Sebagai seorang ibu, antara perkara wajib yang saya perlu buat ialah bertemu guru kelas anak-anak saya semasa Hari Bicara Akademik. Ada banyak ketikanya saya perlu bertemu 3 guru kelas pada hari yang sama; al-maklumlah umur anak-anak saya tidak jauh berbeza. Kalau si sulung Tingkatan 5, yang kedua Tingkatan 4, yang ketiga pula di Tingkatan 2. Nasib baiklah yang kecil masih di sekolah rendah. Kalau ada rezeki, hari bicara akademik semua anak berlaku serentak. Keempat-empatnya! Bayangkan betapa dramatiknya saya pada hari itu. Hihihi...
Tapi tahun ini, buat pertama kalinya saya tidak berpeluang melakukan perkara wajib ini. Hari Bicara Akademik anak-anak saya jatuh serentak dengan Konvesyen Penulisan 2014. Sang arjuna pergi bersendirian tanpa saya. Ada rasa terkilan di jiwa tetapi ilmu di konvesyen saya tak boleh tinggalkan...Hidup memang perlu berkorban.
Bercerita tentang Hari Bicara Akademik ini, bertahun-tahun saya telah membuat pemerhatian. Betapa bezanya kehadiran ibu bapa ketika anak-anak di sekolah rendah dan sekolah menengah. Ibu bapa begitu komited ketika anak-anak masih di usia kanak-kanak dan perlahan-lahan ibu bapa mengambil langkah menjauhkan diri apabila anak-anak menginjak usia remaja. Saya tidaklah bermaksud semua ibu bapa begitu, tetapi itu hakikat yang saya saksikan dengan mata kepala sendiri. Sang arjuna menambah perisa cerita. Katanya ada kelas kosong yang tiada ibu bapa bertamu, cuma guru kelas yang duduk menanti setia. Ibu bapa tiada seorang pun yang datang. Ini memang kisah benar.
Saya tak nafikan ada anak-anak remaja yang tidak memanjangkan surat makluman kepada ibu bapa; tak mahu ibu bapa 'menyibuk' di sekolah; tak mahu dipanggil 'anak emak' kalau ibu bapa asyik bertandang ke sekolah. Tapi pada pandangan saya, itu bukan alasan untuk ibu bapa tidak bertindak secara pro-aktif. Ibu bapa masih boleh datang ke sekolah atau menghubungi sekolah untuk mengetahui perkembangan anak-anak sendiri.
Fasa remaja adalah fasa paling kritikal. Pada usia inilah kecelaruan emosi, kecelaruan identiti, dilema rakan sebaya dan pelbagai gangguan fisiologi berlaku. Peranan ibu bapa bukan hanya sebagai seorang ibu dan bapa lagi malah perlu menjadi rakan kepada anak yang paling dipercayai dan paling disenangi. Anak akan mencari kita, berkongsi cerita dan masalah. Kita perlu jadi pendamping utama mereka. Jangan sampai mereka beralih arah kepada rakan-rakan; meminta nasihat daripada mereka yang seusia!
Saya ada banyak kisah benar di dalam poket. Menyimpan kisah pelbagai anak remaja yang ketandusan kasih sayang. 'Diabaikan' oleh ibu bapa ketika mereka paling memerlukan kehadiran ibu bapa. Saya ada angan untuk berkongsi cerita. Mudah-mudahan ada yang sudi membacanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan