Foto: Koleksi Peribadi
Bukan sesuatu yang asing apabila ramai pelajar saya memanggil saya 'mama'. Walaupun ramai yang sudah lama meninggalkan saya, panggilan itu kekal bertahun. Alhamdulillah. Keakraban yang terjalin antara saya dan 'anak-anak' ternyata memeriahkan dan mewarnai hidup saya.
Hari ini saya sengaja memilih kisah si dia. Salah seorang daripada 'anak-anak' saya. Kini sudah hampir dua tahun dia menjadi sebahagian daripada hidup saya. Walaupun sudah melanjutkan pelajaran, sesekali dia akan muncul di pejabat saya. Memecah sepi dan mengundang gelak tawa. Dia jarang serius. Suka melawak. Justeru, kehadirannya sentiasa membawa ceria.
Sejak kebelakangan ini, saya mula melihat perubahan kecil pada dirinya. Tidak pada sikapnya yang kelakar dan 'lepas cakap' tetapi pada butir bicara yang keluar daripada mulutnya. Lewat pertemuan tempoh hari, dia tiba-tiba memohon untuk tidak lagi memanggil saya 'mama' tetapi 'ummu'. "Ummu kan bahasa arab", ujarnya. Dialah satu-satunya yang memanggil saya 'ummu'. Sejuk hati saya mendengar panggilan tersebut.
Sesekali bertemu, dia ralit bercerita tentang kisah-kisah ulama; berkongsi ilmu yang didengar dan dikutip dari majlis-majlis ilmu yang dihadirinya. Kalau dahulu saya melihat dia sebagai anak kecil yang perlu dijaga rapi tetapi hari ini saya bangga melihat dia yang baru; seorang anak muda yang melihat dunia dari perspektif rohaniah. Dan saya tak mungkin akan melupakan kata-kata ini, "kalaulah masa boleh diputar semula, saya mahu sangat mama dan abah masukkan saya ke sekolah agama sejak dari kecil lagi...".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan