Khamis, 29 Mei 2014

Saya Menangis Lagi...

Saya barangkali sama sahaja dengan wanita-wanita lain. Mudah mengalirkan air mata. Tengok cerita hindustan yang sama berulang-ulang kali, tetap bertempayan air mata yang keluar. Alahai, Kabhi Kushi Kabhi Gam :)

Air mata ini gugur rasanya sebulan yang lalu. Ketika bertamu di bumi barakah, Mekah & Madinah. Tanpa dipaksa, tanpa didorong, tanpa rangsangan, tiba-tiba air mata laju membasahi pipi. Itu kisah sebulan yang lalu dan hari ini hampir genap sebulan, saya menangis lagi...

Semalam dan hari ini saya di Kongres Kebangsaan Guru-guru Tadika 2014; diberi tanggungjawab sebagai emcee. Sambil mengendalikan majlis saya sibuk mencedok ilmu. Semua inputnya serba bernas tetapi saya paling terkesan dengan penyampaian Tuan Zuhairi Mohd Nopiah lewat petang tadi. Kata-kata 'tanda kasih sayang' Allah bergema-gema di benak fikir saya.

Saya benar-benar mengambil momen merenung diri. Saya punya suami, anak-anak, abah, emak, adik-adik dan kaum keluarga. Dilimpahi kasih sayang dan ilmu bukan sahaja daripada mereka tetapi juga daripada sahabat-sahabat, para pelajar, mentor-mentor dan guru-guru. Masyaallah...bukankah itu tanda kasihnya Allah kepada saya? Itu hanya sedikit. Saya takkan mampu menyenaraikan nikmat yang diberikanNya sebagai tanda kasih kepada saya. Terlalu banyak. Cukup banyak. Tetapi apa pula yang telah saya berikan kepadaNya sebagai tanda kasih saya? Cukupkah tanda kasih saya kepadaNya? Airmata ini mengalir tiba-tiba. Saya menangis di situ juga. Di dalam dewan berlangsungnya acara...

Barangkali kita alpa sehingga tidak terlihat nikmat yang ada sebagai tanda Allah kasih dan sayangkan kita. Allah sungguh kasihkan kita walau kita leka dan lalai; tenggelam di dalam nikmat-nikmatNya. Semoga kita terus-terus diberikan kekuatan, ketakwaan dan keimanan untuk membalas kasihnya Allah; untuk terus mengasihiNya dan mencintai RasulNya... Amin. Amin. Ya Rabbal'Alamin.

Bersama Tuan Zuhairi Md Nopiah & isteri, Puan Aisyah Sweet serta rakan gandingan emcee, Tuan Allwee

Isnin, 26 Mei 2014

Kami Tidak 'Sweet'

Hubungan kami bermula sebagai seorang kawan sekuliah. Kawan yang betul-betul biasa. Malahan saya ber'aku' dan ber'engkau' dengan dia. Betapa biasanya perkenalan saya dengan dia sehingga Saya tak sedar entah bila hubungan biasa ini bertukar jadi luar biasa. Yang saya ingat kami mula berkawan di tahun satu, Fakulti Sains, UM. Bertunang di tahun tiga dan berkahwin sebulan selepas tamat peperiksaan tahun akhir!!!

Gara-gara bermula cuma sebagai kawan biasa, kami bukanlah pasangan yang 'sweet'. Kami tak perlu simpan segala keburukan sekadar nak jadi yang manis-manis di hadapan diri masing-masing. Kami jadi diri kami yang sebenar. Saya terima dirinya seadanya, begitu juga dengan dirinya. Malahan saya tak bising bila hari ini dia terlupa tarikh ulangtahun perkahwinan kami yang ke-19. Kata beliau, yang penting kalau ada sesiapa yang terlupa, masih ada yang boleh mengingatkan. Jangan sampai dua-dua terlupa. Hahaha! Nak 'cover line' lah tu...

19 tahun bersama tidak bermakna kami sudah di takuk selesa. Banyak lagi yang perlu ditangani dan diusahakan. Anak-anak sudah beransur-ansur dewasa. Cerita sepuluh tahun lalu pasti tidak akan sama dengan cerita sepuluh tahun akan datang. Apapun...kalau dibandingkan dengan dulu, kami lebih 'sweet' sekarang. Hihihi!!!






Sabtu, 24 Mei 2014

Kuasa Ibu Bapa

Awal pagi tadi saya disapa melalui whatsapp oleh bekas pelajar yang baru sahaja menamatkan pengajian di dalam bidang perniagaan. Beliau sudah lama minat berniaga dan pernah menyuarakan hasrat tersebut kepada ibu bapa tetapi ditentang habis-habisan. Saya secara peribadi boleh mengerti kegusaran keluarga. Berbanding bekerja di pejabat, berniaga punya risiko sangat tinggi. Secara peribadi juga saya tidak mengerti pendirian keluarga. Bagaimana anak yang menghabiskan masa 3 tahun di universiti belajar ilmu bisnes tidak diizinkan untuk mengaplikasi ilmu tersebut?

Ini pandangan peribadi saya. Mungkin tidak sama dengan pendapat orang lain. Pada hemat saya, ini dilema orang kita. Selepas SPM, anak wajar masuk universiti. Masuk jurusan apa belakang kira. Janji masuk universiti. Tanpa hala tuju dan panduan, anak kita belajar buta. Lepas konvo, anak kita wajar bekerja. Kerja di pejabat paling afdal. Saya tidak kata laluan ini salah. Tetapi ini bukan satu-satunya laluan yang ada ke mercu jaya. 

Ibu bapa seharusnya membantu anak-anak dalam memilih laluan yang wajar. Kenali bakat dan minat anak-anak sedari kecil. Sokong sebaik mungkin. Mereka perlukan kita untuk membantu mereka; bukan memerlukan kita untuk menentukan masa depan mereka. Dengari suara dan pandangan mereka kerana ada kalanya kita juga tidak betul gaya dan tingkah.

Jumaat, 23 Mei 2014

Gigihnya Hati Mereka

Hari ini saya berada di acara Jualan Mega sempena Hari Puspanita anjuran Bernama. Saya memang agak lama berkecimpung dalam dunia bisnes namun masih mentah; masih belajar dan banyak lagi yang perlu dipelajari. Ini kali kedua saya terjebak dalam dunia bisnes gerai acara. Sengaja mencari pengalaman dan pengetahuan.

Sudah hampir 3 jam saya di sini. Barangan Boboi Boy di gerai saya sudah terjual sepuluh. Alhamdulillah. Saya pandang kiri dan kanan. Sebelah menjual barangan Tupperware. Sebelah menjual pelbagai mainan. Puluhan gerai tersusun. Berderet menjual kuih-muih, biskut-biskut, pakaian. Yang paling laris, gerai yang menjual makanan basah. Yang lain-lain hampir sepi tak berpengunjung.

Saya amat kagum dengan mereka. Tabahnya mereka. Kuatnya hati mereka. Gigihnya jiwa mereka. Walau tiada jualan, walau jualan kecil, wajah masih manis mengukir senyuman. Saya sangat pasti ada rahsia di sebalik senyuman mereka. Sesungguhnya rezeki itu milik Allah. Berusahalah. Teruslah berusaha dan berdoa kerana esok masih ada lagi...

Gerai-gerai yang turut serta di acara Jualan Mega, Tasik Titiwangsa

Anak-anak yang sengaja dibawa bagi merasai pengalaman berniaga di gerai



Cikgu, Boleh Saya Menguap?

Cabaran mengajar di waktu malam adalah mengekalkan prestasi mata dan fokus pelajar. Apatah lagi jika kelas itu diadakan pada hari Jumaat. Mood hujung minggu sudah bertebaran di mana-mana. Itulah yang berlaku hampir setiap kali saya mengajar kelas Kimia untuk pelajar-pelajar Tingkatan 5. Sungguh hebat cabarannya! Sudahlah malam, hari Jumaat pula! Haish!!!Menguap, mengantuk....sudah jadi resam.

Saya secara berseloroh selalu menggunakan ayat ini, "Menguap itu merupakan suatu penyakit berjangkit. Kuat sungguh virusnya. Sampai sekarang saintis tidak dapat mengenal pasti punca bagaimana menguap boleh berjangkit. Harap-harap hari ini tiada siapa yang akan jadi penyebarnya." Bersungguh-sungguhlah mereka menahan ngantuk. Malu dan tak mahu dilabel sebagai penyebar virus menguap. Ada yang merah mata menahan. Semua takut nak menguap. Bukan takutkan saya. Takut saya menjadikan mereka sebagai modal lawak saya. Malu agaknya apabila saya anugerahkan gelaran Ratu Menguap kepada mereka. Hihihi....

Barangkali kerana dah tak mampu menahan lagi, ini akhirnya yang dipinta oleh seorang pelajar saya di dalam kelas hari ini; "Cikgu, boleh saya menguap?". Apa lagi, meledak tawa di dalam kelas. "Wah! Nampaknya sekarang dah ada dua permintaan. Selain daripada "Cikgu, boleh saya ke tandas?', kini kita sudah tambah lagi satu; "Cikgu, boleh saya menguap?". Eh! Tunggu apa lagi...Silakan menguap ya. Cikgu izinkan...:)

Yang mana satukah si Ratu Menguap?


Khamis, 22 Mei 2014

Kisah MERS-CoV

Hari ini Sabtu. 26hb April 2014. Rumah saya sudah dipenuhi riuh-rendah anak-anak buah dan kaum keluarga yang datang dari Johor. Esok Ahad, 27hb April, jam 7 malam, saya, Sang Arjuna, Abah dan Mak Cik (ibu tiri saya) akan berlepas menaiki pesawat MAS ke Jeddah. 

Sebenarnya, lewat beberapa minggu sebelum bertolak, adik-adik saya yang tinggal di Johor sudah gundah gulana. Apa tidaknya; ada jemaah umrah dari Batu Pahat yang meninggal dunia akibat jangkitan MERS-CoV (Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus). "Long, kau tangguhlah dulu nak pergi umrah ni. Sekarang wabak MERS la,". Hmmmm...memang beratlah permintaan itu. Memang sah tak akan ditunaikan. Hihihi. "Kita doa kuat-kuat ya. Ikhtiar. Tawakal. Insyaallah, tak ada apa-apa". Jawapan klise yang ternyata tak berupaya melenyapkan keresahan adik-adik saya. Tapi apakan daya; hanya itu yang mampu saya buat. Apa pun malam itu, saya dan rombongan Cik Kiah saya ke Hospital Ampang Puteri. Atas nasihat sahabat-sahabat doktor, kami disarankan mengambil suntikan Influenza, ikhtiar tambahan melindungi diri. Ini bermakna kami mengambil dua suntikan sebelum ke umrah, Meningococcal Meningitis dan Influenza. Mudah-mudahan kami dilindungiNya.



Datang Lebih Awal

Apabila membuat keputusan mengunjungi Rumah Allah, saya tidak pernah terfikirkan perkara ini. Apabila menerima tarikh yang ditetapkan, saya juga tidak langsung memikirkan perkara ini. Namun, sejak 3 bulan kebelakangan ini, perkara ini yang menghantui saya. Kitaran haid saya yang tetap setiap bulan menyebabkan saya sangat pasti 6  hari ketika 12 hari berada di sana bakal menguji saya. Insyaallah, saya dapat menyempurnakan umrah di bumi Mekah al-Mukarammah tetapi saya hampir pasti tidak dapat masuk ke dalam Masjid Nabawi. Tak dapat dibayangkan rasa di jiwa ini. Bayangkan bagaimana rasanya berkunjung ke bumi barakah tanpa menziarahi makam Rasulullah. Sungguh!!! Memang tak mampu saya gambarkan gelora rasa yang bersarang di hati saya.

Tahan haid? Makan ubat? Saya mendapatkan pelbagai pandangan; membaca pelbagai blog dan naskhah. Dan saya akhirnya mengambil keputusan untuk menerima kehadiran haid saya sebagai anugerah Allah, biarkan ia berlaku secara alamiah, tanpa ada sebarang elemen ‘anasir luar’. Setiap hari doa dipanjatkan,”Tahankanlah haid aku sehingga aku dapat sempurnakan umrahku, supaya aku dapat berkunjung ke Makam Rasulullah, kekasihMu”.

Hari ini hari Jumaat. Saya bakal berangkat hari Ahad. Haid saya dijangka bermula setelah 5 hari saya di bumi Mekah. Gusar. Tawakal. Semua bercampur. Tanpa diduga, haid saya muncul hari ini. Muncul jauh lebih awal. Awal seminggu. Ya!Allah! Allahuakbar! Saya bersyukur. Tuhan awalkan haid saya. Kalau ikut perkiraan biasa, saya bakal menyempurnakan umrah dan boleh berkunjung masuk ke dalam Masjid Nabawi. Amin Amin Ya Rabbal Alamin. Semoga Allah permudahkan urusan saya di sana. 


Persiapan Umrah 2014

Tahun lepas saya memasang niat dan saya panjangkan hasrat kepada sang arjuna. “Kalau ada rezeki tahun depan kita ke umrah ya. Kita bawak abah dan mak cik sekali ya”. Alhamdulillah, rupa-rupanya sang arjuna punya impian sama. Langkah terus diatur. Rasanya sejak hujung tahun lepas, kami sudah membuka langkah. Punya rakan yang terlibat dalam bisnes umrah dan ziarah memudahkan kami. Persiapan segera diatur. Dokumen-dokumen yang diperlukan, abah pantas menghantar dari Batu Pahat ke Kuala Lumpur.  Segalanya berjalan lancar. Alhamdulillah.

Sejak awal tahun saya memang sangat sibuk dengan urusan bisnes. Sehinggakan saya diuji dengan tahap kesihatan yang tidak baik. Batuk kuat berlarutan sehingga lebih dua minggu. Justeru, saya nekad mengambil keputusan berehat sepanjang April, memperlahankan aktiviti; sementelah waktu saya berangkat ke tanah suci sudah hampir. Syukur, kesihatan beransur pulih walaupun tidak sepenuhnya. Minggu ini saya betul-betul mengosongkan jadual saya. Membaca pelbagai naskhah pengalaman mereka yang sudah menjadi tetamu Allah mengundang pelbagai rasa. Satu sahaja yang saya sematkan di hati. Doa berterusan semoga Allah permudahkan segala urusan di sana. Insyaallah.



Gurauan Yang Akhirnya Bertukar Garau

Selalu orang kata, sekali pandang saya nampak serius. Bahkan ada yang berkata, saya bukan sahaja tampak serius tapi turut ada riak sombong di wajah. Ya! Allah! Astaghfirullah. Beristighfar saya. Nampak gaya kena banyakkan senyuman agar saya tidak disalah anggap. Saya tidaklah seserius mana. Dan yang paling penting, saya rasa saya agak peramah orangnya. Hahaha. Saya tidak sombong. Namun saya tak punya upaya untuk menukar persepsi pertama mereka yang baru mengenali saya.


“Tak kenal maka tak cinta”, pepatah yang relevan sepanjang zaman. Sesiapa yang kenal saya pasti tahu saya orang yang jenis gemar bergurau. Tetapi adat bergurau…ada kala gurauan saya yang patutnya mengundang tawa tetapi akhirnya menyentap jiwa. Semalam untuk ke sekian kalinya gurauan saya benar-benar menjadi, memecah tawa pelajar-pelajar. Dan untuk ke sekian kalinya juga saya terlepas pandang, gurauan itu rupa-rupanya mengguris hati seorang yang lain. Aduh! Terlepas lagi. Ini ingatan untuk diri. Refleksi diri. Berhati-hati dengan lidah. Jaga adab sesama manusia. Jaga adab dengan Allah. Insyaallah, Allah akan lindungi semua.  Moga saya tidak terbabas lagi di masa akan datang.

Cerita Kerjaya Saya


Bismillah…

Saya cinta mengajar. Walaupun tidak punya sebarang kelayakan rasmi bertulis yang menobatkan saya sebagai guru, saya tetap mahu mengajar. Barangkali bukan terlalu sangat berkenaan subjek yang diajar tetapi bersama dengan kelompok kanak-kanak dan remaja yang mahukan ilmu buat saya sangat senang dengan profesion ini.


Lewat kebelakangan ini, setiap petang hujan turun. Bukan renyai tapi lebat. Benar-benar lebat.  Semalam hujan lebat lagi. Kelas bermula jam 4 petang namun tiada sebarang kelibat. 4.15…pun belum ada bayang. 4.30…baru berduyun-duyun nampak muka. Nak marah? Hmmm…Dulu mungkin. Tapi sejak belajar teknik mendorong pelajar menggunakan Teknik Nabi, semua itu berjaya diketepikan. Alhamdulillah, datang juga mereka akhirnya. Saya sudah kenal mereka ini. Datang ke kelas Matematik, tapi kalkulator tak dibawa. Datang nak belajar, tapi pen sebatang pun tak dibawa. Tapi semangat nak datang ke kelas sudah cukup besar ertinya pada saya. Kalau mereka faham, itu lebih besar ertinya. Kalau mereka boleh siapkan tugasan yang diberi, apakah lagi nikmat yang mahu didustakan. Alhamdulillah. 

Ramai-ramai 'selfie' dengan  'fish-eye lens'
Tuan punya 'fish-eye lens'

Kisah Bermula

Menulis. Mahu menulis….Ini impian bertahun saya. Kembali serius menulis. “Menulis itu penting”, kata sifu saya. Setiap hari perlu dijurnalkan apa yang dialami, dirasai, yang bermain di benak fikir, impian dan segala-galanya. Saya yakin kini sudah tiba masanya. Selamat membaca ya. Semoga perkongsian di sini memanfaatkan semua.