Selasa, 1 Julai 2014

Permata di Gurun Sahara

Ini kisah seorang guru di tempat saya. Usianya lebih separuh abad. Seorang guru pesara Bahasa Inggeris. Bekas pemeriksa dan penanda kertas SPM. Hebatnya ilmu dan pengalaman beliau jauh mengatasi mana-mana guru di tempat saya. Malah saya sangat kerdil dibandingkan dengan beliau. 

Beliau antara guru yang sentiasa menjadi inspirasi saya. Walau hakikatnya, saya umpama majikan 'muda' kepada beliau, saya boleh merasakan hormatnya beliau kepada saya. Setiap kali ada kesempatan, beliau pasti akan menegur saya. Seringkas bertanya khabar; saya sudah boleh merasakan keikhlasannya. Kalau punya masa, beliau akan singgah ke bilik saya. Bercerita pencapaian anak-anak di dalam kelas. Saya masih ingat lagi, sebelum saya bercuti menunaikan umrah, beliau antara terawal mengucapkan selamat jalan dan pabila saya pulang, rasanya beliaulah satu-satunya guru yang bertanya khabar dan menuntut saya bercerita pengalaman di Mekah dan Madinah.

Guru saya yang satu ini sangat menyanjungi ketepatan masa. Beliau tidak pernah lewat. Sekurang-kurangnya lima belas minit awal beliau sudah sampai. Beliau tak punya telefon bimbit; hanya boleh dihubungi dengan telefon rumah. Tetapi staf saya tak pernah sekali perlu menghubungi beliau dengan pertanyaan,'Cikgu kat mana? Kelas dah nak mula ni...', kerana beliau akan sentiasa terpacul lebih awal dari sepatutnya. Pernah sekali beliau tidak muncul awal seperti selalu. Kami mula diselubungi gusar. Risau sesuatu terjadi kepada beliau. Telefon rumah dihubungi. Rupa-rupanya beliau sudah lama keluar rumah. Kami bertambah bimbang kerana tiada cara menghubungi beliau. Selang beberapa minit, beliau muncul. Saya yang berdiri di hadapannya tidak disapa seperti biasa. Beliau terus bergegas masuk ke kelas. Usai mengajar, beliau segera bertemu saya. Memohon kemaafan atas kelewatan tidak dijangka. Rupa-rupanya MRR2 sesak teruk.

Ketinggian ilmu dan pengalaman luasnya ada kala menyebabkan saya bimbang kalau-kalau saya terlebih mengajar beliau. Tetapi beliau tetap merendah diri. Setiap kali saya memanggil guru-guru bermesyuarat, beliau jugalah yang hadir; setiap kali saya memberikan taklimat, beliau jugalah yang hadir. Setiap kali saya memberi memo, beliau jugalah yang pertama memberi respon. Pendek kata, apa sahaja tugasan dan keperluan untuk menjayakan karier perguruannya, beliau tidak pernah gagal memberi komitmen. Semalam, beliau berjumpa saya lagi. 'Puan, saya tidak pandai berinternet. Komputer juga saya tak pandai guna.Tapi saya tahu sampel instrumen PT3 ada di dalam website kementerian. Boleh puan tolong cetakkan untuk saya?'.  

Guru sebegini bagai mencari sebutir permata di lautan pasir Gurun Sahara. Saya tidak malu mengaku guru ini jadi pencetus semangat untuk saya menyemak diri senantiasa. Beliau hormatkan saya yang jauh lebih muda, beliau memohon maaf walau di atas kesalahan yang bukan berpunca daripadanya, beliau sentiasa mencari ruang untuk berkomunikasi; bertukar maklumat dan pandangan, beliau menjadikan ketepatan masa sebagai budaya hidupnya, beliau merendah diri dan beliau punya komitmen yang terbaik. Saya tahu beliau tidak akan membaca catatan saya ini. Tetapi saya mahu dunia tahu bahawa saya terhutang budi kepada beliau atas segala tunjuk ajar yang barangkali tidak pernah beliau sedari. 'Dear Sir Jernail Singh, you are definitely one of my role models. Thank you sir!'.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan