Memaparkan catatan dengan label umrah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label umrah. Papar semua catatan

Khamis, 22 Mei 2014

Kisah MERS-CoV

Hari ini Sabtu. 26hb April 2014. Rumah saya sudah dipenuhi riuh-rendah anak-anak buah dan kaum keluarga yang datang dari Johor. Esok Ahad, 27hb April, jam 7 malam, saya, Sang Arjuna, Abah dan Mak Cik (ibu tiri saya) akan berlepas menaiki pesawat MAS ke Jeddah. 

Sebenarnya, lewat beberapa minggu sebelum bertolak, adik-adik saya yang tinggal di Johor sudah gundah gulana. Apa tidaknya; ada jemaah umrah dari Batu Pahat yang meninggal dunia akibat jangkitan MERS-CoV (Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus). "Long, kau tangguhlah dulu nak pergi umrah ni. Sekarang wabak MERS la,". Hmmmm...memang beratlah permintaan itu. Memang sah tak akan ditunaikan. Hihihi. "Kita doa kuat-kuat ya. Ikhtiar. Tawakal. Insyaallah, tak ada apa-apa". Jawapan klise yang ternyata tak berupaya melenyapkan keresahan adik-adik saya. Tapi apakan daya; hanya itu yang mampu saya buat. Apa pun malam itu, saya dan rombongan Cik Kiah saya ke Hospital Ampang Puteri. Atas nasihat sahabat-sahabat doktor, kami disarankan mengambil suntikan Influenza, ikhtiar tambahan melindungi diri. Ini bermakna kami mengambil dua suntikan sebelum ke umrah, Meningococcal Meningitis dan Influenza. Mudah-mudahan kami dilindungiNya.



Datang Lebih Awal

Apabila membuat keputusan mengunjungi Rumah Allah, saya tidak pernah terfikirkan perkara ini. Apabila menerima tarikh yang ditetapkan, saya juga tidak langsung memikirkan perkara ini. Namun, sejak 3 bulan kebelakangan ini, perkara ini yang menghantui saya. Kitaran haid saya yang tetap setiap bulan menyebabkan saya sangat pasti 6  hari ketika 12 hari berada di sana bakal menguji saya. Insyaallah, saya dapat menyempurnakan umrah di bumi Mekah al-Mukarammah tetapi saya hampir pasti tidak dapat masuk ke dalam Masjid Nabawi. Tak dapat dibayangkan rasa di jiwa ini. Bayangkan bagaimana rasanya berkunjung ke bumi barakah tanpa menziarahi makam Rasulullah. Sungguh!!! Memang tak mampu saya gambarkan gelora rasa yang bersarang di hati saya.

Tahan haid? Makan ubat? Saya mendapatkan pelbagai pandangan; membaca pelbagai blog dan naskhah. Dan saya akhirnya mengambil keputusan untuk menerima kehadiran haid saya sebagai anugerah Allah, biarkan ia berlaku secara alamiah, tanpa ada sebarang elemen ‘anasir luar’. Setiap hari doa dipanjatkan,”Tahankanlah haid aku sehingga aku dapat sempurnakan umrahku, supaya aku dapat berkunjung ke Makam Rasulullah, kekasihMu”.

Hari ini hari Jumaat. Saya bakal berangkat hari Ahad. Haid saya dijangka bermula setelah 5 hari saya di bumi Mekah. Gusar. Tawakal. Semua bercampur. Tanpa diduga, haid saya muncul hari ini. Muncul jauh lebih awal. Awal seminggu. Ya!Allah! Allahuakbar! Saya bersyukur. Tuhan awalkan haid saya. Kalau ikut perkiraan biasa, saya bakal menyempurnakan umrah dan boleh berkunjung masuk ke dalam Masjid Nabawi. Amin Amin Ya Rabbal Alamin. Semoga Allah permudahkan urusan saya di sana. 


Persiapan Umrah 2014

Tahun lepas saya memasang niat dan saya panjangkan hasrat kepada sang arjuna. “Kalau ada rezeki tahun depan kita ke umrah ya. Kita bawak abah dan mak cik sekali ya”. Alhamdulillah, rupa-rupanya sang arjuna punya impian sama. Langkah terus diatur. Rasanya sejak hujung tahun lepas, kami sudah membuka langkah. Punya rakan yang terlibat dalam bisnes umrah dan ziarah memudahkan kami. Persiapan segera diatur. Dokumen-dokumen yang diperlukan, abah pantas menghantar dari Batu Pahat ke Kuala Lumpur.  Segalanya berjalan lancar. Alhamdulillah.

Sejak awal tahun saya memang sangat sibuk dengan urusan bisnes. Sehinggakan saya diuji dengan tahap kesihatan yang tidak baik. Batuk kuat berlarutan sehingga lebih dua minggu. Justeru, saya nekad mengambil keputusan berehat sepanjang April, memperlahankan aktiviti; sementelah waktu saya berangkat ke tanah suci sudah hampir. Syukur, kesihatan beransur pulih walaupun tidak sepenuhnya. Minggu ini saya betul-betul mengosongkan jadual saya. Membaca pelbagai naskhah pengalaman mereka yang sudah menjadi tetamu Allah mengundang pelbagai rasa. Satu sahaja yang saya sematkan di hati. Doa berterusan semoga Allah permudahkan segala urusan di sana. Insyaallah.