Jumaat, 28 November 2014

Manisnya Tetap Ada

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Pengalaman mempunyai anak yang menduduki SPM di hospital merupakan antara suatu 'anugerah terindah' untuk tahun ini. Tentunya bebanan dan tekanan emosi, minda dan fizikal tidak mampu diluahkan dengan kata-kata tetapi manisnya tetap ada. Doa, sokongan dan dorongan mengiringi perjuangan anakanda sehingga ke tinta terakhirnya. Alhamdulillah. Semuanya dapat diselesaikan sebaik mungkin. Kini, yang tinggal cuma doa dan tawakkal. 

Mengimbas kembali situasi saya ketika mahu membuat keputusan ter'penting' untuk anakanda saat itu, saya amat bersyukur kerana mempunyai nombor telefon pengetua sekolah anak saya. Bersyukur juga kerana puan pengetua sanggup menerima panggilan telefon saya seawal jam 5.30 pagi. Saya masih ingat kata-kata beliau; 'puan perlu memaklumkan kepada saya nombor bilik anak puan segera kerana saya perlu memanjangkan maklumat ini kepada pengawas peperiksaan. Kalau tidak, anak puan perlu menduduki peperiksaan di bilik kuarantin sekolah.'

Ketika itu saya hanya tahu satu perkara sahaja. Anak saya wajib mengambil peperiksaan di hospital. Apapun demam yang dihidapinya, saya tetap mahukan dia dimasukkan ke hospital. Sejurus maklum akan prosedur peperiksaan, saya terus menghubungi hospital untuk menempah satu bilik. Alhamdulillah. Allah permudahkan. Usai mengetahui nombor bilik, segera saya maklumkan kepada puan pengetua. 

Jam 7.00 pagi anakanda selamat dimasukkan ke dalam wad. Jam 8.40 pagi, anak saya memulakan kertas 1 Kimia dan diikuti dengan kertas 2 lebih kurang setengah jam kemudian. Saya hanya mendengar khabar bahawa anakanda sah menghidap demam denggi ketika bertemu dengannya untuk makan tengahari; satu jam sebelum beliau menduduki kertas 3. 

Pertarungan keesokan harinya lebih memeritkan. Dengan suhu badan mencecah 39.7 darjah celsius, anakanda berdepan cabaran yang tidak sedikit.  Mujur berada di hospital membolehkan pihak hospital mengambil pendekatan 'ekstrem' untuk meredakan kepanasan badan beliau. Alhamdulillah...segalanya berakhir dengan baik. Ketiga-tiga kertas Biologi dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin. Syukur. Syukur teramat sangat....

Semasa peperiksaan berlangsung

Girang dilawat teman-teman







Isnin, 17 November 2014

Dengarlah Duhai Pendengar

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Saya mengenali pelajar ini sejak usianya 15 tahun. Kini usianya sudah 18 tahun dan keakraban kami masih sama. Walau jarang-jarang berjumpa, ada kalanya saya disapa di 'whatsapp' dan instagram. Saya tahu dalam kesibukan dia menyambung pelajaran, dia belum lagi melupakan saya. Alhamdulillah.

Setelah sekian lama, kami bertemu lewat hujung minggu lalu. Saya disapa 'berat'. Bukan sapaan biasa. Mengenali pelajar-pelajar ini, saya tahu ada  cerita 'besar' yang mahu dikongsi. Benar bagai ditelah. Kisah benar yang 'besar' dan 'berat'. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Kisah anak muda ini sewaktu di sekolah bukanlah suatu cerita manis. Namanya mekar kerana pelbagai masalah disiplin. Ponteng kelas. Ponteng sekolah. Buang sekolah. Merokok. Siapa tak kenal insan ini. Memahami beliau, saya tahu jiwanya bukan di sekolah. Akademik bukan kekuatannya. Pada saya beliau mengadu betapa jiwanya meronta-ronta untuk berhenti sekolah seawal tingkatan 4. Malang sekali kerana saya tak berupaya membantu ketika itu. Saya hanya mampu memohon beliau tamatkan tingkatan lima dan saya berusaha bersama-sama beliau mendapat keputusan SPM sebaik yang mungkin. 

Dipendekkan cerita, akhirnya beliau berjaya menyambung pelajaran. Alhamdulillah. Tapi kegusaran saya belum tamat. Saya tahu kekuatan insan ini. Akademik bukan makanan beliau. "Saya hanya turuti kehendak orang tua. Walhal saya tahu kemampuan saya." Demi ibu bapa, beliau berubah 360 darjah. Tiada istilah ponteng lagi dalam kamusnya. Semua tugasan disiapkan dan dihantar. Tetapi itu tidak cukup untuk mencipta rekod peribadi. Beliau gagal semester satu. Perlu mengulang keseluruhan semester. Beliau sudah angkat bendera putih. "Saya dah tak sanggup belajar, cikgu." "Saya nak kerja. Tak kisah walaupun bermula dari bawah." 

Mereka inilah yang sentiasa mengajar saya untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik. Menjadi pendengar terbaik dan memahami keluh kesah mereka. Dengarilah mereka sebelum kita mula bercakap. Dengarkanlah....






Ahad, 9 November 2014

Menginspirasi & Terinspirasi

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

19 tahun bergelar seorang ibu tidak memungkinkan saya layak ditauliahkan sebagai seorang ibu terbaik untuk anak-anak. Banyak yang masih perlu dipelajari dan diterokai. Masih belajar dan perlu belajar. Saya tidak nafikan ada pandangan yang mengatakan ibu bapa kita dahulu tidak perlu pun menghadiri mana-mana seminar untuk menjadikan kita seorang 'orang'. Saya tidak menidakkan pandangan itu. Tetapi kita sentiasa punya pilihan. Dan saya memilih untuk terus belajar.

Itulah hebatnya majlis ilmu. Setiap kali saya bertemu dengan ibu bapa dalam Seminar Melatih Anak-anak Berfikir Aras Tinggi, saya pasti mendapat imbuhan ilmu yang tidak ternilai daripada para peserta. Sungguh! Perkongsian ilmu sesama jemaah yang mempunyai nawaitu yang sama menghasilkan jalinan emosi dan buah fikir yang akrab. Ada emosi yang terusik, ada air mata yang mengalir, ada idea bernas yang dilontarkan. Nikmat apa lagikah yang mahu didustakan. Allahuakbar!!!

Saya bakal berkongsi lagi di SEMINAR MELATIH ANAK-ANAK BERFIKIR ARAS TINGGI. Kali ini pada hari Ahad 23 November 2014. Pusat Tuisyen Karisma Unggul, Seksyen 28, Shah Alam.
Manggakan tarikh ini. Jumpa tuan puan nanti.



Rabu, 29 Oktober 2014

Menjiwai Jiwa Sendiri

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto; Koleksi Peribadi

Sudah di penghujung Oktober. November cuma sedetik mahu menyapa. Masa ternyata begitu cepat berlalu. Pagi ini pabila merenung kembali '2014 Vision Board' yang tergantung di pejabat, saya tahu saya berada di landasan yang diingini.

Tahun ini saya bermula agak lewat. Tahap kesihatan yang kurang memberangsangkan di awal tahun menyebabkan saya menangguhkan perjalanan impian 2014. Saya hanya memulakan segalanya pada bulan Mei. Kelahiran blog ini adalah pencapaian pertama saya. Sebuah impian yang akhirnya menjadi nyata.

Terus-terang saya katakan ada dua agenda dalam '2014 vision board' yang tak mungkin akan saya laksanakan. Puncanya? Kerana saya tidak miliki sebarang nyala rasa untuk memulakannya. Saya akur sesetengah orang mungkin mampu melakukan sesuatu yang tidak diminatinya kerana punya faktor dorongan yang lain. Tetapi tidak saya. Saya hanya mampu memulakan dan melaksanakan sesuatu perkara yang memiliki jiwa saya. Menjiwai jiwa saya.

'2015 Vision Board' sudah ada di dalam kepala. Kali ini benar-benar yang berjiwa. Hanya yang berjiwa...


     



 

Rabu, 22 Oktober 2014

Melamar Bijakmu Duhai Tuan

Teks: Fauziah Sirat
Koleksi: Foto Peribadi (kredit kepada anakanda Shafiq Aizal Latif)

Saya bukanlah peminat Akademi Fantasia. Bukan sebab saya malu mahu mengaku tetapi memang benar; sungguh ini pernyataan benar dan benar. Bukan juga coret-coret Akademi Fantasia yang mahu dikongsikan. Cuma apabila rancangan realiti itu mengenengahkan lagu-lagu P.Ramlee dan Saloma sebagai tugasan peserta minggu lalu, saya sungguh terkesan. Tiba-tiba hasrat hati mahu mengkaji karya-karya besar Tan Sri P.Ramlee membuak-buak kembali. Entah untuk yang keberapa kali...hmm...

Genius seni. Siapa mampu menafikan fakta itu. Karya beliau menterjemahkan segala. Liriknya bersatu dengan irama. Iramanya bersatu dengan jiwa. Kalau benar menghayati setiap bait lagunya, jiwa terkesan sebak mendengar Jeritan Batinku. Jiwa terkesan  dengan jenaka Madu Tiganya. Khalayak menangis, khalayak tertawa tatkala menonton filem-filemnya.

Tan Sri P.Ramlee adalah tokoh besar dengan pelbagai kecerdasan yang luar biasa. Merujuk kepada kepada teori 9 kecerdasan pelbagai oleh Howard Gardner, P.Ramlee terang-terangan punyai kecerdasan muzik, intrapersonal, interpersonal, linguistik, visual/ruang dan kinestetik (ini hanyalah penilaian peribadi saya semata-mata). Subhanallah! Sungguh hebat. Ingin sekali saya melamar bijakmu duhai tuan.
Al-fatihah.

Jikalau tidak kerana sayang, 
Kuntuman kasih tak mungkin kembang
Andainya jemu mengganti rindu
Jambangan mesra tentulah layu
(petikan lagu Tanya Sama Hati daripada filem Anakku Sazali)

Gambar hiasan







Ahad, 19 Oktober 2014

Pabila Bunga Hanya Tinggal Sekuntum.....

Teks: Fauziah binti Sirat
Koleksi: Foto Perbadi

Dalam kembara saya berkongsi sedikit ilmu yang dipinjamkan oleh Allah, saya mensasarkan tiga kelompok ini; ibu bapa, guru-guru dan anak-anak. Tetapi acapkalinya, saya lebih banyak bersama anak-anak. Justeru, apabila saya disapa oleh seorang kenalan untuk mengendalikan satu perkongsian kemahiran berfikir aras tinggi untuk ibu bapa, saya tak mampu menyembunyikan keterujaan.

Apa pun hujah yang dikemukakan, kita tak mampu menafikan betapa besarnya peranan ibu bapa dalam melakar, mencorak dan mewarna tahap pemikiran anak-anak. Tidak boleh sesekalipun kita menyerahkan tanggungjawab itu kepada mana-mana pihak. Kadangkala saya terdiam mengurut emosi sendiri apabila mendengar ibu bapa berkata, 'Saya tak tahu silibus sekolah. Itu yang tak boleh mengajar anak-anak.'

Kita tidak perlu tahu apa yang diajar oleh guru-guru di sekolah dan kita juga tidak perlu mengambil alih tugas guru mengajar konten silibus, tetapi kita perlu persiapkan dan mengasah tahap pemikiran anak-anak kita sedari kecil, dari masa ke masa dan tiada henti. Anak-anak kita perlu sentiasa dalam situasi bersedia. Bayangkan hasilnya apabila anak-anak kita mampu menjawab soalan sebegini, 'Seandainya bunga hanya tinggal sekuntum, apakah yang bakal terjadi?'.

Kalau punya masa, saya sudi berkongsi tips mendorong anak-anak berfikir aras tinggi. Sediakan lantainya, saya sudi berdansa bersama tuan puan.




Khamis, 16 Oktober 2014

Jauh itu Mendekatkan Kita

Teks: Fauziah binti Sirat
Foto: Koleksi Peribadi

Ada banyak ketikanya saya buntu bila ditanya. 'You kerja apa?'. Selalunya saya menjawab, 'Saya berbisnes'. Tentunya jawapan saya itu mengundang lebih banyak soalan kerana jawapan itu menuntut penjelasan yang berjela. Tetapi walau bertubi-tubi soalan yang dikemukakan, saya selalunya merasa bahagia bila di hujung perbualan itu, mereka akan terus menobatkan saya dengan panggilan cikgu. 'Oh! So...you ni cikgu la ye...?. Saya hanya tersenyum. Sememangnya senyum itu lebih mudah untuk mengiyakan segala tanggapan.  

Selama saya mengusahakan pusat tuisyen dan menjadi seorang cikgu, keseronokan dan kebahagiaan yang dikecapi memang tak mampu saya olahkan dengan bicara. Melihat anak-anak membangunkan potensi diri dan melihat seorang demi seorang mengukir wajah kejayaan, saya selalunya menyimpan rasa bangga jauh di lubuk hati. Tapi benarlah, saya hanya mampu meraikan mereka, pelajar-pelajar di pusat tuisyen saya sahaja. Saya tak mampu menghulurkan tangan kepada mereka di luar sana. Mereka terlalu jauh untuk dicapai.

Allah Maha Kuasa. Allah Maha Mendengar. Hasrat saya ditunaikan. Perlahan-lahan saya keluar dari kepompong selesa. Saya sudah mula bertemu anak-anak di luar kawasan. Dan tadi apabila menerima jemputan mengadakan program Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di sebuah sekolah menengah di Kedah, saya hampir pasti impian untuk menghulurkan tangan kepada mereka bakal menjadi nyata. Insyaallah...

Mohon doa kalian...