Isnin, 28 Julai 2014

Riuh Raya Riuh Sana

Sesuatu yang tak mampu dinafikan pabila Syawal menjelma adalah keseronokan dilingkungi riuh, hilai tawa dan hiruk pikuk keluarga dan sanak saudara. Dalam bergembira, pastinya ada hiba yang bertamu. Tatkala menziarahi pusara bonda dan memohon ampun mencium tangan ayahanda, air mata deras tak tertahan. Itulah warna-warni Aidilfitri. Bukan setakat meraikan kemenangan berpuasa di bulan Ramadhan malah ada hikmah yang tersirat.

Seiring dengan usia yang bertakuk satu demi satu, saya seronok melihat puluhan anak buah yang sudah meningkat dewasa. Walaupun berjumpa setahun sekali, saya akur akan kekuatan ukhwah yang terbentuk. Kali ini pasti mereka tak akan lupa akan ibu saudara mereka yang seorang ini. Habis ditegur mereka yang asyik menghadap 'tablet' dan telefon pintar. Sudahlah berjumpa tidak selalu, benda itu juga yang mahu dipandangnya. Sindrom Gen-Y? Hmmmm...

Hasil sembang-sembang santai dengan mereka, saya juga tidak menolak hakikat akan ketaksuban mereka kepada kekuatan visual. Penatnya nak baca blog; panjangnya...komen mereka. Kalau ada gambar, nak juga kami baca. Bertambah lagi komen mereka. Banyak komen betul anak buah saya kali ini. 

Maaf juga kerana kali ini 'Mak Cik Uji' juga tak punya gambar. Tapi idea menulis sudah dicantas supaya tak penat kalian membaca. Selamat membaca.


Selasa, 22 Julai 2014

Apabila Pohon Durian Berbunga

Teks: Fauziah Sirat
Foto: Imej Google

Semalam di hujung kelas kimia, saya mengusulkan pernyataan ini; pokok yang berbuah pasti berbunga, tetapi tak semestinya pokok yang berbunga itu berbuah. "Setuju?", tanya saya kepada pelajar-pelajar. Hampir kesemua menggeleng-gelengkan kepala. "Durian berbunga?". Geleng lagi. "Rambutan berbunga?". Geleng lagi. "Mangga?". Pun masih menggeleng.  "Durian, rambutan, mangga berbunga la sayang....". Aduhai....Inilah gara-gara pabila hidup di kota, anak-anak hanya didedahkan dengan buahnya sahaja, tanpa ada pendedahan melihat pokok dan bunganya.

Peristiwa 'bunga dan buah' ini menyuntik lagi rasa yang entah kali ke berapa. Saya tidak berniat menuding jari kepada mana-mana pihak, sementelah saya juga lahir dari sistem pendidikan yang sama; serupa dengan anak-anak saya dan pelajar-pelajar saya sendiri. Tetapi saya punya nyala rasa tersendiri. Ada sesuatu yang boleh diperbaiki di dalam sistem ini, walaupun cuma setakuk dua, walaupun cuma berdikit-dikit. Kita perlu banyakkan ruang untuk 'doing' supaya pengalaman dapat dicetuskan. Pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah wajar ada banyak sesi 'doing'. Banyakkan aktiviti di dalam, di luar kelas malah sentiasa ada kewajaran untuk membawa PdP hingga ke ruang komuniti. Peristiwa 'bunga dan buah' ini tidak akan berlaku sekiranya pelajar-pelajar ini dibawa ke dusun durian ketika musim durian berbunga. Sentuh bunga durian yang gugur. Hidu aromanya. Tinggal semalaman di situ. Saksikan riuh kumbang-kumbang menjalankan proses pendebungaan. Ini namanya pengalaman.

Kita paling banyak belajar melalui pengalaman bukan semata-mata menerusi pengetahuan yang dipindahkan. Terus-terang saya katakan, saya tidak ingat apa yang cikgu fizik ajarkan kepada saya, 26 tahun lalu. Tetapi yang tersemat erat di dalam minda saya adalah pengalaman belajar dengan beliau, Cikgu Normah. Aura suaranya, kecantikan beliau dan ketegasan beliau dalam membentuk penampilan seorang wanita. Saya masih ingat bagaimana beliau mengajar kami berjalan dengan meletakkan buku di kepala. Dan saya tidak berlengah buat perkara yang sama apabila pulang dari sekolah. Letak buku di kepala agar jalan saya sama cantik macam Cikgu Normah. Itu saya ingat! Itu hasilnya pabila 'doing' berlaku.

Ayuh! Besarkan takrifan sekolah. Sekolah memandu. Akademi tarian. Sekolah karate. Kelas memasak. Sekolah menjahit Apapun namanya, sekolah-sekolah ini berjaya mengajar kita dengan memindahkan kemahiran dan pengalaman melalui 'doing'. Kita tidak belajar memandu kereta dengan mendengar ceramah guru di dalam kelas. Tetapi kita turun padang, masuk ke dalam kereta dan memandu. Ini hakikat. We learn the most by doing!!!

Durian yang sedang galak berbunga






Khamis, 17 Julai 2014

Ramadhan Terakhir

Teks: Fauziah Sirat
Foto: Imej Google

Semalam usai menyapu laman, saya duduk menghadap laptop. Sasaran saya adalah memurnikan modul-modul latihan saya. Ini kerja wajib dari masa ke masa. Modul perlu dinamik sejajar dengan keperluan semasa. Tak boleh statik. Perlu sentiasa relevan.

Sambil-sambil bekerja, sengaja tv dibuka jadi peneman. Saya kurang gemar suasana sunyi ketika mencari idea. Bising-bising itu perlu. Kadang-kadang suara-suara yang bergema itu mencetus idea. Saya mendengar perkataan 'angin ramadhan', 'malam ramadhan' dan 'aura ramadhan'. Ramadhan bukan sekadar objek-objek yang kelihatan tetapi lebih daripada itu. Perkara-perkara tidak kelihatan yang jauh dan dalam maksud  serta ertinya. Alhamdulillah, itu santapan telinga yang bermanfaat umtuk saya.

Masih lagi membawa aura Ramadhan, kali ini tv betul-betul menuntut perhatian saya. Wanita Hari Ini, membawa seorang banduan wanita yang menghitung hari ke tali gantung ke studio. Tahun ini katanya Ramadhannya yang terakhir. Saya terpaku dan terharu. Pertemuan langsung yang diatur oleh pihak produksi antara wanita tersebut dengan keluarganya di studio mengundang airmata hiba saya. Mereka yang  tidak pernah ada sentuhan fizikal sejak lima tahun lalu saling berpelukan erat. Sungguh! Momen itu sungguh menyentuh naluri. Saya tutup tv dengan kata-kata ustaz yang kekal tersemat. "Wanita ini bertuah kerana tahu bila saat dijemput Illahi. Beliau ada masa bertaubat. Mendekatkan diri dengan Yang Esa, Bukan cara mati yang perlu dirisaukan. Bagaimana kita mati; beriman ataupun tidak, itu yang harus kita persiapkan." Subhanallah!

Dan awal pagi ini, kita dikejutkan dengan tragedi MH17. Innalillahiwainnailahirrojiun....
Jumaat yang murung untuk kita semua.
Salam takziah untuk semua keluarga penumpang dan krew MH17.




Selasa, 15 Julai 2014

Masuk Sekolah Lagi...

Teks: Fauziah Sirat

Saya sudah banyak kali ditanya tips memulakan bisnes pusat tuisyen. Ada banyak ketika saya takut-takut mahu berkongsi. Bimbang resipi saya tidak sesuai dengan orang lain. Tetapi rasa-rasanya saya sudah sedia mahu berkongsi. Ianya cuma sebagai panduan yang berdasarkan pengalaman semata-mata. Bukan satu tips mutlak yang tidak boleh diubah-ubah. Terserah kepada pembaca untuk menilai, mengunyah dan menghadamnya. Mudah-mudahan boleh membantu tuan puan yang berminat dalam industri pusat tuisyen.

Rencana saya untuk menubuhkan pusat tuisyen bukanlah dirancang lama. Saya bermula tanpa ada 'Business Model'. Ianya bermula tanpa sengaja. Bisnes ini dipilih semata-mata kerana saya mahu mempunyai karier sendiri walaupun saya tidak lagi makan gaji. Berkarier dan pada masa yang sama punya banyak masa untuk keluarga. Daripada sudut pandang bisnes, tindakan saya melangkahkan kaki ke dunia bisnes tanpa berpanduan barangkali boleh dianggap berani atau 'berani buta' atau 'berani bodoh'. Tanpa ilmu, tanpa guru, saya jalan terus dipandu diri sendiri dan didokong suami. Adakah itu satu kesilapan? Tidak! Cuma saya melalui pengalaman yang lebih panjang untuk menginjak ke paras yang selesa. Saya percaya sekiranya saya berguru dengan guru yang berilmu, berpengalaman, komited dan ikhlas, berkemungkinan saya sudah berada di takuk pencapaian yang berbeza hari ini.

Tips pertama saya mudah. Sekiranya anda punya hasrat untuk menceburkan diri dalam bisnes; tak kiralah bisnes pusat tuisyen atau bisnes yang lain, yang pertama-tamanya carilah ilmu. Bergurulah. Berkulilah. Bak kata seorang usahawan yang saya kagumi, Dato' Roslan Ab Hamid, "Jadilah orang yang sanggup ikat perut untuk beli dan cari ilmu". Bila berguru, jangan pula malu bertanya. Bimbang nanti ada yang sesat di tengah jalan...paling bimbang kalau sesatnya sudah di hujung jalan...Aduhai...

Selamat berguru :)






Ahad, 13 Julai 2014

Bermula Dengan Tulus Doa

Teks : Fauziah binti Sirat

Setiap kali saya bertemu 'orang baru', selalunya ada dua soalan yang kerap ditanya. "You ni cikgu ke?" atau "You mengajar di mana ya?". Kadang-kadang saya belum bercerita perihal karier ataupun profesion, saya sudah menerima soalan serkap jarang yang ada benarnya. Barangkali ada cop 'cikgu' di dahi saya. Hihihi. Teringat pula arwah emak saya. Selalu bila menemani emak ke pasar, orang akan panggil emak 'cikgu' walhal  emak hanya suri rumah sepenuh masa yang rajin berbisnes. Barangkali emak juga punya raut cikgu di mana-mana. Wallahualam.

Jika diselusuri sejarah hidup saya, arwah emak memang kerap menyuruh saya menjadi cikgu. Adat alasan orang tua kita."Cikgu ni kerjanya senang, separuh hari aje, cuti banyak; banyak masa boleh kat rumah". Tapi pada ketika itu, alasan-alasan emak tidak menyebabkan saya jatuh cinta dengan karier guru. Saya tolak cadangan emak baik-baik. Di mata saya, kerja guru tidak mungkin membolehkan saya jadi wanita korporat. Saya mahu punya jawatan tinggi, bekerjaya, pakai kot dan bergaya. Inilah akibatnya gara-gara kerap disogok dengan drama korporat melayu di tv. Saya antara mereka yang terpengaruh. Aduh!

Siapalah kita untuk menolak kekuatan doa seorang ibu. Selepas enam tahun di organisasi korporat, saya meletakkan jawatan dan akhirnya memulakan bisnes pusat tuisyen. Saya mengajar di pusat tuisyen sendiri. Saya akhirnya dipanggil cikgu. Kini hampir 13 tahun, alhamdulillah saya masih di bidang ini. Dan saya tahu pilihan arwah emak tidak salah kerana saya sesungguhnya mencintai karier saya hari ini.

Cuma ada impian yang belum tertunai. Emak bertanya,"Kau punya bisnes pusat tuisyen ini untungnya berapa?". Setelah diberikan angkanya emak selamba menjawab, "Sikit sangat tu." Hahaha. Emak oh emak!!! Rasa rindu pada arwah tak pernah berhenti. Al-fatehah... 

  

Khamis, 10 Julai 2014

Mengajar Dengan Jiwa

Teks: Fauziah Sirat
Foto: Koleksi Peribadi


Dalam tempoh seminggu ini, saya berdepan dengan dilema kisah guru. Sahabat saya mengadu anak buahnya ditumbuk guru sehingga lebam matanya gara-gara tidak membuat kerja rumah. Pelajar-pelajar saya pula mengadu ada guru yang mendoakan mereka gagal SPM gara-gara tidak menurut arahan beliau. Pagi ini, sesudah sahur, tak semena-mena saya tertonton satu adegan di tv; anak kecil menangis-nangis tidak mahu ke sekolah. Katanya cikgu kata dia bodoh, cikgu kata dia budak lembab. Gugur juga air mata saya. Pandai sungguh si kecil itu berlakon.

Selagi manusia bergelar manusia; ternyata ada kesukaran besar dalam memisahkan profesionalisme perguruan dengan emosi peribadi. Walaupun kenyataan ini berbentuk umum, kita tidak nafikan perkara sebegini hanya dilakukan oleh sebilangan kecil guru sahaja. Masih ramai guru yang hebat, memiliki karisma dan berkaliber, mampu menjadi contoh dengan tingkah laku dan percakapan yang sopan. Tetapi adat orang kita, cerita-cerita negatif sebegini 'bisingnya' lebih riuh daripada kisah seorang guru hebat yang mengubah nasib pelajarnya! Hmmm...

Saya seorang ibu. Saya juga seorang guru. Saya mengajar anak sendiri dan anak orang lain. Kisah-kisah guru 'kecil' ini sentiasa dijadikan iktibar dan sempadan dalam memperbaiki diri dan prestasi sebagai seorang ibu dan guru. Ibu sama seperti seorang guru; tidak boleh beremosi dalam tindak-tanduknya, tidak boleh menggunakan kekerasan emosi dan  fizikal terhadap anak-anaknya, tidak boleh memperkecil-kecilkan anak-anak, tidak boleh juga melabelkan mereka dengan panggilan negatif sesuka hati.  Pendek kata, saya percaya ciri-ciri seorang ibu yang pengasih dan penyayang perlu ada dalam diri seorang guru. Mengajarlah dengan jiwa agar anak-anak rasa sentuhan kasih kita di jiwa mereka.





Ahad, 6 Julai 2014

Memoir 88

Teks: Fauziah Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

'88 terakhir kami di sini
Tinggalkan dikau terus berlari
Demi pencarian satu destinasi
Mengejar cita membina mimpi

26 tahun kami tinggalkan
Tidak sekali kami lupakan
Tinggi hasrat mahu berdepan
Dugaan menyilang hajat tertahan

Langkah diatur acara disusun
2014 kami berhimpun
Nostalgia bersama diikat serumpun
Moga kekal turun temurun

STS nama sekolah kami
Mewah kenangan tersimpan rapi
Jika bukan dek berkawah budi
Kami tak mungkin jadi begini

  Memoir '88
  Sekolah Tinggi Segamat dalam Kenangan














Selasa, 1 Julai 2014

Permata di Gurun Sahara

Ini kisah seorang guru di tempat saya. Usianya lebih separuh abad. Seorang guru pesara Bahasa Inggeris. Bekas pemeriksa dan penanda kertas SPM. Hebatnya ilmu dan pengalaman beliau jauh mengatasi mana-mana guru di tempat saya. Malah saya sangat kerdil dibandingkan dengan beliau. 

Beliau antara guru yang sentiasa menjadi inspirasi saya. Walau hakikatnya, saya umpama majikan 'muda' kepada beliau, saya boleh merasakan hormatnya beliau kepada saya. Setiap kali ada kesempatan, beliau pasti akan menegur saya. Seringkas bertanya khabar; saya sudah boleh merasakan keikhlasannya. Kalau punya masa, beliau akan singgah ke bilik saya. Bercerita pencapaian anak-anak di dalam kelas. Saya masih ingat lagi, sebelum saya bercuti menunaikan umrah, beliau antara terawal mengucapkan selamat jalan dan pabila saya pulang, rasanya beliaulah satu-satunya guru yang bertanya khabar dan menuntut saya bercerita pengalaman di Mekah dan Madinah.

Guru saya yang satu ini sangat menyanjungi ketepatan masa. Beliau tidak pernah lewat. Sekurang-kurangnya lima belas minit awal beliau sudah sampai. Beliau tak punya telefon bimbit; hanya boleh dihubungi dengan telefon rumah. Tetapi staf saya tak pernah sekali perlu menghubungi beliau dengan pertanyaan,'Cikgu kat mana? Kelas dah nak mula ni...', kerana beliau akan sentiasa terpacul lebih awal dari sepatutnya. Pernah sekali beliau tidak muncul awal seperti selalu. Kami mula diselubungi gusar. Risau sesuatu terjadi kepada beliau. Telefon rumah dihubungi. Rupa-rupanya beliau sudah lama keluar rumah. Kami bertambah bimbang kerana tiada cara menghubungi beliau. Selang beberapa minit, beliau muncul. Saya yang berdiri di hadapannya tidak disapa seperti biasa. Beliau terus bergegas masuk ke kelas. Usai mengajar, beliau segera bertemu saya. Memohon kemaafan atas kelewatan tidak dijangka. Rupa-rupanya MRR2 sesak teruk.

Ketinggian ilmu dan pengalaman luasnya ada kala menyebabkan saya bimbang kalau-kalau saya terlebih mengajar beliau. Tetapi beliau tetap merendah diri. Setiap kali saya memanggil guru-guru bermesyuarat, beliau jugalah yang hadir; setiap kali saya memberikan taklimat, beliau jugalah yang hadir. Setiap kali saya memberi memo, beliau jugalah yang pertama memberi respon. Pendek kata, apa sahaja tugasan dan keperluan untuk menjayakan karier perguruannya, beliau tidak pernah gagal memberi komitmen. Semalam, beliau berjumpa saya lagi. 'Puan, saya tidak pandai berinternet. Komputer juga saya tak pandai guna.Tapi saya tahu sampel instrumen PT3 ada di dalam website kementerian. Boleh puan tolong cetakkan untuk saya?'.  

Guru sebegini bagai mencari sebutir permata di lautan pasir Gurun Sahara. Saya tidak malu mengaku guru ini jadi pencetus semangat untuk saya menyemak diri senantiasa. Beliau hormatkan saya yang jauh lebih muda, beliau memohon maaf walau di atas kesalahan yang bukan berpunca daripadanya, beliau sentiasa mencari ruang untuk berkomunikasi; bertukar maklumat dan pandangan, beliau menjadikan ketepatan masa sebagai budaya hidupnya, beliau merendah diri dan beliau punya komitmen yang terbaik. Saya tahu beliau tidak akan membaca catatan saya ini. Tetapi saya mahu dunia tahu bahawa saya terhutang budi kepada beliau atas segala tunjuk ajar yang barangkali tidak pernah beliau sedari. 'Dear Sir Jernail Singh, you are definitely one of my role models. Thank you sir!'.