Foto: Koleksi Peribadi
Dalam tempoh seminggu ini, saya berdepan dengan dilema kisah guru. Sahabat saya mengadu anak buahnya ditumbuk guru sehingga lebam matanya gara-gara tidak membuat kerja rumah. Pelajar-pelajar saya pula mengadu ada guru yang mendoakan mereka gagal SPM gara-gara tidak menurut arahan beliau. Pagi ini, sesudah sahur, tak semena-mena saya tertonton satu adegan di tv; anak kecil menangis-nangis tidak mahu ke sekolah. Katanya cikgu kata dia bodoh, cikgu kata dia budak lembab. Gugur juga air mata saya. Pandai sungguh si kecil itu berlakon.
Selagi manusia bergelar manusia; ternyata ada kesukaran besar dalam memisahkan profesionalisme perguruan dengan emosi peribadi. Walaupun kenyataan ini berbentuk umum, kita tidak nafikan perkara sebegini hanya dilakukan oleh sebilangan kecil guru sahaja. Masih ramai guru yang hebat, memiliki karisma dan berkaliber, mampu menjadi contoh dengan tingkah laku dan percakapan yang sopan. Tetapi adat orang kita, cerita-cerita negatif sebegini 'bisingnya' lebih riuh daripada kisah seorang guru hebat yang mengubah nasib pelajarnya! Hmmm...
Saya seorang ibu. Saya juga seorang guru. Saya mengajar anak sendiri dan anak orang lain. Kisah-kisah guru 'kecil' ini sentiasa dijadikan iktibar dan sempadan dalam memperbaiki diri dan prestasi sebagai seorang ibu dan guru. Ibu sama seperti seorang guru; tidak boleh beremosi dalam tindak-tanduknya, tidak boleh menggunakan kekerasan emosi dan fizikal terhadap anak-anaknya, tidak boleh memperkecil-kecilkan anak-anak, tidak boleh juga melabelkan mereka dengan panggilan negatif sesuka hati. Pendek kata, saya percaya ciri-ciri seorang ibu yang pengasih dan penyayang perlu ada dalam diri seorang guru. Mengajarlah dengan jiwa agar anak-anak rasa sentuhan kasih kita di jiwa mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan