Apa yang berlaku lewat malam semalam mengingatkan saya kepada kejadian yang pernah berlaku lebih sepuluh tahun lalu. Saya pernah kehilangan anak di kompleks membeli belah! Bukan seorang. Tetapi dua orang. Dua orang anak lelaki saya yang masih kecil ketika itu; tak sampai 6 tahun terperangkap di dalam lif bersendirian tanpa saya. Alhamdulillah. Akhirnya, anak-anak saya selamat ditemui oleh orang baik-baik di dalam lif tersebut dan dihantar ke tempat perkhidmatan pelanggan.
Hanya Allah yang tahu ketika itu bagaimana tahap kerisauan yang melanda diri. Setengah jam mengharungi momen itu cukup membuatkan saya huru hara; hilang punca; panik sepanik-paniknya. Saya tahu saya akan berfikir lebih baik ketika itu sekiranya saya bertenang. .Tetapi bertenang ketika kehilangan anak adalah sesuatu yang luar biasa dilakukan oleh saya. Naluri ibu tidak berupaya menenangkan saya detik itu. Apa pun, saya banyak belajar daripada tempoh setengah jam yang tersebut.
Ibu bapa tidak boleh leka di dalam aspek keselamatan anak-anak terutamanya apabila berada di tempat umum. Sentiasa ada kemungkinan untuk anak-anak hilang daripada pandangan walau sesaat dua. Justeru, berdasarkan kejadian yang menimpa saya, alangkah baiknya sekiranya anak-anak saya diajar menghafal nombor telefon bimbit saya ketika itu. Alangkah baiknya sekiranya saya juga selalu berpesan, "sekiranya berlaku sesuatu, cari orang dewasa. Minta tolong mereka bawa abang dan adik ke tempat perkhidmatan pelanggan". Pasti lebih baik sekiranya anak-anak telah diorientasikan tempat-tempat penting di sesuatu tempat umum. Tunjukkan di mana tempat perkhidmatan pelanggan, di mana kaunter polis bergerak (sekiranya ada). Tunjukkan juga siapa pekerja-pekerja di tempat itu; contohnya pengawal keselamatan. "Yang itu pakcik pengawal keselamatan. Kerjanya menjaga keselamatan tempat ni. Kita akan cari dia kalau kita hilang barang. Ada juga ibu bapa yang jumpa pak cik tu kalau anak mereka hilang." Apapun, lakukan perkara-perkara ini tanpa menimbulkan rasa takut anak-anak untuk ke tempat umum. Lakukannya sebagai satu rutin; dalam bentuk bercerita dan bersembang. Anak-anak akan segera dapat mesej sekiranya ianya dilakukan berulang-ulang dalam bentuk yang santai.
Anak-anak saya kini sudah jadi anak bujang. Ada umur panjang, saya bakal menjadi nenek. Tentunya saya enggan cucu-cucu saya menempuh momen 'setengah jam' itu. Cerita ini akan jadi kisah keturunan saya. Saya akan pastikan pengalaman saya mengajar anak-anak saya untuk mengajar anak-anak mereka pula. Insyaalllah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan