Isnin, 7 September 2015

Itu Yang Nombor Satu

Teks : Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi


080915

April kali terakhir singgah ke sini. Sekarang sudah bulan September. Empat bulan juga tidak bertamu. Sibuk? Hmmm,,,,itu alasan klise namanya. (Sengaja mahu menghukum diri; biar rasa bersalah). Anak bongsu saya menambah hukuman; "Blog mama dah berhabuk". Alamak. Nampak gaya hari ini saya wajib buang sawang dan sarang labah-labah.

Merenung dan membaca semula matlamat-matlamat yang saya sasarkan untuk tahun ini; alhamdulillah, syukur banyak-banyak kerana Allah izinkan dan permudahkan saya. Memandangkan 2015 hanya berbaki tiga bulan lagi, saya berkira-kira ini masa yang paling sesuai untuk merencanakan aktiviti-aktiviti hujung tahun 2015 dan 2016.  Ini bukan hanya bicara bisnes semata. Matlamat perlu merangkumi semua tiang yang membina kekuatan saya; kebergantungan saya kepada Allah, keluarga saya, kesihatan saya dan pembangunan ilmu kendiri saya. Matlamat  juga tidak boleh lari daripada nawaitu; mengapa saya  berada  di landasan hari ini sangat bergantung kepada niat asal saya. Nawaitu; itu nombor satu.


Tahun 2016; di atas kertas menyaksikan sesuatu yang lebih padat berbanding tahun ini.  Kali ini saya mensasarkan padat yang punya banyak ruang. Padat Beruang? Hah! Hahaha! Ya! Kenapa tidak?

2016. Padat Beruang!








Isnin, 27 April 2015

Kuasa Doa

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Usai memberikan ceramah di SMK Tinggi Setapak pagi Jumaat yang lalu, saya terus hilang suara. Dua kelas tingkatan 3 yang patutnya berlangsung petang itu saya batalkan. Ini petanda saya perlu berehat. Semangat kuat tidak dapat menandingi tuntutan tubuh yang sudah letih. Saya perlu berjanji keras pada diri saya untuk berehat dua minggu. Perlu ada rasa cinta pada diri sendiri sekiranya mahu terus menyintai insan-insan lain.

Hari ini hari kedua dalam tempoh rehat saya. Inilah masa saya kembali melihat ruangan blog yang sepi tidak saya kunjungi. Haih! Rasa bersalah pada diri sendiri walhal dahulunya janji pada diri sendiri mahu mengasah bakat menulis. Kejam sungguh pada diri sendiri. 'Tak apa. Ini masanya', suara kecil memujuk hati sendiri. Hihihi.

Ini kisah kuasa doa.

Di penghujung tahun lalu, ketika saya merencanakan tahun 2015, saya katakan pada sang arjuna yang saya akan laksanakan kempen 'perkongsian' sekurang-kurangnya 10 kali. Memandangkan saya tidak punya sebarang tim pemasaran; hanya bergerak sendirian, saya tahu 10 perkongsian itu sudah cukup banyak untuk saya. Silap-silap tidak kesampaian...

Tetapi sesungguhnya kata-kata itu doa. Allah Maha Besar. Alhamdulillah. Dalam tempoh 4 bulan, saya telah mencapai dan melebihi kuota minimum yang disasarkan. Allah berikan saya sahabat-sahabat sama ada di alam nyata dan di alam maya yang sangat menyokong perjuangan saya. Ada yang sangat saya kenali akrab, ada yang tidak. Ada yang pernah berjumpa. ramainya yang tidak. Tetapi itu tidak menghalang kelangsungan pelbagai usaha. Jauh dan dekat saya gigihkan. Terima kasih semua.


2015 masih berbaki 8 bulan. Saya tahu sokongan sang arjuna, keluarga dan sahabat-sahabat memungkinkan perjuangan ini bakal berterusan.  Doakan saya duhai kalian. Terima kasih sahabat.



Sabtu, 21 Mac 2015

Bermulanya Kembara 'Accelerated Learning'

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Perjalanan saya meneroka 'pembelajaran pecut- accelerated learning (AL)' bukan satu kembara yang singkat. Apabila saya menceburkan diri dalam bidang perguruan pada tahun 2002, banyak persoalan yang menerjah minda saya. Mengapa sesetengah pelajar mudah menguasai sesuatu kemahiran dan mengapa pula yang lainnya tidak. Bagaimana mengekalkan fokus pelajar-pelajar di dalam kelas, bagaimana memastikan pembelajaran optimum berlaku di dalam kelas dan pelbagai tanda tanya kekal menerjah silih berganti.

Sehinggalah saya ditemukan dengan dua orang insan berwawasan besar, Rosihan Juara dan Yasmin Ahmad Mazlani oleh sahabat yang sentiasa dikenang, Aljazzura. Di situlah detik AL tercetus dalam sejarah diri. Sekiranya saya dipinta untuk merakamkan kisah AL versi saya, ketiga-ketiga nama ini pasti akan terpahat dan kekal sebagai pencetus bagaimana saya boleh berada di kedudukan saya hari ini. Dipendekkan cerita, alhamdulillah, hari ini saya bersama Juara, Yasmin dan tujuh sahabat seperjuangan yang lain menjadi kumpulan pertama pengamal  pembelajaran pecut bertauliah di Malaysia yang diiktiraf oleh International Association for Accelerated Learning Practitioners (IAALP).  Perjuangan kami walaupun pada zahirnya baru bermula dengan pelancaran Malaysian Accelerated Learning Practitioners (myALPs) baru-baru ini, namun pada hakikatnya kami telah melaksanakannya sebaik sahaja menerima pertauliahan pada 9 Oktober 2013. 

Apa itu AL? Bagaimana AL mampu mengoptimumkan proses pengajaran dan pembelajaran? Bagaimanakah anda boleh menjadi sebahagian daripada myALPs dan komuniti pengamal AL bertauliah? InsyaAllah, saya akan berusaha untuk kongsikannya sedikit demi sedikit, dari masa ke masa.





Rabu, 21 Januari 2015

Perlambangan Kasih & Sayang

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Kredit kepada Mohd Shukri bin Sirat

Ini catatan peribadi lewat bulan pertama 2015. Masa berlalu pantas. Tanpa sedar kita sudah hampir mahu ketemu bulan kedua di tahun baru. Lewat menulis di tahun baru tidak bererti hari-hari yang berlalu tidak mencipta sebarang kenangan. Malah, setiap hari adalah hari yang penuh dengan nikmat dan kesyukuran. Walaupun cabaran bersilih ganti mendatangi, saya percaya Allah tidak akan menguji saya dengan dugaan yang tak mampu saya tangani. Alhamdulillah. Setakat ini saya masih kuat disokong oleh sang arjuna, anak-anak, keluarga dan sahabat handai.

Kali ini saya hanya mahu berkongsi kisah kelahiran BUILT. Tidak semena-mena, saya terjebak dalam misi membantu mereka yang ditimpa musibah banjir di Kelantan dan Pahang. Sekali pandang ini kerja tidak masuk akal. Bertunjang lima wanita, BUILT merencana, mencari dana, membeli barangan, mencari bekalan, menyusun atur logistik demi satu misi; menghantar dan memastikan bekalan sampai kepada mereka yang kehilangan segala-gala. Bermula dari saat banjir melanda sehinggalah ke hari ini, tempoh pasca banjir, operasi BUILT masih belum berhenti. Pejam celik. BUILT hari ini sudah hampir mencapai usia sebulan. Ini janji kami. Walaupun banjir sudah reda, walaupun kami sudah tidak diperlukan di sana, perjuangan BUILT tidak akan berhenti.

BUILT adalah lambang perjuangan yang berteraskan kasih sayang, keprihatinan dan kemanusiaan. Selagi kesemuanya masih bertebaran di bumi Allah ini, selagi itulah saya akan menjadi sebahagian daripada BUILT.






Ahad, 14 Disember 2014

PARENTSTEACHERSNEST-Bermulanya Sebuah Perjuangan

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Semalam saya menghadiri suatu majlis ilmu- Bengkel HOTS Menggunakan Buku Cerita Kanak-kanak Bergambar. Walaupun banyak kontennya bukan sesuatu yang asing untuk saya tetapi percayalah Allah sentiasa menitipkan kita dengan pelbagai idea baru setiap kali kita ke majlis ilmu. Alhamdulillah. Saya sangat seronok semalam.

Sepanjang empat jam, saya ralit memerhatikan ibu bapa yang hadir bersama anak-anak ke bengkel tersebut. Sungguh saya tersentuh. Bilangan ibu bapa yang hadir sangat sedikit. Tidak sampai 15 orang. Barangkali ini memang fenomena biasa. Ini juga yang berlaku di dalam kelas-kelas keibubapaan saya. Bilangan yang hadir sangat kecil. Saya masih ingat lagi lebih kurang 19 tahun lalu, saya dan suami menghadiri program 'Multiple Intelligence-Howard Gardner' yang dikendalikan untuk ibu bapa.  Saya menyaksikan fenomena yang sama. Bilangan ibu bapa yang hadir boleh dikira dengan jari tak sampai 10 saat! Adakah ibu bapa hari ini masih berfikir di takuk lama? Adakah ibu bapa masih berfikir bahawa kita tidak perlu mencari ilmu untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik daripada ibu bapa kita sendiri?

Saya mendengar dan melihat dengan mata kepala sendiri anak-anak hasil didikan ibu bapa yang positif dan negatif. Cerita-cerita mereka sangat membuka mata. Justeru, saya merasa sangat terpanggil untuk menydiakan satu wadah perkongsian interaktif untuk ibu bapa dan guru. 

Perjuangan saya yang kecil ini perlu diteruskan sekalipun ianya bergerak perlahan. Selamat datang ke PARENTSTEACHERSNEST; satu grup fb khusus untuk mereka yang berminat berkongsi pelbagai tips keibubapaan dan perguruan. Hubungi saya di facebook sekiranya tuan puan mahu menyertai grup ini. 

Nota: Terima kasih Puan Nurul Ilyani atas perkongsian dan dorongan.



Jumaat, 12 Disember 2014

Tribute Untuk Kalian

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Sebenarnya banyak kisah yang dikongsikan di dalam blog ini datang daripada persekitaran saya yang dipenuhi dengan suara dan jiwa anak-anak muda. Merekalah 'sekolah' saya dan mereka inilah yang kerap 'menyekolahkan' saya. Mereka inilah yang menghulurkan bantuan setiap kali saya di dalam kesukaran. Mereka inilah yang menceriakan hari-hari saya. Mereka inilah juga yang kekadang 'merajuk' dengan saya. Hihihi...Mereka inilah juga yang membantu saya mengenal hidup di lensa mata anak-anak, mereka inilah yang membantu tugasan di pejabat, mereka inilah yang membelikan saya makanan, mereka inilah krew saya, mereka inilah segala-galanya. 

Hari ini saya terpanggil untuk menyatakan sejuta penghargaan kepada mereka. Mana mungkin saya berdiri di tempat saya hari ini tanpa hadirnya mereka. Kepada semua pelajar saya; yang pernah belajar, sedang belajar dan bakal kembali belajar dengan saya; yang memanggil saya 'mama', 'bonda', 'ummu', 'cikgu', 'teacher', 'madam', tiada ucapan terima kasih yang mampu menzahirkan rasa syukur saya di atas segala sumbangan kalian kepada saya. Terima kasih atas segalanya.












Aku yang Dipanggil Ummu

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Bukan sesuatu yang asing apabila ramai pelajar saya memanggil saya 'mama'. Walaupun ramai yang sudah lama meninggalkan saya, panggilan itu kekal bertahun. Alhamdulillah. Keakraban yang terjalin antara saya dan 'anak-anak' ternyata memeriahkan dan mewarnai hidup saya.

Hari ini saya sengaja memilih kisah si dia. Salah seorang daripada 'anak-anak' saya. Kini sudah hampir dua tahun dia menjadi sebahagian daripada hidup saya. Walaupun sudah melanjutkan pelajaran, sesekali dia akan muncul di pejabat saya. Memecah sepi dan mengundang gelak tawa. Dia jarang serius. Suka melawak. Justeru, kehadirannya sentiasa membawa ceria.

Sejak kebelakangan ini, saya mula melihat perubahan kecil pada dirinya. Tidak pada sikapnya yang kelakar dan 'lepas cakap' tetapi pada butir bicara yang keluar daripada mulutnya. Lewat pertemuan tempoh hari, dia tiba-tiba memohon untuk tidak lagi memanggil saya 'mama' tetapi 'ummu'. "Ummu kan bahasa arab", ujarnya. Dialah satu-satunya yang memanggil saya 'ummu'. Sejuk hati saya mendengar panggilan tersebut.

Sesekali bertemu, dia ralit bercerita tentang kisah-kisah ulama; berkongsi ilmu yang didengar dan dikutip dari majlis-majlis ilmu yang dihadirinya. Kalau dahulu saya melihat dia sebagai anak kecil yang perlu dijaga rapi tetapi hari ini saya bangga melihat dia yang baru; seorang anak muda yang melihat dunia dari perspektif rohaniah.  Dan saya tak mungkin akan melupakan kata-kata ini, "kalaulah masa boleh diputar semula, saya mahu sangat mama dan abah masukkan saya ke sekolah agama sejak dari kecil lagi...".









Jumaat, 28 November 2014

Manisnya Tetap Ada

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Pengalaman mempunyai anak yang menduduki SPM di hospital merupakan antara suatu 'anugerah terindah' untuk tahun ini. Tentunya bebanan dan tekanan emosi, minda dan fizikal tidak mampu diluahkan dengan kata-kata tetapi manisnya tetap ada. Doa, sokongan dan dorongan mengiringi perjuangan anakanda sehingga ke tinta terakhirnya. Alhamdulillah. Semuanya dapat diselesaikan sebaik mungkin. Kini, yang tinggal cuma doa dan tawakkal. 

Mengimbas kembali situasi saya ketika mahu membuat keputusan ter'penting' untuk anakanda saat itu, saya amat bersyukur kerana mempunyai nombor telefon pengetua sekolah anak saya. Bersyukur juga kerana puan pengetua sanggup menerima panggilan telefon saya seawal jam 5.30 pagi. Saya masih ingat kata-kata beliau; 'puan perlu memaklumkan kepada saya nombor bilik anak puan segera kerana saya perlu memanjangkan maklumat ini kepada pengawas peperiksaan. Kalau tidak, anak puan perlu menduduki peperiksaan di bilik kuarantin sekolah.'

Ketika itu saya hanya tahu satu perkara sahaja. Anak saya wajib mengambil peperiksaan di hospital. Apapun demam yang dihidapinya, saya tetap mahukan dia dimasukkan ke hospital. Sejurus maklum akan prosedur peperiksaan, saya terus menghubungi hospital untuk menempah satu bilik. Alhamdulillah. Allah permudahkan. Usai mengetahui nombor bilik, segera saya maklumkan kepada puan pengetua. 

Jam 7.00 pagi anakanda selamat dimasukkan ke dalam wad. Jam 8.40 pagi, anak saya memulakan kertas 1 Kimia dan diikuti dengan kertas 2 lebih kurang setengah jam kemudian. Saya hanya mendengar khabar bahawa anakanda sah menghidap demam denggi ketika bertemu dengannya untuk makan tengahari; satu jam sebelum beliau menduduki kertas 3. 

Pertarungan keesokan harinya lebih memeritkan. Dengan suhu badan mencecah 39.7 darjah celsius, anakanda berdepan cabaran yang tidak sedikit.  Mujur berada di hospital membolehkan pihak hospital mengambil pendekatan 'ekstrem' untuk meredakan kepanasan badan beliau. Alhamdulillah...segalanya berakhir dengan baik. Ketiga-tiga kertas Biologi dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin. Syukur. Syukur teramat sangat....

Semasa peperiksaan berlangsung

Girang dilawat teman-teman







Isnin, 17 November 2014

Dengarlah Duhai Pendengar

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Saya mengenali pelajar ini sejak usianya 15 tahun. Kini usianya sudah 18 tahun dan keakraban kami masih sama. Walau jarang-jarang berjumpa, ada kalanya saya disapa di 'whatsapp' dan instagram. Saya tahu dalam kesibukan dia menyambung pelajaran, dia belum lagi melupakan saya. Alhamdulillah.

Setelah sekian lama, kami bertemu lewat hujung minggu lalu. Saya disapa 'berat'. Bukan sapaan biasa. Mengenali pelajar-pelajar ini, saya tahu ada  cerita 'besar' yang mahu dikongsi. Benar bagai ditelah. Kisah benar yang 'besar' dan 'berat'. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Kisah anak muda ini sewaktu di sekolah bukanlah suatu cerita manis. Namanya mekar kerana pelbagai masalah disiplin. Ponteng kelas. Ponteng sekolah. Buang sekolah. Merokok. Siapa tak kenal insan ini. Memahami beliau, saya tahu jiwanya bukan di sekolah. Akademik bukan kekuatannya. Pada saya beliau mengadu betapa jiwanya meronta-ronta untuk berhenti sekolah seawal tingkatan 4. Malang sekali kerana saya tak berupaya membantu ketika itu. Saya hanya mampu memohon beliau tamatkan tingkatan lima dan saya berusaha bersama-sama beliau mendapat keputusan SPM sebaik yang mungkin. 

Dipendekkan cerita, akhirnya beliau berjaya menyambung pelajaran. Alhamdulillah. Tapi kegusaran saya belum tamat. Saya tahu kekuatan insan ini. Akademik bukan makanan beliau. "Saya hanya turuti kehendak orang tua. Walhal saya tahu kemampuan saya." Demi ibu bapa, beliau berubah 360 darjah. Tiada istilah ponteng lagi dalam kamusnya. Semua tugasan disiapkan dan dihantar. Tetapi itu tidak cukup untuk mencipta rekod peribadi. Beliau gagal semester satu. Perlu mengulang keseluruhan semester. Beliau sudah angkat bendera putih. "Saya dah tak sanggup belajar, cikgu." "Saya nak kerja. Tak kisah walaupun bermula dari bawah." 

Mereka inilah yang sentiasa mengajar saya untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik. Menjadi pendengar terbaik dan memahami keluh kesah mereka. Dengarilah mereka sebelum kita mula bercakap. Dengarkanlah....






Ahad, 9 November 2014

Menginspirasi & Terinspirasi

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

19 tahun bergelar seorang ibu tidak memungkinkan saya layak ditauliahkan sebagai seorang ibu terbaik untuk anak-anak. Banyak yang masih perlu dipelajari dan diterokai. Masih belajar dan perlu belajar. Saya tidak nafikan ada pandangan yang mengatakan ibu bapa kita dahulu tidak perlu pun menghadiri mana-mana seminar untuk menjadikan kita seorang 'orang'. Saya tidak menidakkan pandangan itu. Tetapi kita sentiasa punya pilihan. Dan saya memilih untuk terus belajar.

Itulah hebatnya majlis ilmu. Setiap kali saya bertemu dengan ibu bapa dalam Seminar Melatih Anak-anak Berfikir Aras Tinggi, saya pasti mendapat imbuhan ilmu yang tidak ternilai daripada para peserta. Sungguh! Perkongsian ilmu sesama jemaah yang mempunyai nawaitu yang sama menghasilkan jalinan emosi dan buah fikir yang akrab. Ada emosi yang terusik, ada air mata yang mengalir, ada idea bernas yang dilontarkan. Nikmat apa lagikah yang mahu didustakan. Allahuakbar!!!

Saya bakal berkongsi lagi di SEMINAR MELATIH ANAK-ANAK BERFIKIR ARAS TINGGI. Kali ini pada hari Ahad 23 November 2014. Pusat Tuisyen Karisma Unggul, Seksyen 28, Shah Alam.
Manggakan tarikh ini. Jumpa tuan puan nanti.



Rabu, 29 Oktober 2014

Menjiwai Jiwa Sendiri

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto; Koleksi Peribadi

Sudah di penghujung Oktober. November cuma sedetik mahu menyapa. Masa ternyata begitu cepat berlalu. Pagi ini pabila merenung kembali '2014 Vision Board' yang tergantung di pejabat, saya tahu saya berada di landasan yang diingini.

Tahun ini saya bermula agak lewat. Tahap kesihatan yang kurang memberangsangkan di awal tahun menyebabkan saya menangguhkan perjalanan impian 2014. Saya hanya memulakan segalanya pada bulan Mei. Kelahiran blog ini adalah pencapaian pertama saya. Sebuah impian yang akhirnya menjadi nyata.

Terus-terang saya katakan ada dua agenda dalam '2014 vision board' yang tak mungkin akan saya laksanakan. Puncanya? Kerana saya tidak miliki sebarang nyala rasa untuk memulakannya. Saya akur sesetengah orang mungkin mampu melakukan sesuatu yang tidak diminatinya kerana punya faktor dorongan yang lain. Tetapi tidak saya. Saya hanya mampu memulakan dan melaksanakan sesuatu perkara yang memiliki jiwa saya. Menjiwai jiwa saya.

'2015 Vision Board' sudah ada di dalam kepala. Kali ini benar-benar yang berjiwa. Hanya yang berjiwa...


     



 

Rabu, 22 Oktober 2014

Melamar Bijakmu Duhai Tuan

Teks: Fauziah Sirat
Koleksi: Foto Peribadi (kredit kepada anakanda Shafiq Aizal Latif)

Saya bukanlah peminat Akademi Fantasia. Bukan sebab saya malu mahu mengaku tetapi memang benar; sungguh ini pernyataan benar dan benar. Bukan juga coret-coret Akademi Fantasia yang mahu dikongsikan. Cuma apabila rancangan realiti itu mengenengahkan lagu-lagu P.Ramlee dan Saloma sebagai tugasan peserta minggu lalu, saya sungguh terkesan. Tiba-tiba hasrat hati mahu mengkaji karya-karya besar Tan Sri P.Ramlee membuak-buak kembali. Entah untuk yang keberapa kali...hmm...

Genius seni. Siapa mampu menafikan fakta itu. Karya beliau menterjemahkan segala. Liriknya bersatu dengan irama. Iramanya bersatu dengan jiwa. Kalau benar menghayati setiap bait lagunya, jiwa terkesan sebak mendengar Jeritan Batinku. Jiwa terkesan  dengan jenaka Madu Tiganya. Khalayak menangis, khalayak tertawa tatkala menonton filem-filemnya.

Tan Sri P.Ramlee adalah tokoh besar dengan pelbagai kecerdasan yang luar biasa. Merujuk kepada kepada teori 9 kecerdasan pelbagai oleh Howard Gardner, P.Ramlee terang-terangan punyai kecerdasan muzik, intrapersonal, interpersonal, linguistik, visual/ruang dan kinestetik (ini hanyalah penilaian peribadi saya semata-mata). Subhanallah! Sungguh hebat. Ingin sekali saya melamar bijakmu duhai tuan.
Al-fatihah.

Jikalau tidak kerana sayang, 
Kuntuman kasih tak mungkin kembang
Andainya jemu mengganti rindu
Jambangan mesra tentulah layu
(petikan lagu Tanya Sama Hati daripada filem Anakku Sazali)

Gambar hiasan







Ahad, 19 Oktober 2014

Pabila Bunga Hanya Tinggal Sekuntum.....

Teks: Fauziah binti Sirat
Koleksi: Foto Perbadi

Dalam kembara saya berkongsi sedikit ilmu yang dipinjamkan oleh Allah, saya mensasarkan tiga kelompok ini; ibu bapa, guru-guru dan anak-anak. Tetapi acapkalinya, saya lebih banyak bersama anak-anak. Justeru, apabila saya disapa oleh seorang kenalan untuk mengendalikan satu perkongsian kemahiran berfikir aras tinggi untuk ibu bapa, saya tak mampu menyembunyikan keterujaan.

Apa pun hujah yang dikemukakan, kita tak mampu menafikan betapa besarnya peranan ibu bapa dalam melakar, mencorak dan mewarna tahap pemikiran anak-anak. Tidak boleh sesekalipun kita menyerahkan tanggungjawab itu kepada mana-mana pihak. Kadangkala saya terdiam mengurut emosi sendiri apabila mendengar ibu bapa berkata, 'Saya tak tahu silibus sekolah. Itu yang tak boleh mengajar anak-anak.'

Kita tidak perlu tahu apa yang diajar oleh guru-guru di sekolah dan kita juga tidak perlu mengambil alih tugas guru mengajar konten silibus, tetapi kita perlu persiapkan dan mengasah tahap pemikiran anak-anak kita sedari kecil, dari masa ke masa dan tiada henti. Anak-anak kita perlu sentiasa dalam situasi bersedia. Bayangkan hasilnya apabila anak-anak kita mampu menjawab soalan sebegini, 'Seandainya bunga hanya tinggal sekuntum, apakah yang bakal terjadi?'.

Kalau punya masa, saya sudi berkongsi tips mendorong anak-anak berfikir aras tinggi. Sediakan lantainya, saya sudi berdansa bersama tuan puan.




Khamis, 16 Oktober 2014

Jauh itu Mendekatkan Kita

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Ada banyak ketikanya saya buntu bila ditanya. 'You kerja apa?'. Selalunya saya menjawab, 'Saya berbisnes'. Tentunya jawapan saya itu mengundang lebih banyak soalan kerana jawapan itu menuntut penjelasan yang berjela. Tetapi walau bertubi-tubi soalan yang dikemukakan, saya selalunya merasa bahagia bila di hujung perbualan itu, mereka akan terus menobatkan saya dengan panggilan cikgu. 'Oh! So...you ni cikgu la ye...?. Saya hanya tersenyum. Sememangnya senyum itu lebih mudah untuk mengiyakan segala tanggapan.  

Selama saya mengusahakan pusat tuisyen dan menjadi seorang cikgu, keseronokan dan kebahagiaan yang dikecapi memang tak mampu saya olahkan dengan bicara. Melihat anak-anak membangunkan potensi diri dan melihat seorang demi seorang mengukir wajah kejayaan, saya selalunya menyimpan rasa bangga jauh di lubuk hati. Tapi benarlah, saya hanya mampu meraikan mereka, pelajar-pelajar di pusat tuisyen saya sahaja. Saya tak mampu menghulurkan tangan kepada mereka di luar sana. Mereka terlalu jauh untuk dicapai.

Allah Maha Kuasa. Allah Maha Mendengar. Hasrat saya ditunaikan. Perlahan-lahan saya keluar dari kepompong selesa. Saya sudah mula bertemu anak-anak di luar kawasan. Dan tadi apabila menerima jemputan mengadakan program Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di sebuah sekolah menengah di Kedah, saya hampir pasti impian untuk menghulurkan tangan kepada mereka bakal menjadi nyata. Insyaallah...

Mohon doa kalian...



Isnin, 13 Oktober 2014

Menjelajah Jiwa Kecil Abah

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Abah tidak bercerita apa-apa sepanjang meraikan adik yang selesai menamatkan pengajian ijazahnya. Diam. Senyum. Berjenaka. Ketawa sesekali. Itu sahaja. Tiada banyak bicara. Tapi semalam, saat kami duduk hanya berdua, abah mula buka cerita.

'Masa tengok adik naik pentas semalam, sedih abah. Abah teringatkan emak. Dari kecil, emak jaga. Hantar ke sekolah. Pergi balik. Pagi petang....', abah diam...Saya juga diam. Tiada kata mampu ditutur. Lama sepi membeku suasana. 'Tapi ye laa...abah pasrah. Allah lebih sayangkan emak.' Suara abah yang menahan getar sebak terus mencipta hiba. Airmata yang tadinya hanya singgah di penjuru kelopak mata kini jatuh berderai, tidak mampu ditahan-tahan lagi. 

Saya akur akan keutuhan kasih emak dan abah. Empat puluh tahun hidup bersama. Mana mungkin saya menolak hakikat yang mereka saling kasih mengasihi. Mungkin tidak kelihatan di mata anak-anak akan kehangatan percintaan mereka tetapi kami tahu abah kasihkan emak sepenuh jiwa raganya. 

Emak pergi di ribaan abah. Siapa mahu percaya emak pergi sekelip mata. Kami pun sukar mahu percaya apatah lagi abah. Saat pasukan paramedik mengesahkan emak telah tiada, abah berkali-kali mendesak; cuba 'check' lagi, 'check' lagi....mohon kepastian berkali-kali dengan harapan bahawa semua ini mimpi. Tetapi kami tidak bermimpi. Pada saat itu, emak sudah dijemput Illahi.

Bertahanlah abah. Redhakan yang telah pergi. Biarkan memori itu kekal abadi...
Al-fatihah...






Ahad, 12 Oktober 2014

Mendendangkan Impian Bonda

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Pagi ini saya dihimpit sebak. Rasa rindu pada arwah bonda meluap-luap. Datang tanpa diminta. Datang dari seluruh arah. Al-fatihah...

Hari ini adik saya yang bongsu menyempurnakan istiadat konvokesyen beliau. Jauh di hati kecil, saya tahu ini adalah antara momen besar yang diimpikan oleh bonda. Barangkali emak tidak pernah berkongsi impian ini dengan anak-anak yang lain tetapi emak pernah menyuarakan keinginan beliau melihat anak-anak mengecap kejayaan setinggi termampu di dalam bidang akademik.  

Walau emak tidak berpeluang meraikan hari besar ini, tapi saya tahu emak pergi bertemu Illahi dengan hati yang tenang. Dia tahu kami akan melangsungkan impian beliau. Dia tahu saya akan pastikan adik-adik akan terus berusaha gigih melayar kehidupan sesempurna mungkin. Dia juga tahu saya akan sentiasa mendendangkan impiannya di dalam seluruh hidup saya. 

Jangan risau emak. Long ada...Long akan jaga abah, adik-adik seperti yang mak inginkan. Long rindu emak. Alfatihah...






Khamis, 2 Oktober 2014

Kitakah Yang Bersalah?

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi/kredit kepada Pn Rosmawar Baharuddin

Dalam perjalanan saya berkongsi sedikit ilmu yang dipinjamkan Allah berkenaan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), rata-rata pelajar menolak kehadiran KBAT di dalam sistem persekolahan mereka. Mereka tidak faham mengapa kemahiran ini perlu dibina, perlu dipupuk. Mereka merasakan kewujudan soalan-soalan ini menyukarkan dan menghadkan keupayaan mereka mencatat prestasi terbaik. Walhal pada hakikatnya, kemahiran itu sudah wujud sedari usia kecil mereka...

Apa yang sangat diperlukan oleh anak-anak kita adalah persekitaran yang membantu melonjakkan potensi berfikir aras tinggi. Ibu bapa, guru-guru dan masyarakat sangat berperanan besar untuk memastikan potensi ini terus mekar, tidak mati dan berkubur. Bagaimana mengenal, memupuk dan merangsang anak-anak kita berfikir aras tinggi? Saya akan berkongsi tekniknya di Seminar Teknik Melatih Anak Berfikir Aras Tinggi pada 19 Oktober 2014 (rujuk poster di bawah untuk maklumat lanjut).

Mengapa perlu hadir ke seminar ini? Ada kajian mendedahkan potensi berfikir aras tinggi anak-anak dimusnahkan oleh ibu bapa dan sistem persekolahan. Tentunya kita tidak mahu termasuk di dalam kelompok ini. Tanggungjawab kita adalah untuk menyedarkan anak-anak bahawa kemahiran itu sudah ada di dalam diri. Tanggungjawab kita adalah untuk terus menyemai dan membajai potensi ini agar anak-anak kita kekal menjadi pemikir hebat. 

19 Oktober 2014. Pacak tarikh ini. Semat tarikh ini. Ketemu kita nanti ya!









Selasa, 9 September 2014

Kau Ibarat Bintang

Teks: Fauziah Sirat
Foto: Imej Google

Semalam saya menerima panggilan daripada seorang sahabat lama; seorang penolong kanan di sebuah sekolah menengah di Selangor. "Nampak gaya tak dapatlah puan buat program di sekolah kami. Peruntukan yang dirancangkan untuk puan terpaksa digunakan untuk program lain". Panjang lebar beliau menjelaskan situasi dan saya amat memahaminya. Saya pernah bertamu dua kali ke sekolah itu. Walau ianya duduk di pinggir kota, sekolah itu banyak yang kurangnya. Banyak yang boleh dibantu dan perlu dibantu. 

Saya menerima khabar itu dengan hati berkobar-kobar. Tiada sedih. Tiada kecewa. Saya katakan pada sang sahabat. "Jangan risau. Program itu pasti berjalan. Tanpa peruntukan sekalipun, saya akan usahakan agar 80 orang pelajar yang direncanakan tetap bersama saya." Lewat petang saya melontarkan hasrat mencari penaja pelajar kepada seorang teman rapat. Setelah idea dicerna, saya bersedia. Semoga Allah permudahkan usaha kecil saya.

Hari ini. Jam 9.48am. Dengan lafaz Bismillah, kempen 'Taja 80 Pelajar' bermula. Alhamdulillah, Jam 11.12 am. Penyumbang terakhir melengkapkan kempen. Akhirnya, 80 orang pelajar-pelajar tingkatan 3 yang berkenaan mengesahkan penglibatan di dalam Program Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)@HOTSHELP pada 29 September 2014. 

Saya memanjatkan syukur ke hadrat Illahi kerana dianugerahkan dengan rezeki sahabat-sahabat hebat yang pemurah dan dermawan. Sesungguhnya rezeki itu sungguh luas spektrumnya. Selain daripada keluarga, sahabat-sahabatlah yang akan sentiasa bersama kita. Barangkali tidak pada setiap masa. Tetapi ada detiknya, ketika kita rasa bagai tak punya sesiapa, pada sahabat-sahabatlah kita akan berpaling. Terima kasih duhai sahabat yang sentiasa menyokong, membantu, tak kira masa dan ketika. Hanya Allah akan membalas segala-galanya...



Ahad, 31 Ogos 2014

Harga Setiap Saat

Lewat setahun lalu, saya dikejutkan dengan berita yang meruntun jiwa. Bekas pelajar saya koma akibat kemalangan. Khabarnya setelah tiga minggu koma, beliau mulai sedar dengan memori yang hilang. Saya mengucap banyak-banyak mendoakan kesejahteraan beliau. Moga beliau segera sembuh.

Berbulan-bulan selepas itu, saya melihat kelibat beliau di facebook. Segera saya menyapa. Alhamdulillah. Pelajar saya ini masih ingat dan masih mengenali saya. Saya tanamkan hasrat mahu melawat beliau. Duduk bersembang mendengar sendiri cerita daripada mulut beliau. Tetapi itulah....hasrat di jiwa tak pernah kesampaian. Ada sahaja yang menghalang. Setelah lebih setahun membuat rencana, akhirnya saya bulatkan hati. Saya mesti menunaikan hasrat sendiri.Tak boleh bertangguh lagi. Mesti. Wajib ditunaikan...

Akhirnya kami bertentang mata. Allahuakbar. Besarnya dugaan pada insan semuda beliau. Patah tulang belakang dengan darah beku di otak. Keluar masuk hospital berbulan-bulan dan kini masih gigih menjalani program fisioterapi. Setelah lebih setahun, beliau kini sudah mula mampu berjalan perlahan-lahan dengan alat bantu. Hampir sejam bersembang, kata-kata beliau yang ini sangat terpahat di jiwa. 'I cannot lose a second, teacher.' Saya tahu ketabahan dan kegigihan ini yang menyebabkan beliau menjadi beliau seperti hari ini. Walau pernah diramalkan bakal terlantar seumur hidup, beliau adalah antara bukti hidup yang mengesahkan betapa semangat luar biasa mampu mengubah dunia. 

Untuk Khairol Hidayah, saya doakan anda cepat sembuh. Terus kuat melayari cabaran mendatang. Teruskan perjuangan. Saya tahu kekuatan jiwa dan kegigihan usaha anda pasti akan membuahkan hasil. Insyaallah....




Ahad, 24 Ogos 2014

Gusar Seorang Isteri

Teks: Fauziah Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Minggu yang padat berisi cerita. Cukup padat untuk dirungkai dan dikongsi pelbagai rasa yang mewarnai hari. Minggu lalu sarat aktiviti berjanji dan bertemu. Minggu lalu juga mencatat kejayaan peribadi yang besar maknanya.  Pokoknya, inilah antara tujuh hari dalam hidup yang akan dikenang sedalam-dalamnya. 

Sang arjuna saya akhirnya bejaya menawan puncak gunung Kinabalu. Sepanjang lima hari beliau di sana, saya tak putus-putus berdoa. Risau sang isteri hanya Tuhan yang tahu. Bukan mahu mematahkan semangat beliau; tapi berkali-kali sebelum beliau pergi saya berpesan, "Jangan paksa diri. Kalau tak larat, tak perlu teruskan." Walau itu bertentangan dengan prinsip mencabar diri yang tertanam di dalam diri, saya harus akur akan hakikat "Gusar Seorang Isteri". Alhamdulillah, akhirnya beliau menitip khabar gembira. Gambar-gambar di puncak di"whatsapp" kepada kami sekeluarga. Syukur dan bangga. Saya tahu perjalanan ke puncak sangat sukar. Saya tahu sentiasa ada kebarangkalian untuk beliau jatuh. Sentiasa ada ruang untuk beliau tercedera.  Sentiasa ada momen diserang demam. Benar! Beliau jatuh. Ada luka. Ada lebam. Ada rasa seram sejuk di badan. Malah katanya, pernah ada detik 50:50; wajarkah ini diteruskan? Tapi itulah corat coret yang membawa beliau sampai ke puncak.

Kejayaan ini besar maknanya pada sang arjuna. Kami sekeluarga berkongsi seronok dan bangga. Perjalanan ke puncak tidak pernah mudah. Semangat, kecekalan, kekuatan mental, emosi daan fizikal saling lengkap melengkapi.  Begitulah hakikat kehidupan. Perlu ada matlamat yang disasarkan. Agar pendakian kita tidak tersasar tanpa hala tuju. Perlu ada rencana ke puncak. Laluan mana yang mahu diambil. Persiapan apa yang perlu disediakan. Kita tak boleh redah sesuka hati. Tiada istilah 'redahlogi'...