurang memberangsangkan di awal tahun menyebabkan saya menangguhkan perjalanan impian 2014. Saya hanya memulakan segalanya pada bulan Mei. Kelahiran blog ini adalah pencapaian pertama saya. Sebuah impian yang akhirnya menjadi nyata.

Terus-terang saya katakan ada dua agenda dalam '2014 vision board' yang tak mungkin akan saya laksanakan. Puncanya? Kerana saya tidak miliki sebarang nyala rasa untuk memulakannya. Saya akur sesetengah orang mungkin mampu melakukan sesuatu yang tidak diminatinya kerana punya faktor dorongan yang lain. Tetapi tidak saya. Saya hanya mampu memulakan dan melaksanakan sesuatu perkara yang memiliki jiwa saya. Menjiwai jiwa saya.

'2015 Vision Board' sudah ada di dalam kepala. Kali ini benar-benar yang berjiwa. Hanya yang berjiwa...


     



 

Rabu, 22 Oktober 2014

Melamar Bijakmu Duhai Tuan

Teks: Fauziah Sirat
Koleksi: Foto Peribadi (kredit kepada anakanda Shafiq Aizal Latif)

Saya bukanlah peminat Akademi Fantasia. Bukan sebab saya malu mahu mengaku tetapi memang benar; sungguh ini pernyataan benar dan benar. Bukan juga coret-coret Akademi Fantasia yang mahu dikongsikan. Cuma apabila rancangan realiti itu mengenengahkan lagu-lagu P.Ramlee dan Saloma sebagai tugasan peserta minggu lalu, saya sungguh terkesan. Tiba-tiba hasrat hati mahu mengkaji karya-karya besar Tan Sri P.Ramlee membuak-buak kembali. Entah untuk yang keberapa kali...hmm...

Genius seni. Siapa mampu menafikan fakta itu. Karya beliau menterjemahkan segala. Liriknya bersatu dengan irama. Iramanya bersatu dengan jiwa. Kalau benar menghayati setiap bait lagunya, jiwa terkesan sebak mendengar Jeritan Batinku. Jiwa terkesan  dengan jenaka Madu Tiganya. Khalayak menangis, khalayak tertawa tatkala menonton filem-filemnya.

Tan Sri P.Ramlee adalah tokoh besar dengan pelbagai kecerdasan yang luar biasa. Merujuk kepada kepada teori 9 kecerdasan pelbagai oleh Howard Gardner, P.Ramlee terang-terangan punyai kecerdasan muzik, intrapersonal, interpersonal, linguistik, visual/ruang dan kinestetik (ini hanyalah penilaian peribadi saya semata-mata). Subhanallah! Sungguh hebat. Ingin sekali saya melamar bijakmu duhai tuan.
Al-fatihah.

Jikalau tidak kerana sayang, 
Kuntuman kasih tak mungkin kembang
Andainya jemu mengganti rindu
Jambangan mesra tentulah layu
(petikan lagu Tanya Sama Hati daripada filem Anakku Sazali)

Gambar hiasan







Ahad, 19 Oktober 2014

Pabila Bunga Hanya Tinggal Sekuntum.....

Teks: Fauziah binti Sirat
Koleksi: Foto Perbadi

Dalam kembara saya berkongsi sedikit ilmu yang dipinjamkan oleh Allah, saya mensasarkan tiga kelompok ini; ibu bapa, guru-guru dan anak-anak. Tetapi acapkalinya, saya lebih banyak bersama anak-anak. Justeru, apabila saya disapa oleh seorang kenalan untuk mengendalikan satu perkongsian kemahiran berfikir aras tinggi untuk ibu bapa, saya tak mampu menyembunyikan keterujaan.

Apa pun hujah yang dikemukakan, kita tak mampu menafikan betapa besarnya peranan ibu bapa dalam melakar, mencorak dan mewarna tahap pemikiran anak-anak. Tidak boleh sesekalipun kita menyerahkan tanggungjawab itu kepada mana-mana pihak. Kadangkala saya terdiam mengurut emosi sendiri apabila mendengar ibu bapa berkata, 'Saya tak tahu silibus sekolah. Itu yang tak boleh mengajar anak-anak.'

Kita tidak perlu tahu apa yang diajar oleh guru-guru di sekolah dan kita juga tidak perlu mengambil alih tugas guru mengajar konten silibus, tetapi kita perlu persiapkan dan mengasah tahap pemikiran anak-anak kita sedari kecil, dari masa ke masa dan tiada henti. Anak-anak kita perlu sentiasa dalam situasi bersedia. Bayangkan hasilnya apabila anak-anak kita mampu menjawab soalan sebegini, 'Seandainya bunga hanya tinggal sekuntum, apakah yang bakal terjadi?'.

Kalau punya masa, saya sudi berkongsi tips mendorong anak-anak berfikir aras tinggi. Sediakan lantainya, saya sudi berdansa bersama tuan puan.




Khamis, 16 Oktober 2014

Jauh itu Mendekatkan Kita

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Ada banyak ketikanya saya buntu bila ditanya. 'You kerja apa?'. Selalunya saya menjawab, 'Saya berbisnes'. Tentunya jawapan saya itu mengundang lebih banyak soalan kerana jawapan itu menuntut penjelasan yang berjela. Tetapi walau bertubi-tubi soalan yang dikemukakan, saya selalunya merasa bahagia bila di hujung perbualan itu, mereka akan terus menobatkan saya dengan panggilan cikgu. 'Oh! So...you ni cikgu la ye...?. Saya hanya tersenyum. Sememangnya senyum itu lebih mudah untuk mengiyakan segala tanggapan.  

Selama saya mengusahakan pusat tuisyen dan menjadi seorang cikgu, keseronokan dan kebahagiaan yang dikecapi memang tak mampu saya olahkan dengan bicara. Melihat anak-anak membangunkan potensi diri dan melihat seorang demi seorang mengukir wajah kejayaan, saya selalunya menyimpan rasa bangga jauh di lubuk hati. Tapi benarlah, saya hanya mampu meraikan mereka, pelajar-pelajar di pusat tuisyen saya sahaja. Saya tak mampu menghulurkan tangan kepada mereka di luar sana. Mereka terlalu jauh untuk dicapai.

Allah Maha Kuasa. Allah Maha Mendengar. Hasrat saya ditunaikan. Perlahan-lahan saya keluar dari kepompong selesa. Saya sudah mula bertemu anak-anak di luar kawasan. Dan tadi apabila menerima jemputan mengadakan program Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di sebuah sekolah menengah di Kedah, saya hampir pasti impian untuk menghulurkan tangan kepada mereka bakal menjadi nyata. Insyaallah...

Mohon doa kalian...



Isnin, 13 Oktober 2014

Menjelajah Jiwa Kecil Abah

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Abah tidak bercerita apa-apa sepanjang meraikan adik yang selesai menamatkan pengajian ijazahnya. Diam. Senyum. Berjenaka. Ketawa sesekali. Itu sahaja. Tiada banyak bicara. Tapi semalam, saat kami duduk hanya berdua, abah mula buka cerita.

'Masa tengok adik naik pentas semalam, sedih abah. Abah teringatkan emak. Dari kecil, emak jaga. Hantar ke sekolah. Pergi balik. Pagi petang....', abah diam...Saya juga diam. Tiada kata mampu ditutur. Lama sepi membeku suasana. 'Tapi ye laa...abah pasrah. Allah lebih sayangkan emak.' Suara abah yang menahan getar sebak terus mencipta hiba. Airmata yang tadinya hanya singgah di penjuru kelopak mata kini jatuh berderai, tidak mampu ditahan-tahan lagi. 

Saya akur akan keutuhan kasih emak dan abah. Empat puluh tahun hidup bersama. Mana mungkin saya menolak hakikat yang mereka saling kasih mengasihi. Mungkin tidak kelihatan di mata anak-anak akan kehangatan percintaan mereka tetapi kami tahu abah kasihkan emak sepenuh jiwa raganya. 

Emak pergi di ribaan abah. Siapa mahu percaya emak pergi sekelip mata. Kami pun sukar mahu percaya apatah lagi abah. Saat pasukan paramedik mengesahkan emak telah tiada, abah berkali-kali mendesak; cuba 'check' lagi, 'check' lagi....mohon kepastian berkali-kali dengan harapan bahawa semua ini mimpi. Tetapi kami tidak bermimpi. Pada saat itu, emak sudah dijemput Illahi.

Bertahanlah abah. Redhakan yang telah pergi. Biarkan memori itu kekal abadi...
Al-fatihah...






Ahad, 12 Oktober 2014

Mendendangkan Impian Bonda

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Pagi ini saya dihimpit sebak. Rasa rindu pada arwah bonda meluap-luap. Datang tanpa diminta. Datang dari seluruh arah. Al-fatihah...

Hari ini adik saya yang bongsu menyempurnakan istiadat konvokesyen beliau. Jauh di hati kecil, saya tahu ini adalah antara momen besar yang diimpikan oleh bonda. Barangkali emak tidak pernah berkongsi impian ini dengan anak-anak yang lain tetapi emak pernah menyuarakan keinginan beliau melihat anak-anak mengecap kejayaan setinggi termampu di dalam bidang akademik.  

Walau emak tidak berpeluang meraikan hari besar ini, tapi saya tahu emak pergi bertemu Illahi dengan hati yang tenang. Dia tahu kami akan melangsungkan impian beliau. Dia tahu saya akan pastikan adik-adik akan terus berusaha gigih melayar kehidupan sesempurna mungkin. Dia juga tahu saya akan sentiasa mendendangkan impiannya di dalam seluruh hidup saya. 

Jangan risau emak. Long ada...Long akan jaga abah, adik-adik seperti yang mak inginkan. Long rindu emak. Alfatihah...






Khamis, 2 Oktober 2014

Kitakah Yang Bersalah?

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi/kredit kepada Pn Rosmawar Baharuddin

Dalam perjalanan saya berkongsi sedikit ilmu yang dipinjamkan Allah berkenaan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), rata-rata pelajar menolak kehadiran KBAT di dalam sistem persekolahan mereka. Mereka tidak faham mengapa kemahiran ini perlu dibina, perlu dipupuk. Mereka merasakan kewujudan soalan-soalan ini menyukarkan dan menghadkan keupayaan mereka mencatat prestasi terbaik. Walhal pada hakikatnya, kemahiran itu sudah wujud sedari usia kecil mereka...

Apa yang sangat diperlukan oleh anak-anak kita adalah persekitaran yang membantu melonjakkan potensi berfikir aras tinggi. Ibu bapa, guru-guru dan masyarakat sangat berperanan besar untuk memastikan potensi ini terus mekar, tidak mati dan berkubur. Bagaimana mengenal, memupuk dan merangsang anak-anak kita berfikir aras tinggi? Saya akan berkongsi tekniknya di Seminar Teknik Melatih Anak Berfikir Aras Tinggi pada 19 Oktober 2014 (rujuk poster di bawah untuk maklumat lanjut).

Mengapa perlu hadir ke seminar ini? Ada kajian mendedahkan potensi berfikir aras tinggi anak-anak dimusnahkan oleh ibu bapa dan sistem persekolahan. Tentunya kita tidak mahu termasuk di dalam kelompok ini. Tanggungjawab kita adalah untuk menyedarkan anak-anak bahawa kemahiran itu sudah ada di dalam diri. Tanggungjawab kita adalah untuk terus menyemai dan membajai potensi ini agar anak-anak kita kekal menjadi pemikir hebat. 

19 Oktober 2014. Pacak tarikh ini. Semat tarikh ini. Ketemu kita nanti ya!









Selasa, 9 September 2014

Kau Ibarat Bintang

Teks: Fauziah Sirat
Foto: Imej Google

Semalam saya menerima panggilan daripada seorang sahabat lama; seorang penolong kanan di sebuah sekolah menengah di Selangor. "Nampak gaya tak dapatlah puan buat program di sekolah kami. Peruntukan yang dirancangkan untuk puan terpaksa digunakan untuk program lain". Panjang lebar beliau menjelaskan situasi dan saya amat memahaminya. Saya pernah bertamu dua kali ke sekolah itu. Walau ianya duduk di pinggir kota, sekolah itu banyak yang kurangnya. Banyak yang boleh dibantu dan perlu dibantu. 

Saya menerima khabar itu dengan hati berkobar-kobar. Tiada sedih. Tiada kecewa. Saya katakan pada sang sahabat. "Jangan risau. Program itu pasti berjalan. Tanpa peruntukan sekalipun, saya akan usahakan agar 80 orang pelajar yang direncanakan tetap bersama saya." Lewat petang saya melontarkan hasrat mencari penaja pelajar kepada seorang teman rapat. Setelah idea dicerna, saya bersedia. Semoga Allah permudahkan usaha kecil saya.

Hari ini. Jam 9.48am. Dengan lafaz Bismillah, kempen 'Taja 80 Pelajar' bermula. Alhamdulillah, Jam 11.12 am. Penyumbang terakhir melengkapkan kempen. Akhirnya, 80 orang pelajar-pelajar tingkatan 3 yang berkenaan mengesahkan penglibatan di dalam Program Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)@HOTSHELP pada 29 September 2014. 

Saya memanjatkan syukur ke hadrat Illahi kerana dianugerahkan dengan rezeki sahabat-sahabat hebat yang pemurah dan dermawan. Sesungguhnya rezeki itu sungguh luas spektrumnya. Selain daripada keluarga, sahabat-sahabatlah yang akan sentiasa bersama kita. Barangkali tidak pada setiap masa. Tetapi ada detiknya, ketika kita rasa bagai tak punya sesiapa, pada sahabat-sahabatlah kita akan berpaling. Terima kasih duhai sahabat yang sentiasa menyokong, membantu, tak kira masa dan ketika. Hanya Allah akan membalas segala-galanya...



Ahad, 31 Ogos 2014

Harga Setiap Saat

Lewat setahun lalu, saya dikejutkan dengan berita yang meruntun jiwa. Bekas pelajar saya koma akibat kemalangan. Khabarnya setelah tiga minggu koma, beliau mulai sedar dengan memori yang hilang. Saya mengucap banyak-banyak mendoakan kesejahteraan beliau. Moga beliau segera sembuh.

Berbulan-bulan selepas itu, saya melihat kelibat beliau di facebook. Segera saya menyapa. Alhamdulillah. Pelajar saya ini masih ingat dan masih mengenali saya. Saya tanamkan hasrat mahu melawat beliau. Duduk bersembang mendengar sendiri cerita daripada mulut beliau. Tetapi itulah....hasrat di jiwa tak pernah kesampaian. Ada sahaja yang menghalang. Setelah lebih setahun membuat rencana, akhirnya saya bulatkan hati. Saya mesti menunaikan hasrat sendiri.Tak boleh bertangguh lagi. Mesti. Wajib ditunaikan...

Akhirnya kami bertentang mata. Allahuakbar. Besarnya dugaan pada insan semuda beliau. Patah tulang belakang dengan darah beku di otak. Keluar masuk hospital berbulan-bulan dan kini masih gigih menjalani program fisioterapi. Setelah lebih setahun, beliau kini sudah mula mampu berjalan perlahan-lahan dengan alat bantu. Hampir sejam bersembang, kata-kata beliau yang ini sangat terpahat di jiwa. 'I cannot lose a second, teacher.' Saya tahu ketabahan dan kegigihan ini yang menyebabkan beliau menjadi beliau seperti hari ini. Walau pernah diramalkan bakal terlantar seumur hidup, beliau adalah antara bukti hidup yang mengesahkan betapa semangat luar biasa mampu mengubah dunia. 

Untuk Khairol Hidayah, saya doakan anda cepat sembuh. Terus kuat melayari cabaran mendatang. Teruskan perjuangan. Saya tahu kekuatan jiwa dan kegigihan usaha anda pasti akan membuahkan hasil. Insyaallah....




Ahad, 24 Ogos 2014

Gusar Seorang Isteri

Teks: Fauziah Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Minggu yang padat berisi cerita. Cukup padat untuk dirungkai dan dikongsi pelbagai rasa yang mewarnai hari. Minggu lalu sarat aktiviti berjanji dan bertemu. Minggu lalu juga mencatat kejayaan peribadi yang besar maknanya.  Pokoknya, inilah antara tujuh hari dalam hidup yang akan dikenang sedalam-dalamnya. 

Sang arjuna saya akhirnya bejaya menawan puncak gunung Kinabalu. Sepanjang lima hari beliau di sana, saya tak putus-putus berdoa. Risau sang isteri hanya Tuhan yang tahu. Bukan mahu mematahkan semangat beliau; tapi berkali-kali sebelum beliau pergi saya berpesan, "Jangan paksa diri. Kalau tak larat, tak perlu teruskan." Walau itu bertentangan dengan prinsip mencabar diri yang tertanam di dalam diri, saya harus akur akan hakikat "Gusar Seorang Isteri". Alhamdulillah, akhirnya beliau menitip khabar gembira. Gambar-gambar di puncak di"whatsapp" kepada kami sekeluarga. Syukur dan bangga. Saya tahu perjalanan ke puncak sangat sukar. Saya tahu sentiasa ada kebarangkalian untuk beliau jatuh. Sentiasa ada ruang untuk beliau tercedera.  Sentiasa ada momen diserang demam. Benar! Beliau jatuh. Ada luka. Ada lebam. Ada rasa seram sejuk di badan. Malah katanya, pernah ada detik 50:50; wajarkah ini diteruskan? Tapi itulah corat coret yang membawa beliau sampai ke puncak.

Kejayaan ini besar maknanya pada sang arjuna. Kami sekeluarga berkongsi seronok dan bangga. Perjalanan ke puncak tidak pernah mudah. Semangat, kecekalan, kekuatan mental, emosi daan fizikal saling lengkap melengkapi.  Begitulah hakikat kehidupan. Perlu ada matlamat yang disasarkan. Agar pendakian kita tidak tersasar tanpa hala tuju. Perlu ada rencana ke puncak. Laluan mana yang mahu diambil. Persiapan apa yang perlu disediakan. Kita tak boleh redah sesuka hati. Tiada istilah 'redahlogi'...




Sabtu, 16 Ogos 2014

Mukjizat Doa

Teks: Fauziah Sirat

Hari ini di celah-celah kesibukan Syawal, di celah-celah jemputan rumah terbuka, saya mencuri masa bertemu anak sulung yang sudah dua minggu tidak ditatap. Ada istimewanya pertemuan kali ini yang menyentuh mata hati. 

Di tempat pertemuan kami, saya menyaksikan seorang penjaja keropok ikan. Pemandangan yang bukan asing di mata saya. Kerap saya disapa penjaja keropok yang bergerak begini. Di depan pasar raya, di tempat letak kereta malah beberapa kali di hadapan pejabat sendiri. Adakala saya membeli, adakala saya menolak dengan baik.

Entah kenapa kali ini saya tersentuh. Melihat beliau buat saya mebulatkan azam. Saya pasti akan singgah membeli pabila selesai urusan. Usai urusan, saya tak bertangguh. Segera saya selesaikan urusan jual beli dengan beliau. "Saya orang Kelantan kak. Maaf kak kalau tak faham cakap saya." Tergelak saya. "Tak apa. Saya faham.", balas saya juga dalam loghat Kelantan yang tak berapa nak tepat nahunya. Hihihi... Mungkin ini biasa berlaku pada orang lain, tetapi tidak pada saya. Sejurus duit bertukar barang, segera tangannya diangkat mendoakan saya sekeluarga. Saya dan anak-anak spontan mengangkat tangan mengaminkan doa beliau tanpa menghiraukan orang ramai yang lalu lalang. Hati kecil saya tiba-tiba tersentuh....

Saya terus teringat satu artikel yang pernah dibaca. Jika kita benar-benar mahu mendoakan seseorang, lakukanlah sebenar-benarnya di depan orang tersebut. Itu lebih baik daripada kita sekadar berkata,"Insyaallah, saya akan doakan awak." Saya benar-benar terkesan dengan peristiwa tadi. Saya belajar lagi hari ini. Alhamdulillah...

Ahad, 10 Ogos 2014

Hilang Dipuput Bayu Usia

Teks: Fauziah Sirat
Foto: Kredit kepada Kelab Ibu Bapa 3 Azam, SMK Seksyen 7, Shah Alam

Hari ini saya mahu berkongsi cerita tentang pengalaman sejagat. Semua ibu bapa pasti mengalaminya. Kisah anak-anak kecil kita yang sangat suka bertanya. Habis semuanya mahu ditanya. Kenapa langit warna biru? Kenapa bulan ikut kita? Kenapa bulan jauh? Kenapa ada pelangi? Kenapa kereta F1 laju? Dan pelbagai jenis soalan lagi yang meluncur laju daripada mulut kecil mereka. Sedar tak sedar, keseronokan bertanya itu perlahan-lahan hilang apabila anak-anak menginjak usia. Ianya hilang sedikit demi sedikit dipuput bayu usia. Tentunya ada sesuatu yang melunturkan  keghairahan itu. Pasti ada...

Saya tidak berminat mengkaji apa yang menyebabkan sikap suka bertanya itu luntur ditelan peningkatan usia. Saya hanya mahu mereka kembali suka bertanya. Saya tidak mahu anak-anak duduk belajar tanpa ada rasa ingin bertanya. Justeru, apabila kemahiran berfikir aras tinggi tiba-tiba menjadi istilah 'panas' di dalam dunia pendidikan tanah air, saya tahu ini masa yang paling sesuai untuk mengembalikan kemahiran fitrah seorang manusia terutamanya budaya suka bertanya.  Alhamdulillah, saya kini telah bersedia berkongsi sedikit ilmu dan ilham yang dipinjamkan oleh Allah untuk membantu para pelajar dan guru-guru menguasai teknik kemahiran berfikir aras tinggi.  

Kemahiran berfikir aras tinggi tidak mungkin akan dicapai tanpa menguasai kemahiran berfikir aras rendah. Kenali dan kuasai kedua-duanya melalui PROGRAM KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI kendalian saya.  Untuk maklumat lanjut, hubungi saya di fsirat@yahoo.com atau www.facebook.com/fauziah.sirat. 

Kemahiran  berfikir tidak dinilai melalui jawapan, tetapi melalui soalan yang ditanya

Rabu, 6 Ogos 2014

Setengah Jam Yang 'Kejam'

Apa yang berlaku lewat malam semalam mengingatkan saya kepada kejadian yang pernah berlaku lebih sepuluh tahun lalu. Saya pernah kehilangan anak di kompleks membeli belah! Bukan seorang. Tetapi dua orang. Dua orang anak lelaki saya yang masih kecil ketika itu; tak sampai 6 tahun terperangkap di dalam lif bersendirian tanpa saya. Alhamdulillah. Akhirnya, anak-anak saya selamat ditemui oleh orang baik-baik di dalam lif tersebut dan dihantar ke tempat perkhidmatan pelanggan. 

Hanya Allah yang tahu ketika itu bagaimana tahap kerisauan yang melanda diri. Setengah jam mengharungi momen itu cukup membuatkan saya huru hara; hilang punca; panik sepanik-paniknya. Saya tahu saya akan berfikir lebih baik ketika itu sekiranya saya bertenang. .Tetapi bertenang ketika kehilangan anak adalah sesuatu yang luar biasa dilakukan oleh saya. Naluri ibu tidak berupaya menenangkan saya detik itu. Apa pun, saya banyak belajar daripada tempoh setengah jam yang tersebut.

Ibu bapa tidak boleh leka di dalam aspek keselamatan anak-anak terutamanya apabila berada di tempat umum. Sentiasa ada kemungkinan untuk anak-anak hilang daripada pandangan walau sesaat dua. Justeru, berdasarkan kejadian yang menimpa saya, alangkah baiknya sekiranya anak-anak saya diajar menghafal nombor telefon bimbit saya ketika itu. Alangkah baiknya sekiranya saya juga selalu berpesan, "sekiranya berlaku sesuatu, cari orang dewasa. Minta tolong mereka bawa abang dan adik ke tempat perkhidmatan pelanggan". Pasti lebih baik sekiranya anak-anak telah diorientasikan tempat-tempat penting di sesuatu tempat umum. Tunjukkan di mana tempat perkhidmatan pelanggan, di mana kaunter polis bergerak (sekiranya ada). Tunjukkan juga siapa pekerja-pekerja di tempat itu; contohnya pengawal keselamatan. "Yang itu pakcik pengawal keselamatan. Kerjanya menjaga keselamatan tempat ni. Kita akan cari dia kalau kita hilang barang. Ada juga ibu bapa yang jumpa pak cik tu kalau anak mereka hilang."  Apapun, lakukan perkara-perkara ini tanpa menimbulkan rasa takut anak-anak untuk ke tempat umum. Lakukannya sebagai satu rutin; dalam bentuk bercerita dan bersembang. Anak-anak akan segera dapat mesej sekiranya ianya dilakukan berulang-ulang dalam bentuk yang santai.

Anak-anak saya kini sudah jadi anak bujang. Ada umur panjang, saya bakal menjadi nenek. Tentunya saya enggan cucu-cucu saya menempuh momen 'setengah jam' itu. Cerita ini akan jadi kisah keturunan saya. Saya akan pastikan pengalaman saya mengajar anak-anak saya untuk mengajar anak-anak mereka pula. Insyaalllah...





Ahad, 3 Ogos 2014

Rahsia Sekeping Gambar

Teks: Fauziah Sirat
Foto: Koleksi Peribadi


Bercerita pasal cuti raya seminggu yang lalu, saya paling tertarik untuk mengupas perihal seronok-seronok mengambil gambar. Ramai yang ralit mengambil gambar. Apa tidaknya, hampir semua orang punya kamera di tangan. Setiap saat, setiap detik mahu diabadikan. Tak perlu kamera canggih-canggih. Hanya perlu petik kamera di 'handphone' dan tablet. Semua sudah terakam. Kegilaan pelbagai gajet; 'monopod', 'fish eye', 'selfie' terus mewarnai suasana raya kali ini.  Keluarga saya tidak terkecuali. Yang tua sekali-kali mahu juga merasa bergaya 'selfie' dengan monopod. Hihihi....

Ini gambar saya dan sang arjuna yang dirakam dengan kamera DSLR secara kandid oleh anak dara saya. Gambar ini dimuatkan oleh sang arjuna di facebook beliau dengan tag nama saya. Di kalangan keluarga saya, gambar ini mencetus fenomena. Ianya menerima hampir 100 'likes'! Sesuatu yang luarbiasa terutama untuk sang arjuna saya. 

Bukan pasal bilangan 'likers' saya mahu dikongsikan di sini...tetapi perihal bagaimana kita melihat dan membuat persepsi terhadap sesuatu yang kita lihat. Di dalam gambar ini, kelihatannya sang arjuna memimpin tangan saya; nampak kami sangat 'sweet' walhal pada hakikatnya tiada sentuhan fizikal yang berlaku (tetapi kami tetap 'sweet' ya. Hihihi...). Beliau sedang berlenggang mahu ke depan dan saya pula mahu mengorak langkah mengikut beliau. Itu sahaja. Itu hebatnya bagaimana kekuatan visual memberi impak kepada seni persepsi dan tanggapan.

Apa yang dilihat tidak semestinya serupa seperti apa yang kita sangka.  Sebab itu, kita sentiasa dianjurkan untuk berbaik sangka. Berbaik sangkalah sekalipun apa yang dipandang, tidak menyejukkan mata, tidak mendamaikan jiwa.... 





Isnin, 28 Julai 2014

Riuh Raya Riuh Sana

Sesuatu yang tak mampu dinafikan pabila Syawal menjelma adalah keseronokan dilingkungi riuh, hilai tawa dan hiruk pikuk keluarga dan sanak saudara. Dalam bergembira, pastinya ada hiba yang bertamu. Tatkala menziarahi pusara bonda dan memohon ampun mencium tangan ayahanda, air mata deras tak tertahan. Itulah warna-warni Aidilfitri. Bukan setakat meraikan kemenangan berpuasa di bulan Ramadhan malah ada hikmah yang tersirat.

Seiring dengan usia yang bertakuk satu demi satu, saya seronok melihat puluhan anak buah yang sudah meningkat dewasa. Walaupun berjumpa setahun sekali, saya akur akan kekuatan ukhwah yang terbentuk. Kali ini pasti mereka tak akan lupa akan ibu saudara mereka yang seorang ini. Habis ditegur mereka yang asyik menghadap 'tablet' dan telefon pintar. Sudahlah berjumpa tidak selalu, benda itu juga yang mahu dipandangnya. Sindrom Gen-Y? Hmmmm...

Hasil sembang-sembang santai dengan mereka, saya juga tidak menolak hakikat akan ketaksuban mereka kepada kekuatan visual. Penatnya nak baca blog; panjangnya...komen mereka. Kalau ada gambar, nak juga kami baca. Bertambah lagi komen mereka. Banyak komen betul anak buah saya kali ini. 

Maaf juga kerana kali ini 'Mak Cik Uji' juga tak punya gambar. Tapi idea menulis sudah dicantas supaya tak penat kalian membaca. Selamat membaca.


Selasa, 22 Julai 2014

Apabila Pohon Durian Berbunga

Teks: Fauziah Sirat
Foto: Imej Google

Semalam di hujung kelas kimia, saya mengusulkan pernyataan ini; pokok yang berbuah pasti berbunga, tetapi tak semestinya pokok yang berbunga itu berbuah. "Setuju?", tanya saya kepada pelajar-pelajar. Hampir kesemua menggeleng-gelengkan kepala. "Durian berbunga?". Geleng lagi. "Rambutan berbunga?". Geleng lagi. "Mangga?". Pun masih menggeleng.  "Durian, rambutan, mangga berbunga la sayang....". Aduhai....Inilah gara-gara pabila hidup di kota, anak-anak hanya didedahkan dengan buahnya sahaja, tanpa ada pendedahan melihat pokok dan bunganya.

Peristiwa 'bunga dan buah' ini menyuntik lagi rasa yang entah kali ke berapa. Saya tidak berniat menuding jari kepada mana-mana pihak, sementelah saya juga lahir dari sistem pendidikan yang sama; serupa dengan anak-anak saya dan pelajar-pelajar saya sendiri. Tetapi saya punya nyala rasa tersendiri. Ada sesuatu yang boleh diperbaiki di dalam sistem ini, walaupun cuma setakuk dua, walaupun cuma berdikit-dikit. Kita perlu banyakkan ruang untuk 'doing' supaya pengalaman dapat dicetuskan. Pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah wajar ada banyak sesi 'doing'. Banyakkan aktiviti di dalam, di luar kelas malah sentiasa ada kewajaran untuk membawa PdP hingga ke ruang komuniti. Peristiwa 'bunga dan buah' ini tidak akan berlaku sekiranya pelajar-pelajar ini dibawa ke dusun durian ketika musim durian berbunga. Sentuh bunga durian yang gugur. Hidu aromanya. Tinggal semalaman di situ. Saksikan riuh kumbang-kumbang menjalankan proses pendebungaan. Ini namanya pengalaman.

Kita paling banyak belajar melalui pengalaman bukan semata-mata menerusi pengetahuan yang dipindahkan. Terus-terang saya katakan, saya tidak ingat apa yang cikgu fizik ajarkan kepada saya, 26 tahun lalu. Tetapi yang tersemat erat di dalam minda saya adalah pengalaman belajar dengan beliau, Cikgu Normah. Aura suaranya, kecantikan beliau dan ketegasan beliau dalam membentuk penampilan seorang wanita. Saya masih ingat bagaimana beliau mengajar kami berjalan dengan meletakkan buku di kepala. Dan saya tidak berlengah buat perkara yang sama apabila pulang dari sekolah. Letak buku di kepala agar jalan saya sama cantik macam Cikgu Normah. Itu saya ingat! Itu hasilnya pabila 'doing' berlaku.

Ayuh! Besarkan takrifan sekolah. Sekolah memandu. Akademi tarian. Sekolah karate. Kelas memasak. Sekolah menjahit Apapun namanya, sekolah-sekolah ini berjaya mengajar kita dengan memindahkan kemahiran dan pengalaman melalui 'doing'. Kita tidak belajar memandu kereta dengan mendengar ceramah guru di dalam kelas. Tetapi kita turun padang, masuk ke dalam kereta dan memandu. Ini hakikat. We learn the most by doing!!!

Durian yang sedang galak berbunga






Khamis, 17 Julai 2014

Ramadhan Terakhir

Teks: Fauziah Sirat
Foto: Imej Google

Semalam usai menyapu laman, saya duduk menghadap laptop. Sasaran saya adalah memurnikan modul-modul latihan saya. Ini kerja wajib dari masa ke masa. Modul perlu dinamik sejajar dengan keperluan semasa. Tak boleh statik. Perlu sentiasa relevan.

Sambil-sambil bekerja, sengaja tv dibuka jadi peneman. Saya kurang gemar suasana sunyi ketika mencari idea. Bising-bising itu perlu. Kadang-kadang suara-suara yang bergema itu mencetus idea. Saya mendengar perkataan 'angin ramadhan', 'malam ramadhan' dan 'aura ramadhan'. Ramadhan bukan sekadar objek-objek yang kelihatan tetapi lebih daripada itu. Perkara-perkara tidak kelihatan yang jauh dan dalam maksud  serta ertinya. Alhamdulillah, itu santapan telinga yang bermanfaat umtuk saya.

Masih lagi membawa aura Ramadhan, kali ini tv betul-betul menuntut perhatian saya. Wanita Hari Ini, membawa seorang banduan wanita yang menghitung hari ke tali gantung ke studio. Tahun ini katanya Ramadhannya yang terakhir. Saya terpaku dan terharu. Pertemuan langsung yang diatur oleh pihak produksi antara wanita tersebut dengan keluarganya di studio mengundang airmata hiba saya. Mereka yang  tidak pernah ada sentuhan fizikal sejak lima tahun lalu saling berpelukan erat. Sungguh! Momen itu sungguh menyentuh naluri. Saya tutup tv dengan kata-kata ustaz yang kekal tersemat. "Wanita ini bertuah kerana tahu bila saat dijemput Illahi. Beliau ada masa bertaubat. Mendekatkan diri dengan Yang Esa, Bukan cara mati yang perlu dirisaukan. Bagaimana kita mati; beriman ataupun tidak, itu yang harus kita persiapkan." Subhanallah!

Dan awal pagi ini, kita dikejutkan dengan tragedi MH17. Innalillahiwainnailahirrojiun....
Jumaat yang murung untuk kita semua.
Salam takziah untuk semua keluarga penumpang dan krew MH17.




Selasa, 15 Julai 2014

Masuk Sekolah Lagi...

Teks: Fauziah Sirat

Saya sudah banyak kali ditanya tips memulakan bisnes pusat tuisyen. Ada banyak ketika saya takut-takut mahu berkongsi. Bimbang resipi saya tidak sesuai dengan orang lain. Tetapi rasa-rasanya saya sudah sedia mahu berkongsi. Ianya cuma sebagai panduan yang berdasarkan pengalaman semata-mata. Bukan satu tips mutlak yang tidak boleh diubah-ubah. Terserah kepada pembaca untuk menilai, mengunyah dan menghadamnya. Mudah-mudahan boleh membantu tuan puan yang berminat dalam industri pusat tuisyen.

Rencana saya untuk menubuhkan pusat tuisyen bukanlah dirancang lama. Saya bermula tanpa ada 'Business Model'. Ianya bermula tanpa sengaja. Bisnes ini dipilih semata-mata kerana saya mahu mempunyai karier sendiri walaupun saya tidak lagi makan gaji. Berkarier dan pada masa yang sama punya banyak masa untuk keluarga. Daripada sudut pandang bisnes, tindakan saya melangkahkan kaki ke dunia bisnes tanpa berpanduan barangkali boleh dianggap berani atau 'berani buta' atau 'berani bodoh'. Tanpa ilmu, tanpa guru, saya jalan terus dipandu diri sendiri dan didokong suami. Adakah itu satu kesilapan? Tidak! Cuma saya melalui pengalaman yang lebih panjang untuk menginjak ke paras yang selesa. Saya percaya sekiranya saya berguru dengan guru yang berilmu, berpengalaman, komited dan ikhlas, berkemungkinan saya sudah berada di takuk pencapaian yang berbeza hari ini.

Tips pertama saya mudah. Sekiranya anda punya hasrat untuk menceburkan diri dalam bisnes; tak kiralah bisnes pusat tuisyen atau bisnes yang lain, yang pertama-tamanya carilah ilmu. Bergurulah. Berkulilah. Bak kata seorang usahawan yang saya kagumi, Dato' Roslan Ab Hamid, "Jadilah orang yang sanggup ikat perut untuk beli dan cari ilmu". Bila berguru, jangan pula malu bertanya. Bimbang nanti ada yang sesat di tengah jalan...paling bimbang kalau sesatnya sudah di hujung jalan...Aduhai...

Selamat berguru :)






Ahad, 13 Julai 2014

Bermula Dengan Tulus Doa

Teks : Fauziah binti Sirat

Setiap kali saya bertemu 'orang baru', selalunya ada dua soalan yang kerap ditanya. "You ni cikgu ke?" atau "You mengajar di mana ya?". Kadang-kadang saya belum bercerita perihal karier ataupun profesion, saya sudah menerima soalan serkap jarang yang ada benarnya. Barangkali ada cop 'cikgu' di dahi saya. Hihihi. Teringat pula arwah emak saya. Selalu bila menemani emak ke pasar, orang akan panggil emak 'cikgu' walhal  emak hanya suri rumah sepenuh masa yang rajin berbisnes. Barangkali emak juga punya raut cikgu di mana-mana. Wallahualam.

Jika diselusuri sejarah hidup saya, arwah emak memang kerap menyuruh saya menjadi cikgu. Adat alasan orang tua kita."Cikgu ni kerjanya senang, separuh hari aje, cuti banyak; banyak masa boleh kat rumah". Tapi pada ketika itu, alasan-alasan emak tidak menyebabkan saya jatuh cinta dengan karier guru. Saya tolak cadangan emak baik-baik. Di mata saya, kerja guru tidak mungkin membolehkan saya jadi wanita korporat. Saya mahu punya jawatan tinggi, bekerjaya, pakai kot dan bergaya. Inilah akibatnya gara-gara kerap disogok dengan drama korporat melayu di tv. Saya antara mereka yang terpengaruh. Aduh!

Siapalah kita untuk menolak kekuatan doa seorang ibu. Selepas enam tahun di organisasi korporat, saya meletakkan jawatan dan akhirnya memulakan bisnes pusat tuisyen. Saya mengajar di pusat tuisyen sendiri. Saya akhirnya dipanggil cikgu. Kini hampir 13 tahun, alhamdulillah saya masih di bidang ini. Dan saya tahu pilihan arwah emak tidak salah kerana saya sesungguhnya mencintai karier saya hari ini.

Cuma ada impian yang belum tertunai. Emak bertanya,"Kau punya bisnes pusat tuisyen ini untungnya berapa?". Setelah diberikan angkanya emak selamba menjawab, "Sikit sangat tu." Hahaha. Emak oh emak!!! Rasa rindu pada arwah tak pernah berhenti. Al-fatehah... 

  

Khamis, 10 Julai 2014

Mengajar Dengan Jiwa

Teks: Fauziah Sirat
Foto: Koleksi Peribadi


Dalam tempoh seminggu ini, saya berdepan dengan dilema kisah guru. Sahabat saya mengadu anak buahnya ditumbuk guru sehingga lebam matanya gara-gara tidak membuat kerja rumah. Pelajar-pelajar saya pula mengadu ada guru yang mendoakan mereka gagal SPM gara-gara tidak menurut arahan beliau. Pagi ini, sesudah sahur, tak semena-mena saya tertonton satu adegan di tv; anak kecil menangis-nangis tidak mahu ke sekolah. Katanya cikgu kata dia bodoh, cikgu kata dia budak lembab. Gugur juga air mata saya. Pandai sungguh si kecil itu berlakon.

Selagi manusia bergelar manusia; ternyata ada kesukaran besar dalam memisahkan profesionalisme perguruan dengan emosi peribadi. Walaupun kenyataan ini berbentuk umum, kita tidak nafikan perkara sebegini hanya dilakukan oleh sebilangan kecil guru sahaja. Masih ramai guru yang hebat, memiliki karisma dan berkaliber, mampu menjadi contoh dengan tingkah laku dan percakapan yang sopan. Tetapi adat orang kita, cerita-cerita negatif sebegini 'bisingnya' lebih riuh daripada kisah seorang guru hebat yang mengubah nasib pelajarnya! Hmmm...

Saya seorang ibu. Saya juga seorang guru. Saya mengajar anak sendiri dan anak orang lain. Kisah-kisah guru 'kecil' ini sentiasa dijadikan iktibar dan sempadan dalam memperbaiki diri dan prestasi sebagai seorang ibu dan guru. Ibu sama seperti seorang guru; tidak boleh beremosi dalam tindak-tanduknya, tidak boleh menggunakan kekerasan emosi dan  fizikal terhadap anak-anaknya, tidak boleh memperkecil-kecilkan anak-anak, tidak boleh juga melabelkan mereka dengan panggilan negatif sesuka hati.  Pendek kata, saya percaya ciri-ciri seorang ibu yang pengasih dan penyayang perlu ada dalam diri seorang guru. Mengajarlah dengan jiwa agar anak-anak rasa sentuhan kasih kita di jiwa mereka.





Ahad, 6 Julai 2014

Memoir 88

Teks: Fauziah Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

'88 terakhir kami di sini
Tinggalkan dikau terus berlari
Demi pencarian satu destinasi
Mengejar cita membina mimpi

26 tahun kami tinggalkan
Tidak sekali kami lupakan
Tinggi hasrat mahu berdepan
Dugaan menyilang hajat tertahan

Langkah diatur acara disusun
2014 kami berhimpun
Nostalgia bersama diikat serumpun
Moga kekal turun temurun

STS nama sekolah kami
Mewah kenangan tersimpan rapi
Jika bukan dek berkawah budi
Kami tak mungkin jadi begini

  Memoir '88
  Sekolah Tinggi Segamat dalam Kenangan














Selasa, 1 Julai 2014

Permata di Gurun Sahara

Ini kisah seorang guru di tempat saya. Usianya lebih separuh abad. Seorang guru pesara Bahasa Inggeris. Bekas pemeriksa dan penanda kertas SPM. Hebatnya ilmu dan pengalaman beliau jauh mengatasi mana-mana guru di tempat saya. Malah saya sangat kerdil dibandingkan dengan beliau. 

Beliau antara guru yang sentiasa menjadi inspirasi saya. Walau hakikatnya, saya umpama majikan 'muda' kepada beliau, saya boleh merasakan hormatnya beliau kepada saya. Setiap kali ada kesempatan, beliau pasti akan menegur saya. Seringkas bertanya khabar; saya sudah boleh merasakan keikhlasannya. Kalau punya masa, beliau akan singgah ke bilik saya. Bercerita pencapaian anak-anak di dalam kelas. Saya masih ingat lagi, sebelum saya bercuti menunaikan umrah, beliau antara terawal mengucapkan selamat jalan dan pabila saya pulang, rasanya beliaulah satu-satunya guru yang bertanya khabar dan menuntut saya bercerita pengalaman di Mekah dan Madinah.

Guru saya yang satu ini sangat menyanjungi ketepatan masa. Beliau tidak pernah lewat. Sekurang-kurangnya lima belas minit awal beliau sudah sampai. Beliau tak punya telefon bimbit; hanya boleh dihubungi dengan telefon rumah. Tetapi staf saya tak pernah sekali perlu menghubungi beliau dengan pertanyaan,'Cikgu kat mana? Kelas dah nak mula ni...', kerana beliau akan sentiasa terpacul lebih awal dari sepatutnya. Pernah sekali beliau tidak muncul awal seperti selalu. Kami mula diselubungi gusar. Risau sesuatu terjadi kepada beliau. Telefon rumah dihubungi. Rupa-rupanya beliau sudah lama keluar rumah. Kami bertambah bimbang kerana tiada cara menghubungi beliau. Selang beberapa minit, beliau muncul. Saya yang berdiri di hadapannya tidak disapa seperti biasa. Beliau terus bergegas masuk ke kelas. Usai mengajar, beliau segera bertemu saya. Memohon kemaafan atas kelewatan tidak dijangka. Rupa-rupanya MRR2 sesak teruk.

Ketinggian ilmu dan pengalaman luasnya ada kala menyebabkan saya bimbang kalau-kalau saya terlebih mengajar beliau. Tetapi beliau tetap merendah diri. Setiap kali saya memanggil guru-guru bermesyuarat, beliau jugalah yang hadir; setiap kali saya memberikan taklimat, beliau jugalah yang hadir. Setiap kali saya memberi memo, beliau jugalah yang pertama memberi respon. Pendek kata, apa sahaja tugasan dan keperluan untuk menjayakan karier perguruannya, beliau tidak pernah gagal memberi komitmen. Semalam, beliau berjumpa saya lagi. 'Puan, saya tidak pandai berinternet. Komputer juga saya tak pandai guna.Tapi saya tahu sampel instrumen PT3 ada di dalam website kementerian. Boleh puan tolong cetakkan untuk saya?'.  

Guru sebegini bagai mencari sebutir permata di lautan pasir Gurun Sahara. Saya tidak malu mengaku guru ini jadi pencetus semangat untuk saya menyemak diri senantiasa. Beliau hormatkan saya yang jauh lebih muda, beliau memohon maaf walau di atas kesalahan yang bukan berpunca daripadanya, beliau sentiasa mencari ruang untuk berkomunikasi; bertukar maklumat dan pandangan, beliau menjadikan ketepatan masa sebagai budaya hidupnya, beliau merendah diri dan beliau punya komitmen yang terbaik. Saya tahu beliau tidak akan membaca catatan saya ini. Tetapi saya mahu dunia tahu bahawa saya terhutang budi kepada beliau atas segala tunjuk ajar yang barangkali tidak pernah beliau sedari. 'Dear Sir Jernail Singh, you are definitely one of my role models. Thank you sir!'.


Isnin, 30 Jun 2014

Kerana Sayang

Awal-awal lagi Ramadhan sudah menguji. Benarlah. Menguruskan manusia tak pernah mudah. Secara teknikal, bisnes saya memerlukan saya berurusan dengan tiga kelompok manusia; ibu bapa, pelajar-pelajar dan guru-guru. Ini tentunya dipersetujui oleh semua sahabat yang berkecimpung dalam bisnes pendidikan. Kami perlu menjaga rapi ketiga-tiga kelompok ini dengan penuh hati-hati. Tetapi itulah...selagi manusia bergelar manusia...serapi mana dijaga, pasti ada yang tersentap di jiwa, ada yang salah di mata. Gara-gara menegur, saya terus disalah anggap.

Sebagai seorang yang sangat mencintai karier perguruan, saya amat mementingkan kemajuan anak-anak didik saya. Biar tidak menggondol "A", melihat mereka beranjak dari satu aras ke aras yang lain sudah membenih rasa syukur yang amat. 'Teaching is not happen if learning does not happen'. Saya sangat yakin dengan kata-kata itu. Saya akan resah, berkecamuk jiwa, berpusing minda,; memikir cara, mencari strategi untuk memudahkan cara sekiranya pelajar-pelajar saya berdepan dengan pelbagai masalah menguasai kemahiran. Saya berhempas pulas mencari jalan. Walau ada kalanya, saya bertemu jalan buntu; saya tahu saya tidak boleh mengundur diri.

Cintanya saya kepada karier menyebabkan saya sangat menyayangi pelajar-pelajar saya.  Melihat mereka memacu ke hadapan; walau sedikit, walau setakuk, walau seinci, ia sangat besar ertinya kepada saya. Justeru, saya terkilan kalau ada guru-guru di pusat tuisyen saya yang tidak menjiwai kasih sayang saya kepada anak-anak yang belajar di tempat saya. Saya sedih kalau mereka tidak mampu membawa impian saya ke dalam proses mengajar di dalam kelas. Saya kecewa sekiranya mereka mengambil jalan mudah tanpa ada jiwa membimbing.

Saya percaya ramai guru dedikasi yang punya rasa seperti saya. Yang berusaha mengajar daripada jiwa dan menyentuh jiwa. Yang mengajar demi cintakan Allah dan kasihkan RasulNya. Demi mendidik anak-anak ini menjadi khalifah yang lebih baik daripada kita. Saya mohon kita sama-samalah berkongsi kebaikan; saling tegur-menegur. Membudayakan tegur-menegur demi kebaikan bersama. Jika ditegur, terima teguran dengan terbuka. Kita ditegur kerana kita disayangi, bukan kerana dibenci.  Saya teringat kata-kata Dr Robiah ketika satu sesi di Kongres Kebangsaan Tadika 2014 tidak lama dahulu. Antara lain bunyinya begini,"Kalau kita ini namanya guru, kelak nanti dipersoal di akhirat, apakah yang telah kau ajar akan si polan ini". Subhanaallah. Besar sungguh tanggungjawab kita sebagai guru. Ingatan untuk diri saya sendiri untuk terus jadi yang lebih baik...

Mereka Yang Sentiasa Mewarnai Hidup Saya






Ahad, 29 Jun 2014

Misi Sehari Sebelum Ramadhan

Tahun lepas, saya sekeluarga bercuti di Melaka. Ianya menjadi antara percutian kami yang cukup menyeronokkan. Percutian bertambah nilai apabila kami akhirinya dengan bersarapan di bandar Muar, bandar Maharani. Tak pernah lagi kami punyai pengalaman sebegini. Bersarapan dengan sate dan mee rebus di pagi hari. Hanya di Muar!

Sejak saat itu, sang arjuna tak habis-habis mencari masa untuk ke Muar lagi. Hanya untuk bersarapan. Bersarapan sate dan mee rebus yang dirindui. Akhirnya, masa yang lama dinanti tiba jua. Semalam kami ke Muar dengan misi sarapan. Seawal jam 7 pagi sudah meninggalkan KL dan sampai di Muar lebih kurang jam 10.00 pagi. 

Kali ini kami tidak ke tempat yang sebelumnya. Hasil daripada usaha sang arjuna; berdasarkan pelbagai rating sahabat-sahabatnya, kami ke tempat yang popular yang dicadangkan. Di celah pelanggan yang ramai bertamu, kami bersyukur mendapat tempat duduk. Tidak dapat dinafikan, tempat ini artistik hiasannya. Ringkas. Menarik. Pelanggan memang ramai. Tak putus silih berganti. Memang sah. Tempat ini popular.

Kami mula resah apabila tidak siapa membersihkan meja yang penuh dengan pinggan-mangkuk pelanggan terdahulu. Bertambah resah apabila tiada siapa yang mengambil 'order'. Lama menanti, akhirnya 'order' diambil. Dipendekkan cerita, tiada yang lancar. Mee rebus sampai. Meja masih tidak dikemaskan. Mee rebus sudah habis. Air masih belum sampai. Sate dihidangkan tanpa kuahnya. Anak-anak masih belum kenyang. Sate yang sampai bilangannya tak cukup menampung perut ahli rombongan saya yang 10 orang! Saya bangun mengambil sate sendiri. Anak bujang saya duduk bertunggu di depan mak cik mee rebus. Dah jadi layan diri namanya.  

Saya dan sang arjuna tiba-tiba rasa kenyang. Kenyang dengan sabar kata anak-anak saya. Selesai makan, kami beransur pulang. Anak-anak saya berpesan, 'kalau nanti ke Muar lagi, kita pergi ke restoran yang dulu ya'. Kami tak bertangguh lagi untuk bersetuju. Kami pasti akan datang lagi. Tetapi bukan ke tempat yang popular. Hati kami sudah terikat di tempat yang tidak popular...

Muar Bandar Maharani



Ahad, 22 Jun 2014

Kitalah Sahabat Mereka....

Sebagai seorang ibu, antara perkara wajib yang saya perlu buat ialah bertemu guru kelas anak-anak saya semasa Hari Bicara Akademik. Ada banyak ketikanya saya perlu bertemu 3 guru kelas pada hari yang sama; al-maklumlah umur anak-anak saya tidak jauh berbeza. Kalau si sulung Tingkatan 5, yang kedua Tingkatan 4, yang ketiga pula di Tingkatan 2. Nasib baiklah yang kecil masih di sekolah rendah. Kalau ada rezeki, hari bicara akademik semua anak berlaku serentak. Keempat-empatnya! Bayangkan betapa dramatiknya saya pada hari itu. Hihihi...

Tapi tahun ini, buat pertama kalinya saya tidak berpeluang melakukan perkara wajib ini. Hari Bicara Akademik anak-anak saya jatuh serentak dengan Konvesyen Penulisan 2014. Sang arjuna pergi bersendirian tanpa saya.  Ada rasa terkilan di jiwa tetapi ilmu di konvesyen saya tak boleh tinggalkan...Hidup memang perlu berkorban.

Bercerita tentang Hari Bicara Akademik ini, bertahun-tahun saya telah membuat pemerhatian. Betapa bezanya kehadiran ibu bapa ketika anak-anak di sekolah rendah dan sekolah menengah. Ibu bapa begitu komited ketika anak-anak masih di usia kanak-kanak dan perlahan-lahan ibu bapa mengambil langkah menjauhkan diri apabila anak-anak menginjak usia remaja. Saya tidaklah bermaksud semua ibu bapa begitu, tetapi itu hakikat yang saya saksikan dengan mata kepala sendiri. Sang arjuna menambah perisa cerita. Katanya ada kelas kosong yang tiada ibu bapa bertamu, cuma guru kelas yang duduk menanti setia. Ibu bapa tiada seorang pun yang datang. Ini memang kisah benar.

Saya tak nafikan ada anak-anak remaja yang tidak memanjangkan surat makluman kepada ibu bapa; tak mahu ibu bapa 'menyibuk' di sekolah; tak mahu dipanggil 'anak emak' kalau ibu bapa asyik bertandang ke sekolah.  Tapi pada pandangan saya, itu bukan alasan untuk ibu bapa tidak bertindak secara pro-aktif. Ibu bapa masih boleh datang ke sekolah atau menghubungi sekolah untuk mengetahui perkembangan anak-anak sendiri. 

Fasa remaja adalah fasa paling kritikal. Pada usia inilah kecelaruan emosi, kecelaruan identiti, dilema rakan sebaya dan pelbagai gangguan fisiologi berlaku. Peranan ibu bapa bukan hanya sebagai seorang ibu dan bapa lagi malah perlu menjadi rakan kepada anak yang paling dipercayai dan paling disenangi. Anak akan mencari kita, berkongsi cerita dan masalah. Kita perlu jadi pendamping utama mereka. Jangan sampai mereka beralih arah kepada rakan-rakan; meminta nasihat daripada mereka yang seusia!

Saya ada banyak kisah benar di dalam poket. Menyimpan kisah pelbagai anak remaja yang ketandusan kasih sayang. 'Diabaikan' oleh ibu bapa ketika mereka paling memerlukan kehadiran ibu bapa. Saya ada angan untuk berkongsi cerita. Mudah-mudahan ada yang sudi membacanya. 

Khamis, 19 Jun 2014

Menari dalam Refleksi & Interaksi


Mengapakah saya tiba-tiba menulis blog? Sebenarnya ia tidak pernah berlaku tiba-tiba. Menulis blog memang salah satu dalam senarai matlamat yang perlu saya capai tahun ini. Alhamdulillah. Saya berjaya melaksanakannya. Matlamat perlu ditulis dan perlu dikongsi. Perlu diceritakan dengan orang lain supaya matlamat itu tidak sunyi dalam diri dan hilang dimamah detik. Ini amalan biasa yang perlu terus diperbiasakan. Tulis matlamat, kongsikan matlamat dan tentukan tarikh sasarannya. Bila sudah ada sasarannya, pupukkan disiplin dalam perlaksanaannya. Inshaallah...Allah akan perkenankan.

Saya sebenarnya bukanlah mahu bercerita tentang apa yang saya lakukan dalam mencapai sesuatu matlamat, tetapi berkongsi rasa mengapa saya menulis blog. Ya! Mengapa saya menulis blog? Saya selalu bermain dengan perkataan refleksi dan interaksi. Refleksi diri. Interaksi diri. Justeru blog merupakan wadah terbaik untuk saya melakukan kedua-duanya. Refleksi dan interaksi diri. Setiap hari, kita melakukan pelbagai pemerhatian tanpa sedar mahupun dalam sedar. Ini semua pengalaman yang perlu dicatat apatah lagi kalau ia mencetus emosi dan memekarkan minda. Pasti ia wajib dicatat.

Ini kisah ketika saya mengajar pelajar-pelajar tingkatan 5. Mereka bukan golongan 'pujaan' di sekolah tetapi mereka amat tinggi bertakhta di hati saya. Mereka boleh memberikan perhatian kepada apa yang diajar malah boleh menyampaikan semula apa yang telah diajar. Cuma yang berbeza, ianya bukan dalam versi hafalan tetapi mengikut apa yang mereka faham. 

Saya: Bagi saya contoh kejadian inersia.
Pelajar: Kapalterbang ambil masa yang lama untuk berhenti walaupun pilot dah lama tekan brek, cikgu.
Saya: Kenapa pula jadi macam tu?
Pelajar: Oh. Sebab kapalterbang besar. Dia berat.
Saya: Apa pula kaitan berat dengan inersia?
Pelajar: Kalau objek tu berat, besarlah inersianya.
Saya: Oh. Jadi kalau saya dengan awak naik buaian yang ditolak dengan kekuatan yang sama, siapa berhenti dulu?
Pelajar: Cikgulah...Alaa...cikgu nak bagitau yang saya ni beratlah.
(Ha!Ha!Ha!) 

Adakah mereka faham dengan konsep yang diajar? Ya, sangat jelas mereka faham apa yang diajar. Tetapi keadaan berbeza bila saya meminta mereka membuat tugasan bertulis. Apakah definisi inersia? Nah! Mereka terkial-kial menyusun ayat. Mereka tidak hafal maksud inersia tetapi mereka faham konsepnya. Di mana duduknya pelajar-pelajar seperti ini? Mereka tidak belajar? Tidak. Mereka tidak faham? Tidak juga. Mereka tidak mampu berfikir? Tidak juga. Justeru, haruskah kita melabel mereka???

Refleksi diri. Interaksi diri. Inilah dia kepelbagaian kecerdasan (Howard Gardner). Pelajar-pelajar saya ini tidak tinggi kecerdasan linguistiknya tetapi hebat kecerdasan interpersonalnya. Lihat sekeliling kita. Anak-anak kita juga tak sama kecerdasannya walau berbaka ibu dan ayah yang sama. Raikan perbezaan. Raikan kepelbagaian...

Mahukah tuan/puan menari bersama dalam sesi refleksi & interaksi saya seterusnya?

kredit:artbysabrinaariffin