Setelah hampir enam tahun, saya akhirnya berhenti kerja pada tahun 2002. Bekerja sebagai eksekutif komunikasi korporat menuntut masa dan tenaga yang tidak sedikit daripada saya. Saya akui yang saya hilang masa bersama keluarga. Kebanyakan ketika, saya tenggelam di dalam tugasan yang bertimbun. Pergi sebelum matahari terbit dan kerap pulangnya jauh lewat malam. Walaupun saya amat menyintai kerjaya saya, saya akhirnya perlu membuat pilihan di antara keluarga dan kerjaya. Apa lagi keputusan terbaik melainkan memilih untuk hilang keseronokan bekerja demi anak-anak dan keluarga. Saya tidak ingat sama ada saya berdepan dengan kepayahan membuat keputusan itu. Yang pasti, ianya berjalan lancar selancarnya.
Sesungguhnya aturan Allah sangat cantik. Saat saya melepaskan jawatan, anak saya yang sulung baru berusia enam tahun. Yang kedua, lima tahun dan yang ketiga, tiga tahun. Justeru, impian saya untuk terlibat sepenuhnya di dalam perkembangan dan persekolahan anak-anak dikabulkan Tuhan. Saya jadi lebih sibuk berbanding bekerja dahulu. Tetapi sibuk saya di sisi anak-anak dan keluarga. Kebanyakan masa menjadi pemandu rasmi; menghantar dan mengambil mereka dari sekolah, membantu mereka membuat kerja sekolah, belajar, menonton televisyen, bermain, memasak dan bermacam-macam lagi. Rasanya tak mampu nak menyenaraikan semua. Panjang sungguh senarainya :)
Keseronokan bersama anak-anak ketika mereka kecil ternyata punya cerita berbeza berbanding kisah mereka di usia remaja. Saya masih ingat mengajar anak-anak mencongak operasi tambah dan tolak menggunakan nombor plat kenderaan sepanjang perjalanan pergi dan pulang dari sekolah. Walau letih sekalipun, saya cuba sedaya upaya membacakan buku cerita setiap kali mereka mahu tidur. Saya terhafal semua lagu-lagu Barney si dinasour ungu dan Teletubbies akibat menontonnya berpuluh-puluh kali sehari. Semua siri buku Peter & Jane menjadi teman kami seharian.
Melihat anak-anak hari ini, saya bersyukur kerana memilih untuk meninggalkan kerjaya. Tiada sebarang rasa kesalan walau sekelumit. Hidup adalah berkaitan pilihan. Buatlah pilihan yang sewajarnya. Kuatkan semangat. Tabahkan jiwa. Kerana ada kalanya cabaran di sepanjang perjalanan baru boleh mematahkan semangat. Boleh merebahkan jiwa. Bertahanlah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan