Awal pagi tadi saya disapa melalui whatsapp oleh bekas pelajar yang baru sahaja menamatkan pengajian di dalam bidang perniagaan. Beliau sudah lama minat berniaga dan pernah menyuarakan hasrat tersebut kepada ibu bapa tetapi ditentang habis-habisan. Saya secara peribadi boleh mengerti kegusaran keluarga. Berbanding bekerja di pejabat, berniaga punya risiko sangat tinggi. Secara peribadi juga saya tidak mengerti pendirian keluarga. Bagaimana anak yang menghabiskan masa 3 tahun di universiti belajar ilmu bisnes tidak diizinkan untuk mengaplikasi ilmu tersebut?
Ini pandangan peribadi saya. Mungkin tidak sama dengan pendapat orang lain. Pada hemat saya, ini dilema orang kita. Selepas SPM, anak wajar masuk universiti. Masuk jurusan apa belakang kira. Janji masuk universiti. Tanpa hala tuju dan panduan, anak kita belajar buta. Lepas konvo, anak kita wajar bekerja. Kerja di pejabat paling afdal. Saya tidak kata laluan ini salah. Tetapi ini bukan satu-satunya laluan yang ada ke mercu jaya.
Ibu bapa seharusnya membantu anak-anak dalam memilih laluan yang wajar. Kenali bakat dan minat anak-anak sedari kecil. Sokong sebaik mungkin. Mereka perlukan kita untuk membantu mereka; bukan memerlukan kita untuk menentukan masa depan mereka. Dengari suara dan pandangan mereka kerana ada kalanya kita juga tidak betul gaya dan tingkah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan