Isnin, 30 Jun 2014

Kerana Sayang

Awal-awal lagi Ramadhan sudah menguji. Benarlah. Menguruskan manusia tak pernah mudah. Secara teknikal, bisnes saya memerlukan saya berurusan dengan tiga kelompok manusia; ibu bapa, pelajar-pelajar dan guru-guru. Ini tentunya dipersetujui oleh semua sahabat yang berkecimpung dalam bisnes pendidikan. Kami perlu menjaga rapi ketiga-tiga kelompok ini dengan penuh hati-hati. Tetapi itulah...selagi manusia bergelar manusia...serapi mana dijaga, pasti ada yang tersentap di jiwa, ada yang salah di mata. Gara-gara menegur, saya terus disalah anggap.

Sebagai seorang yang sangat mencintai karier perguruan, saya amat mementingkan kemajuan anak-anak didik saya. Biar tidak menggondol "A", melihat mereka beranjak dari satu aras ke aras yang lain sudah membenih rasa syukur yang amat. 'Teaching is not happen if learning does not happen'. Saya sangat yakin dengan kata-kata itu. Saya akan resah, berkecamuk jiwa, berpusing minda,; memikir cara, mencari strategi untuk memudahkan cara sekiranya pelajar-pelajar saya berdepan dengan pelbagai masalah menguasai kemahiran. Saya berhempas pulas mencari jalan. Walau ada kalanya, saya bertemu jalan buntu; saya tahu saya tidak boleh mengundur diri.

Cintanya saya kepada karier menyebabkan saya sangat menyayangi pelajar-pelajar saya.  Melihat mereka memacu ke hadapan; walau sedikit, walau setakuk, walau seinci, ia sangat besar ertinya kepada saya. Justeru, saya terkilan kalau ada guru-guru di pusat tuisyen saya yang tidak menjiwai kasih sayang saya kepada anak-anak yang belajar di tempat saya. Saya sedih kalau mereka tidak mampu membawa impian saya ke dalam proses mengajar di dalam kelas. Saya kecewa sekiranya mereka mengambil jalan mudah tanpa ada jiwa membimbing.

Saya percaya ramai guru dedikasi yang punya rasa seperti saya. Yang berusaha mengajar daripada jiwa dan menyentuh jiwa. Yang mengajar demi cintakan Allah dan kasihkan RasulNya. Demi mendidik anak-anak ini menjadi khalifah yang lebih baik daripada kita. Saya mohon kita sama-samalah berkongsi kebaikan; saling tegur-menegur. Membudayakan tegur-menegur demi kebaikan bersama. Jika ditegur, terima teguran dengan terbuka. Kita ditegur kerana kita disayangi, bukan kerana dibenci.  Saya teringat kata-kata Dr Robiah ketika satu sesi di Kongres Kebangsaan Tadika 2014 tidak lama dahulu. Antara lain bunyinya begini,"Kalau kita ini namanya guru, kelak nanti dipersoal di akhirat, apakah yang telah kau ajar akan si polan ini". Subhanaallah. Besar sungguh tanggungjawab kita sebagai guru. Ingatan untuk diri saya sendiri untuk terus jadi yang lebih baik...

Mereka Yang Sentiasa Mewarnai Hidup Saya






Ahad, 29 Jun 2014

Misi Sehari Sebelum Ramadhan

Tahun lepas, saya sekeluarga bercuti di Melaka. Ianya menjadi antara percutian kami yang cukup menyeronokkan. Percutian bertambah nilai apabila kami akhirinya dengan bersarapan di bandar Muar, bandar Maharani. Tak pernah lagi kami punyai pengalaman sebegini. Bersarapan dengan sate dan mee rebus di pagi hari. Hanya di Muar!

Sejak saat itu, sang arjuna tak habis-habis mencari masa untuk ke Muar lagi. Hanya untuk bersarapan. Bersarapan sate dan mee rebus yang dirindui. Akhirnya, masa yang lama dinanti tiba jua. Semalam kami ke Muar dengan misi sarapan. Seawal jam 7 pagi sudah meninggalkan KL dan sampai di Muar lebih kurang jam 10.00 pagi. 

Kali ini kami tidak ke tempat yang sebelumnya. Hasil daripada usaha sang arjuna; berdasarkan pelbagai rating sahabat-sahabatnya, kami ke tempat yang popular yang dicadangkan. Di celah pelanggan yang ramai bertamu, kami bersyukur mendapat tempat duduk. Tidak dapat dinafikan, tempat ini artistik hiasannya. Ringkas. Menarik. Pelanggan memang ramai. Tak putus silih berganti. Memang sah. Tempat ini popular.

Kami mula resah apabila tidak siapa membersihkan meja yang penuh dengan pinggan-mangkuk pelanggan terdahulu. Bertambah resah apabila tiada siapa yang mengambil 'order'. Lama menanti, akhirnya 'order' diambil. Dipendekkan cerita, tiada yang lancar. Mee rebus sampai. Meja masih tidak dikemaskan. Mee rebus sudah habis. Air masih belum sampai. Sate dihidangkan tanpa kuahnya. Anak-anak masih belum kenyang. Sate yang sampai bilangannya tak cukup menampung perut ahli rombongan saya yang 10 orang! Saya bangun mengambil sate sendiri. Anak bujang saya duduk bertunggu di depan mak cik mee rebus. Dah jadi layan diri namanya.  

Saya dan sang arjuna tiba-tiba rasa kenyang. Kenyang dengan sabar kata anak-anak saya. Selesai makan, kami beransur pulang. Anak-anak saya berpesan, 'kalau nanti ke Muar lagi, kita pergi ke restoran yang dulu ya'. Kami tak bertangguh lagi untuk bersetuju. Kami pasti akan datang lagi. Tetapi bukan ke tempat yang popular. Hati kami sudah terikat di tempat yang tidak popular...

Muar Bandar Maharani



Ahad, 22 Jun 2014

Kitalah Sahabat Mereka....

Sebagai seorang ibu, antara perkara wajib yang saya perlu buat ialah bertemu guru kelas anak-anak saya semasa Hari Bicara Akademik. Ada banyak ketikanya saya perlu bertemu 3 guru kelas pada hari yang sama; al-maklumlah umur anak-anak saya tidak jauh berbeza. Kalau si sulung Tingkatan 5, yang kedua Tingkatan 4, yang ketiga pula di Tingkatan 2. Nasib baiklah yang kecil masih di sekolah rendah. Kalau ada rezeki, hari bicara akademik semua anak berlaku serentak. Keempat-empatnya! Bayangkan betapa dramatiknya saya pada hari itu. Hihihi...

Tapi tahun ini, buat pertama kalinya saya tidak berpeluang melakukan perkara wajib ini. Hari Bicara Akademik anak-anak saya jatuh serentak dengan Konvesyen Penulisan 2014. Sang arjuna pergi bersendirian tanpa saya.  Ada rasa terkilan di jiwa tetapi ilmu di konvesyen saya tak boleh tinggalkan...Hidup memang perlu berkorban.

Bercerita tentang Hari Bicara Akademik ini, bertahun-tahun saya telah membuat pemerhatian. Betapa bezanya kehadiran ibu bapa ketika anak-anak di sekolah rendah dan sekolah menengah. Ibu bapa begitu komited ketika anak-anak masih di usia kanak-kanak dan perlahan-lahan ibu bapa mengambil langkah menjauhkan diri apabila anak-anak menginjak usia remaja. Saya tidaklah bermaksud semua ibu bapa begitu, tetapi itu hakikat yang saya saksikan dengan mata kepala sendiri. Sang arjuna menambah perisa cerita. Katanya ada kelas kosong yang tiada ibu bapa bertamu, cuma guru kelas yang duduk menanti setia. Ibu bapa tiada seorang pun yang datang. Ini memang kisah benar.

Saya tak nafikan ada anak-anak remaja yang tidak memanjangkan surat makluman kepada ibu bapa; tak mahu ibu bapa 'menyibuk' di sekolah; tak mahu dipanggil 'anak emak' kalau ibu bapa asyik bertandang ke sekolah.  Tapi pada pandangan saya, itu bukan alasan untuk ibu bapa tidak bertindak secara pro-aktif. Ibu bapa masih boleh datang ke sekolah atau menghubungi sekolah untuk mengetahui perkembangan anak-anak sendiri. 

Fasa remaja adalah fasa paling kritikal. Pada usia inilah kecelaruan emosi, kecelaruan identiti, dilema rakan sebaya dan pelbagai gangguan fisiologi berlaku. Peranan ibu bapa bukan hanya sebagai seorang ibu dan bapa lagi malah perlu menjadi rakan kepada anak yang paling dipercayai dan paling disenangi. Anak akan mencari kita, berkongsi cerita dan masalah. Kita perlu jadi pendamping utama mereka. Jangan sampai mereka beralih arah kepada rakan-rakan; meminta nasihat daripada mereka yang seusia!

Saya ada banyak kisah benar di dalam poket. Menyimpan kisah pelbagai anak remaja yang ketandusan kasih sayang. 'Diabaikan' oleh ibu bapa ketika mereka paling memerlukan kehadiran ibu bapa. Saya ada angan untuk berkongsi cerita. Mudah-mudahan ada yang sudi membacanya. 

Khamis, 19 Jun 2014

Menari dalam Refleksi & Interaksi


Mengapakah saya tiba-tiba menulis blog? Sebenarnya ia tidak pernah berlaku tiba-tiba. Menulis blog memang salah satu dalam senarai matlamat yang perlu saya capai tahun ini. Alhamdulillah. Saya berjaya melaksanakannya. Matlamat perlu ditulis dan perlu dikongsi. Perlu diceritakan dengan orang lain supaya matlamat itu tidak sunyi dalam diri dan hilang dimamah detik. Ini amalan biasa yang perlu terus diperbiasakan. Tulis matlamat, kongsikan matlamat dan tentukan tarikh sasarannya. Bila sudah ada sasarannya, pupukkan disiplin dalam perlaksanaannya. Inshaallah...Allah akan perkenankan.

Saya sebenarnya bukanlah mahu bercerita tentang apa yang saya lakukan dalam mencapai sesuatu matlamat, tetapi berkongsi rasa mengapa saya menulis blog. Ya! Mengapa saya menulis blog? Saya selalu bermain dengan perkataan refleksi dan interaksi. Refleksi diri. Interaksi diri. Justeru blog merupakan wadah terbaik untuk saya melakukan kedua-duanya. Refleksi dan interaksi diri. Setiap hari, kita melakukan pelbagai pemerhatian tanpa sedar mahupun dalam sedar. Ini semua pengalaman yang perlu dicatat apatah lagi kalau ia mencetus emosi dan memekarkan minda. Pasti ia wajib dicatat.

Ini kisah ketika saya mengajar pelajar-pelajar tingkatan 5. Mereka bukan golongan 'pujaan' di sekolah tetapi mereka amat tinggi bertakhta di hati saya. Mereka boleh memberikan perhatian kepada apa yang diajar malah boleh menyampaikan semula apa yang telah diajar. Cuma yang berbeza, ianya bukan dalam versi hafalan tetapi mengikut apa yang mereka faham. 

Saya: Bagi saya contoh kejadian inersia.
Pelajar: Kapalterbang ambil masa yang lama untuk berhenti walaupun pilot dah lama tekan brek, cikgu.
Saya: Kenapa pula jadi macam tu?
Pelajar: Oh. Sebab kapalterbang besar. Dia berat.
Saya: Apa pula kaitan berat dengan inersia?
Pelajar: Kalau objek tu berat, besarlah inersianya.
Saya: Oh. Jadi kalau saya dengan awak naik buaian yang ditolak dengan kekuatan yang sama, siapa berhenti dulu?
Pelajar: Cikgulah...Alaa...cikgu nak bagitau yang saya ni beratlah.
(Ha!Ha!Ha!) 

Adakah mereka faham dengan konsep yang diajar? Ya, sangat jelas mereka faham apa yang diajar. Tetapi keadaan berbeza bila saya meminta mereka membuat tugasan bertulis. Apakah definisi inersia? Nah! Mereka terkial-kial menyusun ayat. Mereka tidak hafal maksud inersia tetapi mereka faham konsepnya. Di mana duduknya pelajar-pelajar seperti ini? Mereka tidak belajar? Tidak. Mereka tidak faham? Tidak juga. Mereka tidak mampu berfikir? Tidak juga. Justeru, haruskah kita melabel mereka???

Refleksi diri. Interaksi diri. Inilah dia kepelbagaian kecerdasan (Howard Gardner). Pelajar-pelajar saya ini tidak tinggi kecerdasan linguistiknya tetapi hebat kecerdasan interpersonalnya. Lihat sekeliling kita. Anak-anak kita juga tak sama kecerdasannya walau berbaka ibu dan ayah yang sama. Raikan perbezaan. Raikan kepelbagaian...

Mahukah tuan/puan menari bersama dalam sesi refleksi & interaksi saya seterusnya?

kredit:artbysabrinaariffin






Rabu, 18 Jun 2014

Belajar & Interaksi

kredit kepada artbysabrinariffin

Perkara terbaik yang mendewasakan saya dalam pembangunan teknik mengajar adalah pelajar-pelajar saya sendiri. Setiap kali saya berhadapan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah memahami apa yang diajar, saya jadi resah. Saya akan duduk bersendirian, mengimbas satu-satu pendekatan yang saya ambil. Apa yang tidak kena, di mana silapnya dan apa yang wajar diperbaiki. Justeru, keresahan dan kebimbangan itu membawa saya menelaah, mengkaji dan meneliti pelbagai buku, jurnal dan bahan ilmiah 'offline' dan 'online'. Ini tidak termasuk kisah saya berguru dan bermentor demi memahami kepelbagaian kisah dalam pembelajaran.

Banyak yang telah dan masih saya pelajari. Antaranya adalah kesan persekitaran fizikal tempat pembelajaran terhadap pembelajaran. Keamatan cahayanya, sistem pengudaraan, warna cat dinding, hiasan dinding yang berkaitan dan bersesuaian (seperti gambar di atas), suhu persekitaran malah aroma dan kualiti udaranya sangat memainkan peranan yang penting. Untuk memaksimakan keupayaan sesorang untuk belajar, interaksi perlu berlaku bukan hanya dengan guru, bahan pembelajaran, rakan sekelas malah turut melibatkan interaksi dengan persekitaran fizikal. Ini baru layak dipanggil persekitaran yang kaya dengan interaksi!!!

Bercakap mengenai betapa bersungguhnya saya memastikan persekitaran fizikal di pusat tuisyen saya mencapai standard yang sepatutnya, pernah saya memanggil konsultan dari syarikat lampu ternama di Malaysia datang ke tempat saya bagi mengukur keamatan cahaya lampu yang ada. Saya perlu pastikan keamatan cahayanya tidak terlalu terang atau terlalu suram. Tidak mahu terang sampai menyilaukan mata. Tidak juga mahu suram sehingga pandangan menjadi kelam. 

Sekiranya anak-anak atau pelajar-pelajar kita tidak menunjukkan keseronokan untuk belajar, kita perlu perhalusi pelbagai aspek. Menuding jari dan melabel mereka tidak akan menyelesaikan masalah. Renung diri. Refleksi diri. Lihat apa yang boleh diperbaiki. Interaksi. Terus berinteraksi...







Sabtu, 14 Jun 2014

Kerna Sekeping Gambar


Bermula dengan gambar seorang sahabat, Paul, yang dimuatkan di dalam facebook 8 Jun lalu, secara tiba-tiba 2014 membuka kembali lembaran yang sudah hampir terkunci 26 tahun. Saya tidak pernah ketemu Paul sejak hari terakhir peperiksaan SPM.  Bukan sahaja Paul, malah ramai lagi. Hilang, tiada khabar berita, sunyi sepi...

Gambar ini akhirnya merubah segala. Tak sampai seminggu, pertemuan pertama direncanakan. Pertemuan kedua turut dirancang. Nah! Akhirnya, 14 Jun 2014 sebahagian kecil daripada kami bertemu untuk kesekian kalinya. Terima kasih kepada facebook dan whatsapp tentunya :).




Sesiapa sahaja pasti tak akan mampu menolak hebatnya dan indahnya dunia persekolahan. Saya juga tidak terkecuali. Banyaknya kenangan dan nostalgia. Dalam banyak-banyak kenangan, sahabat-sahabat dan guru-guru di Sekolah Tinggi Segamat, satu yang sentiasa tersemat di jiwa saya. Keakraban kami pelbagai kaum... Apapun bangsa dan agama, kami tidak pernah rasa kekok untuk bersama, bergurau, ketawa, malah ketika serius berbincang. Kami sudah lama ada jiwa 1Malaysia!!! 

Rabu, 11 Jun 2014

Membiasakan Yang Tidak Biasa


Hari ini kami sekeluarga menjalankan rutin tahunan kami; berjumpa doktor gigi. Ini amalan kami bertahun-tahun. Sekurang-kurangnya setahun sekali kami wajib membuka mulut di hadapan doktor gigi. Wajib dicuci walau tidak rosak. Wajib ditampal kalau ada lubang. Biar gigi tak tersusun cantik, asal kesihatan oral dijaga rapi. Hihihi! Itu falsafah saya (gara-gara abah tak mengizinkan saya memakai pendakap gigi semasa usia remaja, saya sejukkan hati dengan mencipta falsafah sendiri).

Dulu-dulu saya memang takut berjumpa doktor gigi. Apa tidaknya, apabila kita hanya berjumpa bila gigi sakit, tentulah rawatan yang diberikan bukan jenis yang 'manja'. Kalau sudah sakit akibat berlubang, tentulah proses menampal lubang yang besar menyakitkan; apatah lagi jika lubang sudah terlalu besar; cabut sahajalah jawabnya. Cuci gigi? Buang plak dan sebagainya? Itu memang tidak termasuk dalam kamus hidup saya ketika itu. Saya hanya tahu; jumpa doktor bila gigi sakit. Kalau tak sakit, rindulah doktor gigi mahu berjumpa saya. Ada waktunya, sehingga bertahun doktor menahan rindu. Hihihi...

Tidak menyalahkan budaya mendidik orang tua sendiri, saya berazam untuk mementingkan penjagaan gigi anak-anak. Saya tidak mahu mereka mempunyai rasa takut kepada doktor gigi.  Justeru, apabila mempunyai anak, saya mengambil pendekatan yang sepatutnya. Seawal usia anak dua tahun, saya sudahpun membawa mereka berjumpa doktor gigi walaupun tiada keperluan untuk dirawat. Sengaja dibiasakan anak-anak duduk membuka mulut di hadapan doktor gigi. Supaya tidak ada rasa takut dan rasa gerun. Alhamdulillah, hasil melentur buluh daripada rebung memang tidak dapat dinafikan. Setiap enam bulan saya pasti mengusahakan semua ahli keluarga berjumpa doktor gigi. Tahun ini saya terlewat mengatur temu janji. Saya hanya teringat dan bertindak bila anak saya bertanya, "tahun ni kita tak jumpa Dr Tan ke?" (apabila rebung sudah bersuara...hahaha).

Dalam hidup kita sehari-hari ada banyak perkara tidak biasa yang kita hindarkan walhal kita maklum kebaikannya. Bukan setakat berjumpa doktor gigi malah ada banyak lagi perkara. Kekadang perkara itu jauh lebih besar dan penting peranannya dalam hidup kita. Biasakanlah yang tidak biasa. Saya pernah mendengar bijak pandai berkata; buatlah sesuatu itu sepanjang 66 hari secara konsisten. Barulah yang tidak biasa menjadi biasa. Barulah ia kekal menjadi tabiat kita...

Sabtu, 7 Jun 2014

Pabila Tempurung Teralih

Bercerita pasal tempurung, saya tak pernah sedar betapa lamanya saya sebenarnya terperap di bawah tempurung. Barangkali tempurung saya diperincikan dengan germerlapan bintang sehingga kan saya rasa bahagia berlindung di bawahnya...Aduhai! Ini benar-benar dilema syok sendiri.

Saya sebenarnya mula terjebak ke dalam dunia bisnes secara serius pada tahun 2002. Dengan zero ilmu bisnes, saya jalan terus tanpa menoleh belakang. Kadang-kadang saya terkebil sendirian hari ini pabila mengenangkan bagaimana saya boleh memulakan bisnes tanpa ada sebarang ilmu. Benar. Saya tidak bohong. Saya benar-benar bermula tanpa ilmu. Kosong....

Tahun 2010 akhirnya membuka lembaran baru. Seorang sahabat lama, Puan Sri Rahayu Hussein memperkenalkan saya kepada WENA (Women Entrepreneurs Networking Association). Saya tiba-tiba tersedar. Rupa-rupanya saya tak punya jaringan bisnes. Saya tak kenal sesiapa. Saya tiada guru mahu pun mentor. Saya hanya ada saya. Saya dan saya. Di situ titik tolaknya; saya mula memahami keperluan jaringan bisnes. Bukan setakat membina ukhwah tetapi perjumpaan yang kerap mampu membakar semangat untuk terus jadi usahawan yang gigih. Kita perlukan ekonomi persahabatan. Kita perlukan ilmu untuk terus ke hadapan.

Sejak itu tempurung dialihkan jauh-jauh. Pedulikan gemerlapan bintang yang pernah memayungi saya bertahun. Saya perlu lihat dunia luar. Walau ada pahit dan sakitnya. Itu semua asam garam yang perlu dilalui. Saya mahu berguru lagi. Mencari ilmu sampai ke liang lahad. Ada sesiapa yang sudi menjadi guru saya?


Illustrasi indahnya dunia luar; kredit kepada Paddington - House of Pancakes, Ampang Point








Rabu, 4 Jun 2014

Keputusan. Pilihan.

Setelah hampir enam tahun, saya akhirnya berhenti kerja pada tahun 2002. Bekerja sebagai eksekutif komunikasi korporat menuntut masa dan tenaga yang tidak sedikit daripada saya. Saya akui yang saya hilang masa bersama keluarga. Kebanyakan ketika, saya tenggelam di dalam tugasan yang bertimbun. Pergi sebelum matahari terbit dan kerap pulangnya jauh lewat malam. Walaupun saya amat menyintai kerjaya saya, saya akhirnya perlu membuat pilihan di antara keluarga dan kerjaya. Apa lagi keputusan terbaik melainkan memilih untuk hilang keseronokan bekerja demi anak-anak dan keluarga. Saya tidak ingat sama ada saya berdepan dengan kepayahan membuat keputusan itu. Yang pasti, ianya berjalan lancar selancarnya.

Sesungguhnya aturan Allah sangat cantik. Saat saya melepaskan jawatan, anak saya yang sulung baru berusia enam tahun. Yang kedua,  lima tahun dan yang ketiga, tiga tahun. Justeru, impian saya untuk terlibat sepenuhnya di dalam perkembangan dan persekolahan anak-anak dikabulkan Tuhan. Saya jadi lebih sibuk berbanding bekerja dahulu. Tetapi sibuk saya di sisi anak-anak dan keluarga. Kebanyakan masa menjadi pemandu rasmi; menghantar dan mengambil mereka dari sekolah, membantu mereka membuat kerja sekolah, belajar, menonton televisyen, bermain, memasak dan bermacam-macam lagi. Rasanya tak mampu nak menyenaraikan semua. Panjang sungguh senarainya :)

Keseronokan bersama anak-anak ketika mereka kecil ternyata punya cerita berbeza berbanding kisah mereka di usia remaja. Saya masih ingat mengajar anak-anak mencongak operasi tambah dan tolak menggunakan nombor plat kenderaan sepanjang perjalanan pergi dan pulang dari sekolah. Walau letih sekalipun, saya cuba sedaya upaya membacakan buku cerita setiap kali mereka mahu tidur. Saya terhafal semua lagu-lagu Barney si dinasour ungu dan Teletubbies akibat menontonnya berpuluh-puluh kali sehari. Semua siri buku Peter & Jane menjadi teman kami seharian. 

Melihat anak-anak hari ini, saya bersyukur kerana memilih untuk meninggalkan kerjaya. Tiada sebarang rasa kesalan walau sekelumit. Hidup adalah berkaitan pilihan. Buatlah pilihan yang sewajarnya. Kuatkan semangat. Tabahkan jiwa. Kerana ada kalanya cabaran di sepanjang perjalanan baru boleh mematahkan semangat. Boleh merebahkan jiwa. Bertahanlah...


Ahad, 1 Jun 2014

'Let It Go' - Lepaskan...

Anak sulung saya kini sudah berusia 18 tahun. Saya masih ingat segala detik sembilan bulan kehamilan sehinggalah saat melahirkannya.  Pejam celik pejam celik dia sudah meninggalkan alam persekolahan. Hari ini, anak saya sudah memulakan fasa baru di dalam hidupnya; menjadi seorang mahasiswi. Alhamdulillah... Doakan semoga dia kuat melayari bahtera sendirian...

Bercerita pasal anak-anak, izinkan saya berkongsi kisah.  Tidak ada yang istimewa; sekadar perkongsian semata-mata. Saya adalah di antara ramai ibu bapa di luar sana yang memilih untuk tidak menghantar anak-anak saya ke sekolah berasrama penuh. Sekalipun mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan UPSR dan PMR, saya dan suami kekal dengan pendirian tersebut.  Secara peribadi, saya merasakan tempoh anak tinggal sebumbung dengan ibu bapa amat singkat. Hanya 17 tahun.... Lumrahnya, selepas SPM, masa untuk mereka pergi berdikari tanpa ibu bapa di sisi pasti bermula. Sambung belajar, bekerja dan mendirikan rumahtangga. Anak-anak akan meneruskan pelayaran hidup mereka secara sendirian; ibu bapa sudah hampir tidak mengawal mereka (walaupun ianya tidaklah berlaku secara mutlak dan otomatik). Justeru, pilihan bersama sebumbung dengan mereka adalah keinginan kami untuk memastikan kami mampu mendidik mereka sebaik mungkin; memahami mereka sebaik mungkin; mengenal bakat dan minat mereka sebaik mungkin...kerana selepas fasa 'melepaskan' mereka pergi, kita sangat hampir tidak berpeluang untuk memperolehi momen yang lumayan dengan mereka.

Terus-terang, pernah satu ketika dulu, saya sangat takut masuk ke fasa 'melepaskan si anak pergi'. Bagaimana agaknya si anak menyesuaikan diri dengan dunia baru sementelah si anak tak pernah berpisah dengan keluarga? Bagaimana itu, bagaimana ini, macam-macam bagaimana yang menjelma. Tapi itu dulu. Melihat si anak membesar di hadapan mata, saya kini yakin si anak mampu menempuh fasa baru. Ketika meninggalkan dia sebentar tadi, tiada riak sedih di wajah. Tiada tangis ketika memeluk saya dan suami. Hanya air matanya gugur tatkala si adik bongsu menangis teresak-esak memeluknya. Sepuluh tahun seusianya, ini kala pertama bakal tidur tanpa kakak di sisi. 'Siapa nak ikut rambut adik pergi sekolah?', ucapnya dalam sendu sedan. Lewat malam tiba-tiba sang suami membuka bicara, "Rindu kakak laa. Tahun depan abang ngah pula kuar rumah. Macam mana tu yang...". Alahai suamiku...

Masa hanya dipinjamkan Allah. Segala nikmat ini juga pinjaman semata-mata. Raihlah dan raikanlah nikmat bersama anak-anak sepenuh-penuhnya, sepuas-puasnya. Merekalah permata, amanah Allah kepada kita...


Saat-saat mengucapkan selamat tinggal