Khamis, 22 Mei 2014

Persiapan Umrah 2014

Tahun lepas saya memasang niat dan saya panjangkan hasrat kepada sang arjuna. “Kalau ada rezeki tahun depan kita ke umrah ya. Kita bawak abah dan mak cik sekali ya”. Alhamdulillah, rupa-rupanya sang arjuna punya impian sama. Langkah terus diatur. Rasanya sejak hujung tahun lepas, kami sudah membuka langkah. Punya rakan yang terlibat dalam bisnes umrah dan ziarah memudahkan kami. Persiapan segera diatur. Dokumen-dokumen yang diperlukan, abah pantas menghantar dari Batu Pahat ke Kuala Lumpur.  Segalanya berjalan lancar. Alhamdulillah.

Sejak awal tahun saya memang sangat sibuk dengan urusan bisnes. Sehinggakan saya diuji dengan tahap kesihatan yang tidak baik. Batuk kuat berlarutan sehingga lebih dua minggu. Justeru, saya nekad mengambil keputusan berehat sepanjang April, memperlahankan aktiviti; sementelah waktu saya berangkat ke tanah suci sudah hampir. Syukur, kesihatan beransur pulih walaupun tidak sepenuhnya. Minggu ini saya betul-betul mengosongkan jadual saya. Membaca pelbagai naskhah pengalaman mereka yang sudah menjadi tetamu Allah mengundang pelbagai rasa. Satu sahaja yang saya sematkan di hati. Doa berterusan semoga Allah permudahkan segala urusan di sana. Insyaallah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan