Khamis, 22 Mei 2014

Datang Lebih Awal

Apabila membuat keputusan mengunjungi Rumah Allah, saya tidak pernah terfikirkan perkara ini. Apabila menerima tarikh yang ditetapkan, saya juga tidak langsung memikirkan perkara ini. Namun, sejak 3 bulan kebelakangan ini, perkara ini yang menghantui saya. Kitaran haid saya yang tetap setiap bulan menyebabkan saya sangat pasti 6  hari ketika 12 hari berada di sana bakal menguji saya. Insyaallah, saya dapat menyempurnakan umrah di bumi Mekah al-Mukarammah tetapi saya hampir pasti tidak dapat masuk ke dalam Masjid Nabawi. Tak dapat dibayangkan rasa di jiwa ini. Bayangkan bagaimana rasanya berkunjung ke bumi barakah tanpa menziarahi makam Rasulullah. Sungguh!!! Memang tak mampu saya gambarkan gelora rasa yang bersarang di hati saya.

Tahan haid? Makan ubat? Saya mendapatkan pelbagai pandangan; membaca pelbagai blog dan naskhah. Dan saya akhirnya mengambil keputusan untuk menerima kehadiran haid saya sebagai anugerah Allah, biarkan ia berlaku secara alamiah, tanpa ada sebarang elemen ‘anasir luar’. Setiap hari doa dipanjatkan,”Tahankanlah haid aku sehingga aku dapat sempurnakan umrahku, supaya aku dapat berkunjung ke Makam Rasulullah, kekasihMu”.

Hari ini hari Jumaat. Saya bakal berangkat hari Ahad. Haid saya dijangka bermula setelah 5 hari saya di bumi Mekah. Gusar. Tawakal. Semua bercampur. Tanpa diduga, haid saya muncul hari ini. Muncul jauh lebih awal. Awal seminggu. Ya!Allah! Allahuakbar! Saya bersyukur. Tuhan awalkan haid saya. Kalau ikut perkiraan biasa, saya bakal menyempurnakan umrah dan boleh berkunjung masuk ke dalam Masjid Nabawi. Amin Amin Ya Rabbal Alamin. Semoga Allah permudahkan urusan saya di sana. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan