Khamis, 29 Mei 2014

Saya Menangis Lagi...

Saya barangkali sama sahaja dengan wanita-wanita lain. Mudah mengalirkan air mata. Tengok cerita hindustan yang sama berulang-ulang kali, tetap bertempayan air mata yang keluar. Alahai, Kabhi Kushi Kabhi Gam :)

Air mata ini gugur rasanya sebulan yang lalu. Ketika bertamu di bumi barakah, Mekah & Madinah. Tanpa dipaksa, tanpa didorong, tanpa rangsangan, tiba-tiba air mata laju membasahi pipi. Itu kisah sebulan yang lalu dan hari ini hampir genap sebulan, saya menangis lagi...

Semalam dan hari ini saya di Kongres Kebangsaan Guru-guru Tadika 2014; diberi tanggungjawab sebagai emcee. Sambil mengendalikan majlis saya sibuk mencedok ilmu. Semua inputnya serba bernas tetapi saya paling terkesan dengan penyampaian Tuan Zuhairi Mohd Nopiah lewat petang tadi. Kata-kata 'tanda kasih sayang' Allah bergema-gema di benak fikir saya.

Saya benar-benar mengambil momen merenung diri. Saya punya suami, anak-anak, abah, emak, adik-adik dan kaum keluarga. Dilimpahi kasih sayang dan ilmu bukan sahaja daripada mereka tetapi juga daripada sahabat-sahabat, para pelajar, mentor-mentor dan guru-guru. Masyaallah...bukankah itu tanda kasihnya Allah kepada saya? Itu hanya sedikit. Saya takkan mampu menyenaraikan nikmat yang diberikanNya sebagai tanda kasih kepada saya. Terlalu banyak. Cukup banyak. Tetapi apa pula yang telah saya berikan kepadaNya sebagai tanda kasih saya? Cukupkah tanda kasih saya kepadaNya? Airmata ini mengalir tiba-tiba. Saya menangis di situ juga. Di dalam dewan berlangsungnya acara...

Barangkali kita alpa sehingga tidak terlihat nikmat yang ada sebagai tanda Allah kasih dan sayangkan kita. Allah sungguh kasihkan kita walau kita leka dan lalai; tenggelam di dalam nikmat-nikmatNya. Semoga kita terus-terus diberikan kekuatan, ketakwaan dan keimanan untuk membalas kasihnya Allah; untuk terus mengasihiNya dan mencintai RasulNya... Amin. Amin. Ya Rabbal'Alamin.

Bersama Tuan Zuhairi Md Nopiah & isteri, Puan Aisyah Sweet serta rakan gandingan emcee, Tuan Allwee

Tiada ulasan:

Catat Ulasan